Fesyen

Dulu Hanya Minat, Kini Pemilik Kurta Jenama Sendiri!

Share

Cetus Minat dari Kecil

Khaire Idris, pengasas jenama KhaireIdris ini membuktikan bahawa minat yang mendalam sejak kecil mampu menjadi pemangkin kejayaan besar.

Berbekalkan ilham daripada ibunya yang merupakan tukang jahit, Khaire mula menanam impian dalam dunia fesyen tanpa menoleh ke belakang.

“Saya tiada SPM, tapi saya percaya kemahiran boleh membawa kita jauh. Melihat mak menjahit di rumah menjadi titik permulaan saya ambil sijil kemahiran dan mula berjinak-jinak dalam dunia fesyen,” katanya ketika ditemui.

Sejak kecil, Khaire sudah terbiasa melihat ibunya menyiapkan tempahan pelanggan di rumah.

Bunyi mesin jahit dan bau kain baru sudah menjadi rutin harian yang akhirnya menumbuhkan rasa cinta terhadap bidang tersebut.

Bagi Khaire, kemahiran adalah aset paling berharga dan mampu membuka pintu kejayaan tanpa mengira latar belakang akademik.

Perjalanan Menimba Ilmu & Pengalaman

Bermula dengan mempelajari asas jahitan daripada ibunya, Khaire tidak berhenti di situ.

Demi memperkukuhkan kemahiran, beliau mengambil sijil kemahiran dalam bidang fesyen dan tekstil.

Tidak cukup dengan itu, Khaire juga pernah bekerja bersama beberapa pereka fesyen terkenal yang banyak membantunya memahami selok-belok dunia fesyen dengan lebih mendalam.

“Daripada mereka, saya belajar tentang teknik potongan, jahitan berkualiti dan bagaimana membina identiti jenama sendiri. Pengalaman itu sangat berharga kerana saya dapat melihat sendiri bagaimana sesuatu koleksi dihasilkan dari awal hingga akhir,” tambahnya.

@maskulinmy Dulu hanya minat, kini ada jenama sendiri! Siapa sangka, tanpa SPM hanya berbekal minat dan inspirasi dari ibunya, beliau kini berjaya membina jenama sendiri! Jom ikuti kisah inspirasi ini! 🔥 @khairree ♬ original sound – Maskulin

Cabaran & Persaingan dalam Industri Fesyen

Menjadi pereka fesyen muda sememangnya tidak mudah. Khaire harus berdepan dengan persaingan sengit daripada jenama-jenama besar yang sudah lama bertapak dalam industri.

Namun, beliau percaya bahawa kualiti dan keunikan rekaan mampu menjadi daya penarik pelanggan.

“Jenama besar sudah establish. Saya pula baru bermula, jadi saya perlu bekerja keras untuk membuktikan kualiti produk saya. Apa yang membezakan saya adalah sentuhan personal dan perhatian terhadap setiap tempahan pelanggan,” jelasnya.

BACA LAGI : Cristiano Ronaldo dan Minatnya Terhadap Kereta Super Mewah, Koleksinya Luar Biasa!

Kualiti Adalah Keutamaan

Bagi Khaire, kepuasan pelanggan adalah segalanya.

Setiap tempahan melalui proses fitting secara peribadi bagi memastikan setiap helaian menepati cita rasa pelanggan.

“Saya sentiasa pastikan kualiti lebih penting daripada kuantiti. Setiap pakaian dihasilkan dengan penuh perhatian, dari potongan hingga jahitan terakhir. Jika pelanggan tidak puas hati, saya sanggup membetulkan sehingga mereka benar-benar berpuas hati,” jelasnya.

Dengan pendekatan ini, KhaireIdris berjaya membina hubungan erat dengan pelanggan yang menghargai keunikan dan kehalusan kerja tangannya.

Impian Butik Sendiri

Walaupun masih bertatih dalam industri, Khaire tidak pernah berhenti bermimpi untuk memiliki butik sendiri satu hari nanti.

Impian ini menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha memperkenalkan jenamanya kepada lebih ramai pelanggan.

“Semua orang ada impian. Saya percaya perjalanan ini akan membuahkan hasil jika kita terus berusaha dan tidak mudah putus asa. Lambat atau cepat, saya yakin butik impian itu akan menjadi kenyataan,” katanya penuh semangat.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.

 

Published by
Darwisy Farain