Ekzos Kereta Bermasalah Tanpa Disedari, Ini Petanda Sebenarnya Ia Mungkin Telah Bocor

Share

Anda pasti pernah mendengar tentang berita menyayat hati bagaimana pemandu dan penumpang yang sedang tidur di dalam kereta meninggal dunia akibat terhidu gas karbon monoksida dari sistem ekzos yang bocor.

Masalah ini bukanlah satu perkara yang harus kita ambil ringan. Ia satu perkara yang sangat serius kerana melibatkan bukan sahaja nyawa anda tetapi penumpang serta pengguna jalan raya yang lain.

Sistem eksoz kenderaan atau kereta amnya telah direka untuk mamastikan pelepasan asap bahan kimia yang terhasil dari kereta keluar dengan baik. Bukan sahaja itu, ia juga berfungsi untuk mengurangkan pelepasan bahan kimia bahaya mengikut tandard piawaian yang ditetapkan oleh badan-badan berwajib.

Foto: philkotse.com

Kebocoran sistem ekzos merupakan satu masalah yang tidaklah kerap berlaku namun ia harus diberikan perhatian yang sewajarnya. Jadi bagaimanakah untuk kita tahu bahawa sistem ekzos kereta mempunyai petanda bahawa ia telah rosak atau bakal berdepan masalah?

MASKULIN tertarik dengan perkongsian dari Scrut Auto menerusi perkongsian di Facebook mereka tentang petanda yang harus diberikan perhatian serius.

Berikut merupakan petanda yang harus anda perhatikan:

BUNYI ENJIN YANG KUAT

Anda sebagai pemilik kereta pasti sudah biasa dengan bunyi enjin sendiri. Jadi kalau ada perubahan ketara mesti akan perasan. Jika anda dapati bunyi enjin kereta lebih kuat dari biasa itu mungkin berpunca dari sistem ekzos telah bocor di bahagian paip atau penyambung. Atau ia juga mungkin berpunca dari gasket yang sudah rosak bila ada perubahan suhu dari panas ke sejuk.

ADA GEGARAN DI PEDAL MINYAK

Salah satu lagi petanda harus diawasi ialah bila pedal minyak selalu bergegar. Ketahuilah bahawa sistem ekzos yang bocor dan bermasalah boleh menyebabkan ada berlakunya gegaran pada bahagian pedal minyak.

Semakin kuat gegaran bermaksud lebih besarlah masalah atau saiz kebocoran yang berlaku pada ekzos. Andai kata anda biarkan sahaja lama-kelamaan stereng dan lantai kereta juga akan bergegar kuat nanti.

Car photo created by freepik – www.freepik.com

ADA BAU ASAP KURANG ENAK DALAM KERETA

Jika berlakunya sistem ekzos yang bocor anda juga boleh kenal pasti bila ada bau yang kurang menyenangkan. Asap atau gas yang terbebas ke udara yang memasuki ruang kabin seperti gas karbon dioksida menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

Akan tetapi, awas ya! Andai kata ekzos kereta anda mengalami kebocoran gas karbon monosikda ia adalah situasi yang sangat membimbangkan. Ini kerana berbeza dengan gas karbon dioksida, gas karbon monoksida mempunyai sifat tidak berwarna, tidak berbau dan tanpa rasa. Inilah yang paling kita takuti!

PENGGUNAAN MINYAK MAKIN KUAT

Anda perasan minyak makin laju sahaja kering. Berbeza dengan dahulu yang mungkin boleh bertahan lebih lama. Jika berlakunya kebocoran pada ekzos, enjin kereta berdepan kesukaran untuk ‘bekerja’. Lalu ia menyebabkan enjin lebih banyak ‘menelan’ dan ‘makan’ minyak untuk hasilkan tenaga bagi menggerakkan kereta. Permulaannya anda mungkin tak perasan. Tpai lama-kelamaan ia akan jadu sangat ketara.

Semoga perkogsian ini memberikan manfaat kepada anda. Memandulah dengan baik setiap masa ya!

Jangan lupa untuk subscribe YouTube MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

Kredit: Scrut Auto

Published by
Farizul Izwany Ibrahim