DYXY IS MORE THAN JUST A MAKEUP
Kejayaan itu adalah proses membina dan mempersiapkan diri untuk mencapai satu matlamat. Membina sebuah empayar pula adalah satu perjalanan membina kekuatan dalam menambah pengetahuan yang tak pernah habis dan tiada noktah. Sama ada tercapai mahupun tidak, ia bukan lagi jadi keutamaan, sebaliknya perjalanan itu harus dinikmati demi perubahan yang kian mencabar, rasai setiap kepuasan dan keseronokan itu dengan sebaiknya.
Demi merealisasikan impian untuk kekal cantik, ada yang sanggup berhabis wang sehingga beribu-ribu ringgit setiap bulan khusus untuk membeli produk-produk kecantikan. Makanya kuasa beli wanita itu cukup besar dilihat di dalam arus caturan perniagaan. Dari kesedaran itu, DYXY, sebuah jenama produk kosmetik baru keluaran bumiputera terus mengorak langkah demi memenuhi kehendak pengguna mereka yang sememangnya ingin tampil cantik, sempurna dan yakin setiap hari.
ATURAN KEHIDUPAN
“Masa lalu anda tidak sama dengan masa depan anda.”
Mungkin sudah tertulis suratan dalam kitab kehidupan, fasa kejatuhannya membuatkan figura besi ini terbang tinggi seperti hari ini. Tersusun ribuan liku kepayahan yang harus ditempuh demi meraih manisnya kejayaan. Kini tular di media sosial, produk kosmetik DYXY mampu mengubah tekstur wajah pengguna menjadi lebih sempurna tanpa sebarang editing di telefon pintar. Mahu mengenali lebih dekat pengasasnya, Maskulin bersama Shah Hafiz Borhannuddin, 31 tahun atau lebih dikenali sebagi Shah Hafiz, berkongsi ceritera hidupnya, membangun sebagai anak peniaga dan kini menjadi usahawan kosmetik yang semakin disegani.
Dia yang satu ketika dahulu pernah dihimpit kepayahan hidup benar-benar mengajar dirinya untuk lebih menghargai kejayaan. Shah Hafiz, sangat optimis dengan produk kecantikan kosmetik DYXY yang dilihat sebagai anak sulungnya yang wajar diberikan tumpuan.
“Mungkin orang tidak mengenali siapa saya lagi, saya juga terkejut kerana diberikan penghargaan sebesar ini untuk menghiasi kulit hadapan Maskulin edisi Mac 2018. Ini diibaratkan sebagai salah satu kejayaan peribadi yang tidak mungkin dapat saya lupakan. Membesar dalam keluarga kecil hanya ada ayah dan abang, kami dibesarkan dan diberi kasih sayang dengan cukup sempurna sekali, hinggalah saat kehilangan ibu tercinta sewaktu saya berusia dalam lingkungan belasan tahun. Sejak itu keluarga kami sedikit goyah, ditambah pula nasib ayah yang baru kehilangan kerja dan punca pencarian utama waktu itu.
KAMI SEKELUARGA HANYA TINGGAL DI FLAT LAMA YANG SANGAT SEMPIT DAN TIDAK SELESA. PALING TIDAK MUNGKIN DAPAT SAYA LUPAKAN, APABILA TIBA BULAN RAMADAN, KAMI SEKELUARGA MENGALAS PERUT HANYA DENGAN MENIKMATI JUADAH SARDIN YANG DIPELBAGAIKAN. SAHUR DAN BERBUKA, ITULAH MENU KAMI. JIKA BOSAN, KAMI SINGGAH KE MASJID UNTUK MERASAI SUATU YANG BERBEZA UNTUK MENGALAS PERUT KAMI.”
“Disebabkan tiada peluang menyambung pengajian ke peringkat tinggi, saya mula berniaga sendiri, dari pasar malam sehinggalah perniagaan import eksport. Satu ketika apa yang direncanakan tidak berjalan lancar, habis musnah perniagaan waktu itu dan saya diisytiharkan bankrap pada usia 23 tahun. Hutang tidak perlu diceritakan, lebih ratusan ribu ringgit terpaksa saya langsaikan. Sedih, tidak ramai yang ingin membantu tika itu, hanya isteri dan keluarga tempat saya mengadu. Isteri berikan sokongan yang tidak terhingga sehinggalah satu ketika saya mendapat idea tatkala melihat isteri sibuk dengan alatan soleknya. Terdetik untuk saya memperkembangkan perniagaan berasaskan solekan.”
“Tidak mudah untuk saya yang bermula dari kosong semula untuk meraih kepercayaan, saya mengambil masa sekitar dua tahun untuk kembali pulih dari kemerosotan hidup. Isteri saya sangat membantu dalam usaha kami merealisasikan perniagaan kosmetik pertama kami. Akhirnya DYXY tercipta yang hanya bermula dengan satu BC Cream sahaja. Memulakan sejarah perniagaan kami di Wakaf Che Yeh Kelantan dengan bertemankan sebiji meja plastik menjadi saksi perjudian nasib terakhir perniagaan ini. Kenapa memilih Kelantan? Saya lihat ramai usahawan kosmetik berjaya banyak bermula dari negeri ini. Siapa sangka orang di sana sangat-sangat membantu dan begitu terbuka dalam menerima produk baru kami. Hanya dalam tempoh dua bulan produk kami semakin dikenali, meraih kepercayaan juga perhatian. Sejak itulah DYXY terus berkembang.”
“Bila berbicara mengenai produk berasaskan alat solek wanita, lelaki adalah agen paling mudah memahami dan mendekati pelanggan wanita. Berbeza gender inilah menjadi daya tarikan utama produk DYXY semakin dikenali. Simple, lelaki faham kehendak wanita dan kuasa beli wanita itu sangat besar, jadi mengapa perlu saya persiakannya. Kini isteri saya yang menguruskan perihal produk dan saya sepenuhnya menguruskan rancangan dan projek pembangunan produk DYXY untuk tempoh masa mendatang.”
DAPATKAN MAJALAH MASKULIN EDISI MAC 2018, KINI DI PASARAN!