Elak Guna 2 Warna Ini Sebab Ia Punca Pepijat ‘Berumah’ Di Katil & Bantal!

Share

Pepijat merupakan serangga yang aktif pada waktu malam dan mampu bergerak pantas. Ia hidup dengan menghisap darah manusia ataupun haiwan berdarah panas yang lain.

Pepijat menggemari habitat dalam rumah terutamanya di bilik tidur. Gigitannya boleh membuatkan kulit anda rasa tidak selesa, gatal dan merah, malah boleh mengganggu tidur lena anda.

Bagaimana anda boleh menghapuskan kehadiran pepijat di rumah? Caranya mudah sahaja.

Bukan hanya masalah kebersihan yang perlu anda beri perhatian, sebaliknya anda juga perlu elak menggunakan dua warna ini kerana kedua-dua warna ini menjadi penyebab pepijat berumah di katil, bantal ataupun selimut anda.

Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr Corraine McNeill dan rakan-rakannya dari University of Florida dan Union College di Lincoln, pepijat gemar menyorok pada katil, sarung bantal, selimut dan sebagainya yang berwarna MERAH DAN HITAM.

Kajian yang sama turut menjelaskan, pepijat tidak gemar untuk menyelinap di bawah fabrik yang berwarna hijau dan kuning kerana kontras tinggi pada kedua-dua warna tersebut mengingatkan pepijat pada siang hari yang membuatkan ia takut.

Para pengkaji yang membuat kajian telah melakukan eksperimen untuk membuktikan teori mereka. Mereka telah menghasilkan sebuah ruang persembunyian (khemah kecil) dengan menggunakan kertas pelbagai warna.

Setiap khemah kecil dalam warna-warna tertentu ini diletakkan pinggan kecil di mana para pengkaji telah meletakkan pepijat di tengah-tengah pinggan dan menunggu selama 10 minit untuk melihat khemah warna apa pepijat ini akan pilih sebagai tempat persembunyian.

Hasilnya? Terbukti khemah kecil berwarna merah menjadi tumpuan pepijat berbanding warna lain. Khemah berwarna hitam juga tidak kurang hebatnya.

Pengkaji turut menjelaskan terdapat pembolehubah lain yang mempengaruhi seperti jantina, umur dan tahap kelaparan pepijat itu tetapi secara konsistennya kesemua pepijat yang digunapakai dalam kajian mereka memilih untuk bersembunyi di khemah berwarna merah dan hitam.

Salah seorang penulis jurnal tersebut bernama Dr Corraine McNeill berkata, “Dulu, kami ingat pepijat akan duduk di tempat yang berwarna merah kerana ia menyamai warna darah yang menjadi sumber makanan mereka. Tetapi kami silap! Setelah membuat kajian, kami dapati pepijat lebih menyukai warna merah kerana ia hampir menyamai warna badan pepijat dan mereka mahu berada di samping ‘kawan-kawan’ yang lain.”

Apabila dah tahu warna apa yang pepijat suka, pastikan anda elak guna aksesori di atas katil yang berwarna merah dan hitam!

Sumber: zmescience

Published by
RY