Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) mengumumkan pilihan warna baharu hitam dan biru bagi skuter NMAX. Ketibaan warna baharu itu menandakan produksi warna lama merah dan kelabu dihentikan.
Sudah pun berada di pasaran bermula minggu ini, HLYM menyatakan harga jualan bagi model NMAX masih kekal tanpa kenaikan harga. Untuk makluman, Yamaha NMAX ditawarkan ke pasaran tempatan Januari tahun lalu pada harga pengenalan RM8,812.84 (termasuk GST) seunit.
Skuter sporty itu dijana oleh enjin 155cc, penyejukan cecair SOHC, pancitan bahan api bersama teknologi Bluecore. Dipadankan dengan transmisi V-belt automatik, enjin itu mampu menghasilkan kuasa 11.1kW pada 8,000rpm dan tork 14.4Nm pada 6,000rpm.
Posisi tunggangan NMAX lebih santai berbanding NVX yang mana penunggang masih boleh melunjurkan kaki pada ruang lantai. Yamaha NMAX dilengkapi dengan ciri LED pada lampu utama dan lampu brek belakang . Manakala panel instrumen LCD menawarkan rekaan moden dan trendy.