Doktor Ini Kongsi Kerisauan Lihat Kereta Makin Banyak Atas Jalan Macam Tak Ada PKP

Share

Seperti mana yang kita semua tahu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah disambung buat kali kedua bermula 15 April sehingga 28 April 2020.

Kita beruntung kerana penguatkuasaan yang dilakukan di dalam negara oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan melakukan sekatan jalan raya dan rondaan mampu membantu orang ramai patuh terhadap PKP.

Majoriti rakyat Malaysia mengikuti kepatuhan terhadap arahan kerajaan dengan baik sekali walaupun masih ada segelintir yang mengambil mudah akan kondisi serius penularan wabak COVID-19.

Namun selepas pengumuman pelanjutan tempoh PKP yang kedua ramai menyuarakan kerisauan apabila melihat jumlah kenderaan di atas jalan raya meningkat. Ini turut disuarakan oleh Dr Ahmad Luqman Bukhari, seorang doktor yang bertugas di sebuah hospital di Seremban, Negeri Sembilan.

Luahan itu disuarakan oleh beliau menerusi satu hantaran di Facebook.

“Saya perasan ramai yang duk cerita banyak kereta mula membanjiri Bandar Seremban sejak awal pagi tadi. Hingga ada yang beritahu PKP seolah-olah dah makin longgar.”

Kerisauan Dr Ahmad Luqman ada asasnya kerana jelasnya lagi kes positif COVID-19 di Seremban semalam meningkat kepada 41 kes baharu.

BARISAN HADAPAN YANG BERKORBAN

Melihatkan keadaan itu beliau terus terfikirkan akan rakan-rakan sekerja yang terpaksa bertungkus lumus bekerja siang dan malam demi negara.

“Lemah seluruh sendi badan lalu tersandar ke kerusi masa mula mula tahu berita ni tadi. Satu demi satu wajah rakan-rakan sekerja dekat Hospital Seremban sana tiba-tiba menerpa ke dalam fikiran.

Ada antara kami yang dah sebulan terpisah dengan isteri.

Ada yang baru seminggu menimang cahaya mata.

Ada yang isterinya sedang sarat mengandung.

Walaupun berada dalam suasana kerja berisiko tinggi untuk terkena jangkitan maut, mereka cekalkan hati.

Walaupun saban hari ada yang diarah untuk jalani kuarantin, mereka cekalkan hati.

Walaupun risau setiap kali tiba waktu pulang, takut takut terbawa pulang bencana ke rumah, mereka cekalkan hati.

Malangnya kecekalan tu dibalas dengan sampah busuk oleh sebahagian manusia degil yang tak reti patuh arahan berkurung!

Kawan-kawan,

Di Seremban ni sahaja kita dah ada 260 orang pesakit positif.

2 kawasan diletakkan dalam zon merah. Manakala 2 lokasi lagi dah dikategorikan sebagai zon jingga.”

TOLONG BERI KERJASAMA

Kerisauan beliau memang ada asasnya. Buat masa sekarang negara kita menunjukkan kesan-kesan baik selepas PKP dilaksanakan dengan jumlah jangkitan tidaklah meningkat mendadak terlau tinggi.

Malah Malaysia telah berjaya membuktikan ramalan dari JP Morgan meleset sama sekali. Namun jika orang ramai sambil lewa dan tidak terus ambil serius ia boleh memberikan kesan yang buruk.

Jelas Dr. Ahmad Luqman lagi;

“Sekiranya masih lagi bersikap sambil lewa dan bangga dengan sikap pentingkan diri sendiri, ketahuilah yang kita akan menzalimi lebih ramai orang lebih lebih lagi petugas kesihatan.

Bersedialah untuk menerima lebih banyak kes positif, dikenakan perintah berkurung yang lebih keras serta melihat pertambahan jumlah kematian di kawasan kita ni.

KKM dah berusaha sehabis baik. Namun kita tak kan menang jika ada yang tak berikan kerjasama.

Tolong kongsikan pesanan ini pada ahli keluarga dan sahabat agar mereka terus beringat dan berhati-hati. Bukan nak menakutkan,tetapi saya harap kita sama-sama jangan ambil mudah.”

Foto hiasan

Tinjauan MASKULIN di laman medoa sosial Twitter juga mendapati ramai yangmula menyuarakan kerisauan sama. Usahlah kita terlalu selesa dan tidak mendengar saranan untuk terus duduk di rumah.

Tiada orang lain yang boleh membantu negara melandaikan kadar jangkitan melainkan kita semua.

Stay home and stay safe!

Kredit: Dr Ahmad Luqman Bukhari
Foto kredit: Twitter @atiqahdahalan & @DonDanial20

Published by
Farizul Izwany