Ramai orang memandang ringan terhadap penjagaan gigi. Mereka tidak memandang serius terhadap penjagaan gigi hingga bila sudah sakit, barulah pergi ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan.

Sebenarnya, penjagaan gigi yang paling asas adalah dengan memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari. Selain itu, anda juga kena hadir ke klinik gigi untuk pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali dalam 6 bulan.

Walaupun sekali pandang ia nampak mudah, namun masih ada lagi pesakit yang mengalami masalah gigi yang serius. Oleh itu, seorang Doktor Gigi iaitu Dr. Mohd Khairul Izwan telah berkongsi pengalamannya baru-baru ini yang merawat seorang pesakitnya yang sudah bengkak muka kerana terdapat nanah yang terperangkap di dalamnya.

BACA: Lelaki Kacak Selalunya Ada Barisan Gigi Yang Putih, Ini 5 Bahan Yang Mereka Guna!

Baca perkongsian Doktor Mohd Khairul Izwan dibawah ini:

Siapa kata masalah gigi tidak bahaya?

Masalah gigi bukan setakat gigi berlubang dan sakit gigi sahaja.

Tapi ianya boleh menjadi lebih serius daripada itu.

Dengan gigi berlubang yang tidak dirawat itulah boleh melarat menjadi bertambah parah sehingga anda mengalami bengkak muka.

Malah jika masih dibiarkan tanpa dirawat, mungkin boleh menyebabkan anda kehilangan nyawa juga!

Ads

Seperti yang berlaku kepada salah seorang pesakit wanita yang saya rawat minggu lepas, pesakit mengalami bengkak separuh muka sebelah kiri sehingga melarat ke bahagian bawah leher. Dalam bidang pergigian, keadaan ini disebut sebagai Ludwig’s Angina.

Semuanya gara-gara pesakit tersebut tidak mengambil berat tentang kesihatan giginya. Gigi yang berlubang tidak dirawat. Kebersihan mulut tidak dijaga. Karang gigi dan sisa makanan penuh di dalam mulut.

Semua itu mengundang untuk terjadinya jangkitan kuman yang aktif di dalam mulut. Jangkitan kuman pada gigi berlubang yang tidak dirawat boleh menghasilkan nanah (pus) yang banyak. Nanah (pus) yang semakin banyak terkumpul akan menyebabkan gusi mula membengkak (abscess).

Keadaan ini jika dibiarkan dan tidak dirawat dengan cepat akhirnya akan menyebabkan muka turut menjadi bengkak (facial cellulitis) kerana nanah yang terkumpul tidak mempunyai jalan/akses untuk keluar.

Apabila muka sudah bengkak begitu, maka prosedur pembuangan nanah terpaksa dilakukan bagi membantu meredakan bengkak pada wajah pesakit. Prosedur ini dinamakan sebagai “incision and drainage” atau disebut I&D.

BACA: Warga Twitter Kongsi Ubat Gigi Untuk Putihkan Gigi Kuning & ‘Berkarat’ Cara Mudah!

Ads

Melalui prosedur ini, pipi pesakit perlu “dibelah” sedikit untuk membuka jalan agar nanah dapat ditekan keluar. Tindakan ini bagi mengurangkan tekanan serta jumlah nanah yang terkumpul pada kawasan terbabit.

Sudahlah pesakit turut mempunyai masalah kesihatan yang lain seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah kerosakan buah pinggang yang kronik. Padahal pesakit baru berusia 27 tahun. Semua keadaan ini boleh menyebabkan sistem pertahanan tubuh menjadi lemah dan boleh mengakibatkan jangkitan kuman pada bahagian mulut serta gigi menjadi lebih mudah berlaku.

Oleh itu kepada anda semua, tolonglah lebih peka dan lebih menjaga kesihatan gigi anda selepas ini. Lebih-lebih lagi jika anda turut memiliki masalah kesihatan yang lain. Maka anda perlu lebih menjaga kesihatan gigi anda dengan lebih baik lagi.

Jangan ambil mudah dan jangan cari klinik gigi hanya ketika anda sakit gigi sahaja. Kerana ketika itu, tidak banyak yang mampu kami lakukan untuk membantu menyelamatkan gigi anda.

Lakukanlah pemeriksaan pergigian rutin secara berkala setiap 6 bulan sekali dan pastikan anda jaga kebersihan gigi anda setiap hari dengan cara memberus gigi sekurang-kurangnya 2 kali sehari.

Dan jangan pula mencuba pelbagai petua untuk menghilangkan sakit gigi tanpa mendapatkan pemeriksaan lanjut di klinik gigi ya. Nanti anda sendiri yang akan menanggung akibatnya.

Ads

Ingat bahawa mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

P/s: Pesakit wanita dalam kes ini dirujuk daripada Klinik Pakar Pergigian Bedah Mulut & Maksilofasial (OMFS), Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani ke klinik tempat saya bertugas untuk menjalani sesi “dressing” atau pencucian luka setiap hari disebabkan jarak dari rumah pesakit yang terlalu jauh untuk berulang-alik ke hospital.

Prosedur pembuangan nanah iaitu I&D telah dilakukan oleh Pakar Pergigian OMFS di hospital pada 1/7/2019 menggunakan bius umum (general anesthesia) di mana pesakit berada dalam kedaan tidak sedar. Pada ketika itu, sekitar 50 mL nanah (pus) telah dikeluarkan.

Kemudian pesakit diarahkan untuk menjalani sesi “dressing” setiap hari di klinik saya, termasuk pada hari Jumaat dan Sabtu. Walaupun klinik pergigian kerajaan di Kedah tidak beroperasi pada hari Jumaat dan Sabtu, namun kami tetap juga datang ke klinik untuk mencuci luka pesakit tersebut bagi memastikan keadaan beliau semakin baik dari hari ke hari.

Disebabkan pesakit mempunyai masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah buah pinggang yang kronik, maka proses penyembuhan pesakit berjalan sangat perlahan.

Sepanjang tempoh tersebut, setiap hari sekitar 5 mL nanah akan dikeluarkan dari pipi pesakit. Dan sehingga semalam (hari ke-20), bengkak pada wajah pesakit masih belum surut sepenuhnya dan nanah masih keluar dari pipi sebelah kirinya.

BACA: Selain Garam, 5 Cara Berkesan Ini Pun Boleh Buang Plak Gigi Dengan Mudah!

Semoga pesakit cepat sembuh dan kes ini boleh menjadi iktibar untuk dirinya dan kepada anda semua agar lebih menitikberatkan perihal penjagaan kesihatan gigi.

Semoga bermanfaat!

Gentleman semua dah baca MASKULIN?
Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.

KLIK DI SEENI