Dalam dunia serba pantas hari ini, mempunyai lesen serta kebolehan mengendalikan pelbagai jenis kenderaan bukan sekadar satu kelebihan, tetapi boleh menjadi faktor penentu antara hidup dan mati. Ini terutamanya bagi seorang pakar perubatan kecemasan seperti Dr Leong Keen Wai.
Baru-baru ini, kisah doktor berusia 37 tahun ini tular di media sosial apabila beliau mendedahkan bahawa dirinya memiliki 10 jenis lesen memandu, merangkumi segala-galanya daripada motosikal hingga ke jentera berat.
Bagaikan watak dalam K-drama “Trauma Code: Heroes on Call”, di mana protagonisnya memiliki kemahiran luar biasa untuk menyelamatkan nyawa, Dr Leong juga tidak mahu bergantung kepada orang lain apabila nyawa menjadi taruhan.
Lebih Banyak Lesen, Lebih Banyak Peluang Menyelamatkan Nyawa
Bagi Dr Leong, memiliki pelbagai lesen kenderaan bukan sekadar hobi atau pencapaian peribadi. Ia adalah satu keperluan dalam tugasnya sebagai doktor kecemasan di Hospital Putrajaya.
Menurut laporan Malay Mail, Dr Leong menjelaskan bahawa dia mahu sentiasa bersedia menghadapi kecemasan dengan tidak bergantung kepada orang lain untuk mengendalikan kenderaan tertentu dalam situasi kritikal.
Ads
“Sebagai doktor kecemasan, saya sering berada dalam situasi di mana setiap detik penting. Jika ada apa-apa yang boleh saya lakukan untuk mempercepatkan bantuan, saya tidak akan teragak-agak,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa dalam keadaan bencana atau kemalangan besar, beliau mahu mampu memandu ambulans, trak atau kenderaan khas sendiri tanpa perlu menunggu bantuan pihak lain.
Foto: Instagram Dr Leong Keen Wai
“Buat masa ini, saya menggunakan kemahiran ini terutamanya dalam simulasi ambulans dan trak untuk bersedia menghadapi senario kehidupan sebenar.”
Ads
“Walaupun pengurusan bencana adalah bidang kepakaran saya, saya amat berharap bencana seperti itu tidak pernah berlaku. Tetapi jika ia berlaku, saya sentiasa bersedia,” kata graduan perubatan kecemasan Universiti Malaya itu.
Lesen Yang Dimiliki
Untuk memastikan dirinya bersedia dalam apa jua keadaan, Dr Leong telah mendapatkan pelbagai lesen kenderaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk:
Kelas B – Motosikal besar
Kelas C – Basikal tiga roda
Kelas D – Kereta manual
Kelas E – Lori besar, dump truck
Kelas H – Traktor, forklift, jentera berat beroda
Kelas I – Jengkaut dan jentera berantai
Kenderaan Perkhidmatan Awam (D) – Ambulans, teksi, e-hailing, van penumpang
Kenderaan Perkhidmatan Awam (E) – Bas
Lesen Memandu Barang (E) – Lori gandar tetap, van jenazah
Lesen Memandu Barang (E) – Lori treler
Menariknya, Dr Leong tidak berhenti di situ. Beliau bercadang untuk mengambil lesen tambahan bagi mengendalikan kren menara, kren crawler, skylift, trak B-double (kereta api darat) dan juga helikopter!
Dengan semangatnya yang luar biasa, jelas Dr Leong bukan sekadar seorang doktor, tetapi seorang individu yang benar-benar dedikasi terhadap keselamatan dan kesiapsiagaan dalam apa jua keadaan.
Jadi, apa alasan kita untuk tidak bersedia?
Sumber: BERNAMA, Malay Mail
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Sejak beberapa minggu ini nama Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerap disebut-sebut terutamanya di laman media sosial. Ia mungkin berikutan perbincangan di antara beliau dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang beberapa perkara melibatkan industri beras di negara kita.
Seperti mana yang kita semua sedia maklum Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary merupakan ahli pernigaan bumiputera terkaya di Malaysia. Empayar perniagaannya meliputi pelbagai jenis industi menjadikannya sebagai antara ushawan Melayu terbaik.
Bercakap mengenai usahawan yang bertaraf bilionair ini, MASKULIN teringat dengan amat yang pernah disampaikan oleh beliau suatu ketika dahulu ketika menghadiri sebuah acara pertubuhan usahawan tempatan di Kelantan.
Buat anda yang kini menjadi usahawan ikutilah amanat dari beliau dan semoga ia dapat membantu perniagaan anda menjadi lebih baik dan maju.
FOKUS SEBELUM PELBAGAIKAN
Beliau nasihatkan agar para usahawan fokus kepada satu perniagaan terlebih dahulu sehingga stabil dan menguntungkan sebelum mempelbagaikan perniagaan. Beliau mempelbagaikan perniagaan setelah perniagaan pertama beliau telah stabil dan menguntungkan.
“Perniagaan pertama perlu kukuh sebelum anda mempelbagaikan perniagaan supaya jika perniagaan yang baru kita ceburi tidak maju, maka kita boleh kembali kepada perniagaan pertama yang kita usahakan” – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya sendiri kalau apa-apa terjadi terhadap perniagaan saya sekarang, saya akan balik buat perniagaan yang mula-mula saya usahakan dulu. Perniagaan pertama saya masih beroperasi, lori dan kedai masih ada lagi di Kedah,” tambah beliau.
Beliau juga nasihatkan agar usahawan muda jangan cepat nak berjaya. Setiap usaha sememangnya perlu melalui fasa kesusahan, cabaran dan sebagainya. Beliau mengambil contoh diri beliau sendiri yang bermula dari bawah dengan membantu ayahnya menjual lembu dan kerbau di kampung sebelum mencapai tahap sekarang.
“Kalau kita melalui jalan yang susah, barulah kita akan menghargai dan menemui jalan senang” – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
Biasanya apabila memperolehi kejayaan yang singkat, mudah jugalah untuk perniagaan yang kita usahakan itu jatuh.
“Kalau kita melalui jalan yang susah, barulah kita akan menghargai dan menemui jalan senang”.
JANGAN PUTUS ASA
Ini adalah frasa yang kerap keluar daripada mulut beliau. Beliau menjelaskan setiap perniagaan sama ada kecil atau pun besar akan mempunyai masalah, cabaran dan kerenah yang tersendiri. Oleh itu, para usahawan tidak boleh mudah berputus asa dan tunduk dengan masalah.
“Saya ni tiada apa-apa, tiada apa yang istimewa tentang diri saya. Tetapi apa yang membezakan saya ialah bagaimana saya menghadapi setiap cabaran dan masalah di dalam perniagaan” – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
Beliau ada berkongsi susah-payah mengenai perniagaan pertama yang beliau usahakan bersama rakan kongsi bukan bumiputera.
Bagaimana rakan kongsi tersebut menekan beliau sehingga terpaksa menggadaikan dua lot tanah milik keluarga untuk dijadikan modal tambahan bagi mengekalkan penguasaan share majoriti di dalam syarikat Bukhary Rice Sdn. Bhd.
“Kalau apa-apa terjadi terhadap perniagaan saya masa tu, maka kami sekeluarga boleh kehilangan tempat tinggal,” jelas beliau.
JANGAN SEKADAR HARAP DIBANTU
Beliau sering mengingatkan bahawa beliau hanyalah orang biasa yang diberi peluang oleh kerajaan. Apabila diberi peluang, beliau akan berusaha bersungguh-sungguh terhadap peluang tersebut.
Oleh itu, beliau berpesan kepada semua usahawan agar bukan sekadar berharap untuk dibantu tetapi bersedia dari segi fizikal dan mental untuk dibantu.
Ramai orang Melayu apabila kerajaan anugerahkan projek, mereka lebih cenderung untuk berikan projek tersebut kepada syarikat lain untuk usahakan kerana mengejar keuntungan jangka masa pendek. Majoriti syarikat Melayu akan memberikan projek kepada syarikat bukan bumiputera untuk mengusahakannya sebagai sub-company.
“Tak mengapa biar saya usaha sendiri untuk beli lori tambahan bila dah untung nanti” – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Saya diberikan 3 permit lori untuk membawa beras dan saya apply loan MARA untuk membeli lori. MARA berikan saya cukup-cukup RM110,000 untuk belikan sebuah lori. Ada usahawan Cina datang nak beli atau sewa dua lagi permit saya, tetapi saya tak bagi. Tak mengapa biar saya usaha sendiri untuk beli lori tambahan bila dah untung nanti,” kata beliau.
YAKIN DENGAN DIRI SENDIRI
Beliau juga mengharapkan agar para usahawan yakin dengan diri sendiri dan apa yang sedang diusahakan. Ramai usahawan bumiputera tidak boleh berjaya bukan kerana idea mereka tidak bagus, tetapi kerana tidak yakin dengan diri mereka.
“Allah kata kalau nak kenal Dia maka kena kenal diri sendiri dulu. Yakin dengan diri sendiri adalah salah satu tanda orang itu kenal dirinya sendiri. Insyallah bila yakin Allah akan permudahkan urusan kita” – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Allah kata kalau nak kenal Dia maka kena kenal diri sendiri dulu. Yakin dengan diri sendiri adalah salah satu tanda orang itu kenal dirinya sendiri. Insyallah bila yakin Allah akan permudahkan urusan kita,” jelas beliau.
BERNIAGA BUKAN UNTUK DIRI SENDIRI SEMATA
Beliau terkenal sebagai seorang usahawan yang banyak memberi kembali kepada masyarakat. Malah beliau mempunyai lebih kurang 260,000 pekerja yang berkait secara langsung ataupun tidak dengan semua syarikat milik beliau. 80% diperuntukkan untuk golongan bumiputera.
Apa yang lebih menarik, beliau tidak menjual perniagaan beliau kerana memikirkan nasib golongan yang bergantung kepada syarikat beliau untuk mendapatkan sumber rezeki.
“Jika saya jual satu lori maka secara tidak langsung tiga keluarga Islam Melayu telah hilang sumber pendapatan” – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Kedai dan lori-lori untuk perniagaan pertama saya masih lagi ada di Kedah. Perniagaan itu masih berjalan seperti biasa. Setiap lori akan ada tiga orang pemandu, jika saya jual satu lori maka secara tidak langsung tiga keluarga Islam Melayu telah hilang sumber pendapatan,” jelas beliau.
USAHAWAN ISLAM INGAT AKHIRAT
Beliau juga berpesan bahawa setiap usahawan Islam tidak sama dengan usahawan bukan Islam. Usahawan Islam berniaga untuk mendapat manfaat di dunia akhirat tetapi usahawan bukan Islam berniaga untuk dunia sahaja.
“Kita sebagai usahawan Islam kalau berjaya syukur dan kalau tak berjaya pun kita syukur. Paling penting kita terus berusaha” – Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary
“Jadi jangan risau kalau kita tengok kenapa bangsa lain yang bukan Islam lebih berjaya di dalam perniagaan kerana Allah dah janjikan dunia buat mereka. Kita sebagai usahawan Islam kalau berjaya syukur dan kalau tak berjaya pun kita syukur. Paling penting kita terus berusaha,” jelas beliau mengingatkan semua hadirin.
Janggut memiliki kesan maskulin dan hero pada seseorang. Dari segi sains, janggut memberi kontra pada warna kulit wajah. Begitu juga apa yang berlaku pada pelakon utama drama Meteor Garden si kacak Jerry Yan ini!
Walau lebih 20 tahun fenomena drama bersiri popular tersebut sudah berlalu, namun penangan lakonan mantap aktor berkenaan di samping kumpulan penyanyi lelaki terkenal Taiwan waktu itu, F4 masih memberi kesan di hati penonton termasuk di Malaysia sampai sekarang!
Jerry Yan kini meniti usia 47 tahun. Dilahirkan pada 1 Januari 1977 , pelakon ini merupakan nama besar dalam industri seni Taiwan dan dikenali sebagai pelakon, model, penyanyi dan hos televisyen.
Biarpun kini berusia 47 tahun, kemunculan bintang drama bersiri Meteor Garden, Jerry Yan, tetap mengagumkan. Terbaru dia tampil berbeza dengan misai & janggut.
Rahsia Awet Muda
Ternyata aktor yang berusia pertengahan 40-an itu menjalani kehidupan yang simple untuk memastikan dirinya kelihatan seperti ini. Kata Jerry bergurau, dia memerlukan mekap untuk kelihatan hebat sekarang. Tapi aktor itu mengakui lifestyle yang dijalani simple, sentiasa gembira dan bahagia serta tidak terlalu memikir tekanan hidup.
Di dunia sekarang di mana selebriti sering tunduk pada tekanan, Jerry selesa untuk tidak obses akan media sosial, malah dia juga bukan jenis yang selalu dengan telefonnya. Tak ada media sosial, tak ada hal! Hidup lagi bahagia!
Jerry Yan mempunyai akaun Instagram rasmi (@jerry_yan_official), tetapi jarang dikemas kini, dan hanya digunakan untuk hal kerja sahaja.
Cara Jerry Yan untuk mendapatkan six packs pula ialah dengan menjalani kehidupan dengan positif, bersenam secara teratur dan jaga pemakanan agar tetap sihat dan cergas.
Nampak macam mudah kan tip awet muda dari Jerry Yan ni!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Esma Danial sambung belajar di UPSI, tunai amanat arwah bapa. Sudah lebih 10 tahun meninggalkan alam pembelajaran, pelakon berpengalaman Esma Daniel kini teruja untuk kembali bergelar pelajar apabila bakal melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana dalam bidang Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sulta Idris (UPSI) bermula April ini.
Esma Danial Sambung Belajar Di UPSI, Tunai Amanat Arwah Bapa
Esma, atau nama penuhnya Esma Daniel Md Isa, yang kini berusia 56 tahun, berkongsi bahawa keputusan ini adalah sebagai memenuhi hasrat arwah bapanya, Md Isa Abidin, yang sentiasa menekankan kepentingan menuntut ilmu walau dalam apa jua keadaan dan usia.
Menurut Esma, dia turut terinspirasi kerana bakal menimba ilmu bersama rakan-rakan seindustri seperti Tomok dan Amerul Affendi.
Berikut perkongsian Esma di laman Instagramnya.
Alhamdulillah, satu langkah baru dalam perjalanan ilmu.
Saya bersyukur dan gembira menerima tawaran untuk menyambung pengajian Sarjana Pengajian Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris @upsi_malaysia.
Ini bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga amanat arwah abah, Allahyarham Md Isa Abidin, yang sentiasa berpesan agar saya terus menimba ilmu tanpa mengira usia dan sentiasa istiqomah dalam setiap usaha.
Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong dan mendoakan. Semoga perjalanan ini diberkati dan memberi manfaat, Insya Allah.
“Arwah ayah saya sering berpesan supaya saya terus belajar walaupun sudah ada pekerjaan tetap. Baginya, ilmu itu tidak terbatas dengan usia, dan usaha yang berterusan adalah kunci kejayaan. Jadi, saya rasa sekarang adalah masa paling sesuai untuk sambung belajar, sambil meneruskan kerjaya lakonan saya. Rasa macam muda balik bila fikir nak daftar masuk April nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, Esma memaklumkan beliau akan menyertai program Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (ApelQ), yang menurutnya sangat bertepatan dengan latar belakangnya.
Program ini membuka ruang kepada individu yang hanya memiliki kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seperti dirinya, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi melalui penilaian pengalaman kerja terdahulu.
“Walaupun saya akan terlibat dengan tugasan dan bimbingan pensyarah, saya tetap akan terus bekerja seperti biasa. Cuma, kali ini ada tambahan elemen pembelajaran dalam rutin harian saya.
“Menariknya, program ini tak mewajibkan kehadiran ke kelas secara fizikal, walaupun saya akan mengikuti kursus ini secara sepenuh masa,” jelasnya.
Esma turut menyatakan keyakinannya bahawa penglibatan dalam program ini mampu memberi nilai tambah dalam karier seninya yang telah lama diceburi.
“Saya percaya setiap individu perlu ada pencapaian dalam bidang akademik juga. Selepas sekian lama berada dalam industri lakonan dan melakukan pelbagai perkara, saya rasa sudah tiba masanya untuk memperkukuh diri dengan ilmu yang lebih formal,” tambahnya.
Dengan semangat baharu ini, Esma membuktikan bahawa pencapaian akademik bukan hanya untuk golongan muda, tetapi juga relevan buat sesiapa yang masih mahu belajar dan berkembang, tidak kira usia.