Memiliki seorang anak autism membuatkan doktor selebriti Dr Say Shazril, atau nama sebenarnya Muhammad Shazril Shaharuddin giat menyebarkan maklumat mengenai masalah itu demi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autism.
Terbaharu, Dr Say berkongsikan salah satu cara untuk mengesan tanda-tanda autism pada bayi yang dikenali sebagai Autism Mirror Test.
Menerusi hantaran video di laman media sosialnya, Dr Say menunjukkan cara-cara menjalankan ujian itu dengan menggunakan anak ketiganya Zeqriel.
Untuk melakukan ujian ini, ibu bapa boleh mendukung bayi di hadapan cermin dan bermain agah-agah dengan pantulan di cermin.
View this post on Instagram
Jelas Dr Say, salah satu tanda autism adalah apabila bayi itu tidak menunjukkan minat terhadap pantulan dirinya sendiri atau ibu bapanya di dalam cermin.
Sebaliknya, mereka lebih berminat terhadap objek-objek lain yang ada pada pantulan cermin berkenaan.
Perkara ini juga merupakan salah satu tanda yang dilihat ada pada anak sulungnya Aezriel, atau nama timangannya Ace suatu ketika dahulu, tambah Dr Say.
Penunjuk Yang Baik Walau Tidak 100% Tepat
Bagaimanapun, ujian Autism Mirror Test ini tidaklah mengesahkan autism secara 100 peratus tepat kerana ada banyak lagi tanda-tanda yang boleh menunjukkan potensi autism pada bayi.
Namun, Dr Say berkata ujian ini merupakan satu penunjuk yang baik untuk ibu bapa bersiap sedia agar dapat mengambil langkah sepatutnya seawal mungkin.
Oleh itu, Dr Say mengesyorkan ibu bapa untuk melakukan ujian mudah ini di rumah terhadap bayi masing-masing, terutamanya bagi ibu bapa yang sudah mengesyaki tanda autism pada bayi mereka.
Terdahulu, Dr Say mendirikan rumah tangga dengan Dr Azura Abas pada 2014 dan dikurniakan tiga anak lelaki iaitu Aezriel, Sefriel dan Zeqriel, masing-masing dikenali dengan nama timangan Ace, Sef dan Zeq.
Aezriel mula menunjukkan tanda-tanda autism seawal usia enam bulan dan dikesan oleh Dr Azura, namun Dr Say bersikap menafikan kenyataan pada ketika itu.
Apabila pakar sudah mengesahkan yang Azriel adalah seorang kanak-kanak autism, barulah Dr Say menerima perkara itu, malah mengingatkan ibu bapa lain agar tidak bersikap sepertinya.
Memetik laman Autism Malaysia, autisme merupakan gangguan spektrum sepanjang hayat dan boleh dikenal pasti seawal usia 18 bulan.
Kanak-kanak yang mengalami gangguan autisme akan memperlihatkan tanda-tanda tertentu, antaranya ialah lambat bertutur apabila mencapai usia tertentu dan kesukaran untuk berkomunikasi walaupun secara bukan lisan.
Sumber: Instagram Dr Say Shazril
BACA: Pernah Terfikir Dapat Anak Autism Akibat Dosa Lampau, Kata-Kata Isteri Tenangkan Hati Dr Say
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
KLIK DI SEENI