Elak Kongsi Tangkap Layar Sijil Digital Vaksinasi, Ia Boleh Dimanipulasi Pencuri Identiti

Share

Sehingga hari ini, peratusan pemberian vaksin Covid-19 di negara kita sudah semakin meningkat dengan baik sekali. Pemberian vaksin setiap hari juga dilihat cukup banyak dengan semalam mencatatkan lebih 500 ribu dos diberikan di seluruh negara.

Jumlah penduduk di Malaysia yang menerima vaksinasi lengkap juga sudah semakin meningkat. Ketika artikel ini ditulis data dari Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan seramai 9,843,521 orang telah lengkap dos kedua.

Bagi yang telah lengkap dua dos mereka akan menerima sijil digital vaksinasi yang dipaparkan menerusi aplikasi MySejahtera. Ia dipaparkan pada MySejahtera dan akan digunakan oleh penerima vaksin lengkap untuk pelbagai urusan seperti perjalanan merentas negeri dan daerah mahupun aktiviti sosial lain.

Namun seperti biasa pasti ada sahaja pihak yang ingin mengambil kesempatan terhadap pengenalan sijil vaksinasi digital ini. Baru-baru ini telah tular di laman media sosial di mana ada pihak dipercayai di Kedah menawarkan perkhidmatan mencetak sijil digital vaksinasi dengan harga serendah RM15.

KEGUSARAN ORANG RAMAI

Perkara ini turut membuatkan ramai warganet berasa gusar kerana ia boleh menimbulkan masalah penipuan atau pemalsuan. Mengulas perkara ini, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata tiada keperluan untuk masyarakat mencetak sijil digital berkenaan kerana tindakan itu boleh mengelirukan.

Jelasnya, orang ramai hanya perlu emnunjukkan sijil digital di MySejahtera tanpa perlu mencetaknya dan tidak perlu membayar kepada pihak lain untuk mencetaknya.

“Cukup sekadar menunjukkan sijil berkenaan di telefon bimbit masing-masing kepada penguat kuasa termasuk di sekatan jalan raya (SJR),” tambahnya lagi.

Contoh sijil vaksinasi digital

Selain sijil digital, beliat turut berkata orang ramai boleh menunjukkan kad vaksinasi yang diterima selepas suntikan dibuat.

“Masing-masing ada kad itu dan saya pernah jumpa rakyat yang ‘laminate’ kad berkenaan untuk disimpan seperti MyKad. Itu juga sebagai bukti sekiranya telefon bimbit kehabisan bateri dan sebagainya.

“Guna kad yang diberikan dan bukannya yang dicipta atau dijual. Setakat ini, hanya itu sahaja kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Selain itu penerima sijil digital vaksinasi juga digesa agar tidak berkongsi tangkap layar atau screenshot sijol mereka di laman media sosial. Ini kerana di sijil vaksinasi tersebut terdapat informasi peribadi dan maklumat penting tentang diri anda.

Perkongsian yang tidak sepatutnya dilakukan itu boleh membuka ruang kepada penjenayah atau pencuri identiti untuk mengambil kesempatan. Jangan biarkan diri anda terdedah akan bahaya yang tidak perlu.

Buat anda yang telah berkongsinya di laman media sosial, boleh padamkannya sekarang agar tidak disalahgunakan oleh mereka yang tak bertanggungjawab dan ingin mengambil kesempatan.

Sama-sama dapatkan vaksin untuk mencapai imuniti kelompok secepat mungkin agar kita dapat jalani kehidupan sepetti sedia kala.

Lindung diri, lindung semua!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim