Berapa ramai daripada anda yang pernah mendaftar keahlian di gim, namun akhirnya menjadi sia-sia kerana tidak dimanfaatkan?
Perkara ini bukanlah satu perkara yang luar biasa kerana memang ramai individu yang ingin mengubah gaya hidup menjadi lebih aktif dan sihat.
Tetapi, ramai juga yang tidak mampu untuk terus kekal dalam perubahan tersebut. Kebanyakannya ibarat ‘hangat-hangat tahi ayam’ sahaja.
Jika anda tidak mahu menjadi salah seorang seperti itu, mungkin langkah-langkah ini boleh membantu anda.
Apabila ditanya mengapa anda mahu bersenam, ramai yang memberi jawapan yang hampir serupa. Kebanyakannya memberi jawapan ingin membina keyakinan diri. Namun adakah itu benar-benar sebabnya?
Setiap individu pasti mempunyai alasan yang berbeza-beza.
Ada yang disebabkan ingin menceburi sukan bina badan, ada yang ingin memohon pekerjaan yang memerlukan mereka mempunyai bentuk badan tertentu, ada pula yang disebabkan trauma menjadi bahan ejekan orang sekeliling, malah ada yang sekadar mahu mengisi masa lapang.
Sebab-sebab yang spesifik sebeginilah sebenarnya ‘Big Why’ anda yang akan membuatkan anda terus kekal konsisten selagi anda belum mencapai tujuan hasrat anda.
Walau apa pun sebabnya, anda tidak sepatutnya berasa malu dengannya kerana ‘Big Why’ inilah punca motivasi sebenar anda.
Apabila anda sudah jelas dengan matlamat anda, maka ini lah saatnya untuk anda mencuba aktiviti yang anda gemari.
Ramai yang kecundang di tengah jalan kerana merasa terbeban dengan aktiviti yang dilakukan.
Setiap orang tidak diciptakan untuk menyukai perkara yang sama. Sedangkan citarasa makanan, hiburan dan jodoh juga berbeza-beza, apatah lagi aktiviti harian.
Sesetengah orang mungkin tidak gemar aktiviti berjoging. Oleh itu, mereka boleh mencuba aktiviti lain seperti berzumba atau berbasikal.
Tidak semua individu yang ingin melatih otot pula gemar menangkat bebanan di gim, maka mereka mempunyai pilihan untuk melakukan senaman kalistenik di taman atau di rumah.
Apabila anda menemui aktiviti yang dekat dengan jiwa anda, barulah anda mampu menjalani setiap sesi latihan tanpa merasa terbeban.
Kebanyakan individu terpaksa menempuh perjuangan membina kecergasan diri secara berseorangan. Alangkah baiknya jika sahabat kita juga turut bersama dalam menempuh perjuangan itu.
Bagaimanapun, perkara itu jauh dari realiti kebanyakan orang.
Tidak semua orang mempunyai minat dan matlamat yang sama, begitu juga dengan sahabat. Beruntung bagi segelintir yang mempunyai sahabat bersama-sama mengubah gaya hidup menjadi lebih aktif dan sihat, namun tidak bagi segelintir yang lain.
Lebih menyedihkan, ada yang terpaksa menjauhkan diri dari sahabat kerana keenganan mereka untuk turut serta mengubah gaya hidup.
Maka, mungkin sudah tiba masanya untuk mencari sahabat baharu di dalam dunia kecergasan.
Bukanlah bermaksud anda perlu memutuskan persahabatan sedia ada, cukup sekadar membina persahabatan yang baharu untuk meneruskan perjuangan anda.
Di saat anda ingin bersenam, anda sudah pun mempunyai sahabat baharu. Apabila anda ingin bersantai pula, sahabat sedia ada anda sentiasa mengalu-alukan anda.
Tidak salah untuk mempunyai ramai sahabat bukan? Sekurang-kurangnya, tidaklah anda berasa sunyi dalam menempuh perjuangan kecergasan anda.
Tidak semua aktiviti kecergasan memerlukan bayaran yang mahal. Namun tidak salah untuk bersiap sedia.
Penting untuk anda mengkaji jenis aktiviti kesukaan anda agar mudah untuk anda kenal pasti sama ada aktiviti itu melibatkan kos tertentu atau tidak.
Jika ya, penting juga untuk mengetahui sama ada kosnya berbentuk sekali bayar ataupun tanggungan berterusan secara bulanan.
Misalnya, yuran keahlian di gim perlu dibayar setiap bulan. Pengambilan makanan harian anda juga akan berubah dan secara tidak langsung memberi impak kepada perbelanjaan harian anda.
Itu belum termasuk jika anda perlu mengambil makanan tambahan seperti minuman protin yang tidak murah harganya.
Jika anda sudah mengambil kira semua aspek perbelanjaan ini, lebih mudah untuk anda mengekalkan komitmen terhadap aktiviti kecergasan anda tanpa risiko terkandas di tengah jalan dengan alasan tidak mampu untuk terus menanggung kos perubahan gaya hidup berkenaan.
Tiada jalan singkat untuk mencapai kejayaan. Begitu juga dengan kecergasan. Kebanyakan individu berhenti separuh jalan kerana letih menunggu hasil yang tidak kunjung tiba.
“Rome was not built in a day”, sebelum anda memulakan perjalanan anda dalam dunia kecergasan, penting untuk anda tanamkan di dalam fikiran anda yang perjalanan itu merupakan suatu perjalanan yang jauh.
Tidak begitu realistik untuk anda menjangkakan hasil yang anda harapkan dapat dicapai dalam jangka masa yang singkat. Tempoh beberapa bulan pertama anda itu bukanlah untuk anda meraih hasil yang jelas dilihat.
Sebaliknya, tempoh itu hanyalah untuk anda membina rutin baharu dan menjadikannya sebagai suatu kebiasaaan.
Untuk mengubah gaya hidup, ia perlu dilakukan secara berterusan. Tidaklah ia dipanggil sebagai ‘gaya hidup’ seandainya ia tidak kekal dalam kehidupan anda. Jika ia begitu mudah pasti sudah ramai yang mempunyai tahap kecergasan yang mantap, bukan? Be patient and enjoy the process, hasilnya akan tiba kelak.