Dulu Dibuli, Sekarang Jadi Jurulatih Taekwondo

Share

Anak jati Selangor ini sangat hemah dalam berbicara. Orangnya hebat namun tetap sahaja merendah diri. Seorang jagoan Taekwondo, jurulatih, atlet kebangsaan, pengurus dan juga seorang usahawan muda, yang kami kira paling sesuai dipaparkan kisah perjalanannya untuk kami sampaikan.

Permulaan

10 tahun, sewaktu itu saya sering dibuli di sekolah. Lalu saya mengambil keputusan untuk menyertai kelas Taekwondo. Mulanya, sebelum saya belajar Taekwondo, saya sangat takut ketika dibuli, selepas saya belajar saya lebih berani dan yakin dengan kemampuan diri. Saya balas semula kelakuan pembuli. Sebenarnya mereka penakut. Mereka hanya sekadar menunjuk lagak bahawa mereka kuat. Saya terus mendalami Taekwondo and that was how I became an athlete.

Pencapaian

Saya mewakili Selangor pada peringkat kebangsaan. Memenangi emas pertama pada usia 11 tahun. Juara Taekwondo Remaja Peringkat Kebangsaan 2000, Juara UKM National Championship 2002, Juara Taekwondo Terbuka Kebangsaan 2004 dan Juara MMA Kebangsaan.

The way of life

Taekwondo mengajar saya erti kehidupan.Taekwondo tidak hanya mengajar sepak terajang semata-mata. Kini, saya sebagai jurulatih selalu berpesan pada anak-anak murid saya. Kenapa kamu mahu belajar Taewondo? Pertama, disiplin sangat penting. Kedua, selain kita belajar cara tumbukan dan tendangan, kita belajar cara mengawal diri. Yang paling penting, ketiga, cara hormat orang yang lebih tua daripada kita. I really encourage Malaysian to start from young.

Demi taekwondo

Semasa awal pembelajaran, sedikit agresif. Pantang dicabar mesti berlawan. Sehinggakan ibu memaksa saya berhenti. Namun atas semangat yang membara, saya belajar secara rahsia. Bayangkan, ketika itu saya baru berusia 11 tahun dan saya sudah pandai menyimpan duit belanja sendiri, semata-mata mahu meneruskan juga perjuangan diri. Saya masih ingat ketika itu, saya perolehi RM15 wang belanja sebulan. Saya simpan duit itu, kadang-kadang saya tak makan di kantin. Setiap hari Sabtu dan Ahad, saya akan menyelinap seragam Taekwando saya dalam beg sekolah. Mereka fikir saya main bola keranjang bersama teman. Sedangkan saya pergi ke kelas Taekwondo. Saya basuh sendiri seragam itu di rumah kawan sebelum pulang ke rumah.

Akhirnya, saya terpaksa memberitahu. Saya perlukan tandatangan ibu bapa untuk saya memasuki pertandingan pertama Taekwondo mewakili Selangor. Pada mulanya ibu saya terkejut. Pertama sekali, dia bertanya bagaimana saya mampu membayar yuran? Saya mengaku pada dia saya simpan wang belanja yang diberi bapa. Mulanya dia berang kerana merahsiakan hal ini. Namun mungkin dia melihat kelakuan saya sudah berubah dan nampak hati saya pada Taekwondo. Barulah dia merestui saya untuk meneruskan Taekwondo.

Perusahaan

Saya mula mengajar semasa berusia 21 tahun pada tahun 2006. Saya hanya membuka kelas di taman. Orang-orang mengatakan yang saya tidak akan berjaya. Saya tetapkan dedikasi. Saya buktikan pada mereka. Dengan semangat, sekarang saya berjaya membuka sebuah gimnasium dan akademi saya sendiri, Elitez MMA Fitness Academy (2008) di Klang dan cawangan kedua di Setia Alam (2015). Di kedua-dua akademi ini, saya kembangkan seni mempertahankan diri yang lain seperti MMA, Tinju, Muay Thai, Brazilian JiuJitsu, Capoeira, Ladies Self Defense

dan Body Chun Fitness (BCF) dan juga melantik jaguh-jaguh kebangsaan seni bela diri masing-masing sebagai jurulatih. Kalau tiada aral yang melintang, pada tahun ini, saya merancang untuk membuka cawangan ketiga dan mengajar sepenuh masa.

Harapan

Supaya saya dapat melahirkan seorang atlet kebangsaan yang berjaya merangkul emas Taekwondo pada sukan Olimpik untuk Malaysia. Saya juga berharap kekal menjadi yang terbaik dalam arena Taekwondo, sama ada dari segi ‘Kyorugi’ (tempur) mahupun ‘Poomsae’ (corak). When I’m in a competition, I’m facing a real opponent. 

 

Published by
Kim Rahim