Pengamal perubatan, Blogger, Penceramah Kesihatan dan Penasihat Pemakanan, Dr Zubaidi Ahmad menegaskan amalan pemakanan yang sihat membantu tubuh seseorang itu lebih sihat sekali gus boleh mengelakkan situasi risiko penyakit jantung yang boleh menyebabkan kematian mengejut.
Melalui instagram, beliau berkongsi amalan pengambilan yang beliau amalkan bila memasuki usia 40-an.
Selalunya saya terus melakukan kerja saya tanpa makan (bersarapan) berat. Saya cuma akan ambil selepas bangun pagi satu sudu minyak zaitun, suku sudu cuka Teen dan sedikit madu.
Itu pun sudah berikan antara 150-200kcal cukup untuk kerja-kerja membaca dan menghafal yang saya lakukan di awal pagi. Kemudian air kosong atau kopi plus stevia sepanjang pagi.
Sarapan yang ringkas sebenarnya sudah mencukupi mengikut kepada aktiviti fizikal yang kita lakukan.
Oleh kerana hari ini hari cuti, saya kena layan anak-anak di rumah. Mereka mahu bersarapan. Bila ada anak makan tak habis, jadi sayalah yang terpaksa menghabiskannya. Jadi terpaksa bersarapan.
Nasib baik masa terakhir makan semalam pukul 7pm. Maksudnya kalau saya makan pukul 10am, saya sudah ‘berpuasa’ selama 15 jam.
Sebab itulah kita disarankan ambil makan malam awal. Supaya perut kita mempunyai masa rehat yang agak panjang sebelum kita mula ambil makanan pada waktu pagi esoknya.
Memang saya sudah kurang makan sejak beberapa tahun dulu. Kadang kala sudah ada rasa takut. Dulu pantang jumpa makanan, semua saya nak rasa. Sekarang masuk umur 40an, jadi takut terutama dengar macam macam cerita kawan-kawan.
Apabila usia sudah masuk 40 tahun, seseorang itu sepatutnya sudah mula ambil berat soal pemakanan. Tidak boleh lagi makan seperti usia muda-muda dahulu.
Bukan lagi pelik kalau orang muda meninggal dunia ketika bersukan. Apatah lagi kawan-kawan saya yang berusia akhir 40an. Luaran nampak sihat. Tiba-tiba ada berita diserang strok, sakit jantung dan ada yang meninggal dunia semasa tidur.
Tubuh sudah bersarang dengan pelbagai penyakit. Seperti rumah yang tersergam kuat tapi bersarang anai-anai. Tiba-tiba runtuh tersembam ke bumi. Ramai yang tidak sedar penyakit yang ada dalam diri. Silalah rujuk kepada doktor.
Saya memang berhati-hati dengan makanan terutama karbohidrat ringkas.
Bila kita kurang makan, kita jadi lapar pula. Jadi nak kurangkan rasa lapar, saya cadangkan agar banyakkan makan sayur, minum air kosong dan ambil lemak sihat 20-30 peratus keperluan tenaga.
Karbohidrat ringkas akan menyebabkan seseorang itu cepat lapar kembali selepas makan. Elakkan pengambilan karbohidrat ini supaya anda tidak kerap asyik nak makan.
Ketiga-tiga makronutrien ini iaitu air, karbohidrat kompleks (sayur-ssyuran) dan minyak sihat inilah yang membuatkan kita rasa puas (satiety) bila makan dan lambat lapar semula.
Kalau tidak, kita akan berasa cepat lapar, dan makan lagi dan lagi walaupun kita tak lapar, kerana kita tak ada rasa puas. Ada perbezaan antara puas dan lapar.
Dr Zubaidi Hj Ahmad
BACA LAGI : PU Riz Pesan Wajib Sediakan Tempat Tinggal Kepada Bakal Isteri Sebelum Berkahwin
Sumber: Dr ZUbaidi
Jom subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video gaya hidup lelaki terkini seperti di bawah!