Disuruh Berlakon Dari Kecil, Bell Ngasri Kini Faham Percaturan Ibu

Share

Tanpa sosok seorang yang bergelar ibu, berkemungkinan nama Bell Ngasri tidak begitu gah seperti sekarang ini.

Memulakan kerjaya sebagai anak seni sejak kecil lagi bersama adik beradiknya, Bell atau nama sebenarnya Nasrizal Ngasri tidak menafikan yang ibunya telah menjadi pengurus terbaik buat dirinya.

Namun sudah menjadi lumrah di dalam mana-mana hubungan kekeluargaan, perselisihan faham pasti akan melanda di sesetengah waktu.

Sebagai seorang kanak-kanak dan remaja yang bersekolah, Bell juga mempunyai hasrat untuk menumpukan perhatian kepada pelajaran

“Saya bermula daripada budak kan? Saya pernahlah juga marah dekat mak saya yang terlalu pentingkan dunia seni ni sedangkan saya nak belajar betul-betul. Saya pentingkan pelajaran juga,” kongsinya kepada Maskulin ketika tampil dalam episod keempat Man of The Moment.

Bagaimanapun, Bell kini faham dengan percaturan yang telah ditetapkan ibunya.

Baginya, mungkin selama ini Bell tidak dapat melihat apa yang dibayangi menerusi kaca mata ibunya itu.

“Saya minta maaf banyak-banyaklah dekat mak saya, mungkin mengguris hati dia. Sebab akhirnya, mungkin ini lah yang dia nampak, satu penghargaan dari seluruh rakyat Malaysia yang saya dapat sekarang ini”.

Foto: Bell Ngasri ketika tampil di dalam episod keempat Man of The Moment.

Pengarah Cuma Mahu Bantu Ibu, Bukan Kerana Bakat Bell

Bertindak sebagai pengurus, Bell memberitahu betapa gigih ibunya menghubungi pelbagai pengarah bagi mendapatkan peluang berlakon untuk anak-anaknya.

Susulan kegigihan ibunya itu, Bell tidak dapat melupakan satu kata-kata yang begitu mengguris perasaannya dan masih terkesan dengan perkara itu setiap kali mengenangnya.

Seorang pengarah pernah berkata kepada Bell yang dia bersetuju untuk memberi Bell peluang berlakon hanya kerana ingin membantu ibunya, bukan kerana kebolehannya

“Aku ambil kau ni bukan sebab kau berlakon bagus, tapi sebab nak bantu mak kau,” demikian kata-kata pengarah berkenaan menurut Bell yang tidak mampu menahan sebak menceritakan perkara itu.

Lebih melukakan hati, Bell sedang melakonkan babak yang gembira ketika dilemparkan kata-kata itu.

“Saya agak sedih, tapi saya kena berlakon dalam keadaan gembira. Jadi sedih itu saya paparkan sekarang lah,” kongsinya kepada Maskulin.

Naik Bas Ke Terengganu Seorang Diri Ketika Kanak-Kanak

Sekitar usia 10 hingga 11 tahun, Bell pernah menaiki bas seorang diri untuk menghadiri penggambaran di bawah produksi Eirma Fatima di Terengganu.

Menurut Bell, lokasi penggambaran itu adalah di daerah Dungun namun ibunya telah tersilap membelikannya tiket bas ke Kuala Terengganu.

Oleh itu, ibunya mengarahkan Bell untuk meminta kepada pemandu bas untuk diturunkan di Dungun apabila melewati daerah itu dalam perjalanan.

Akur dengan arahan ibunya, Bell cuba meminta kepada pemandu bas untuk diturunkan di Dungun ketika tiba di daerah itu sekitar jam 3 pagi.

Pemandu bas berkenaan tidak menghiraukan permintaan Bell pada awalnya, namun akhirnya akur selepas beberapa kali merayu.

Pernah Jadi Model

Selain berlakon, Bell dan adik beradiknya turut terlibat dengan bermacam-macam jenis kerjaya seni termasuklah peragaan.

Katanya, beliau dan adik beradiknya pernah menjadi peragawan dan peragawati kanak-kanak di pentas peragaan.

“Jangan ingat saya tak reti buat (catwalk

), sebab saya memang daripada budak sebenarnya memang itu antara kerja-kerja yang saya buat,” ujarnya.

Bagaimanapun, Bell tidak dapat meneruskan kerjaya itu sehingga dewasa oleh kerana ketinggiannya yang tidak mencukupi

“Kalau saya ni tinggi, handsome, elok, tak bercalar-calar badan ke muka, saya sampai sekarang masih jadi seorang model yang buat catwalk,” tambahnya.

Walaupun telah melalui pelbagai kenangan pahit dan manis, Bell tetap bersyukur kerana dikurniakan kesihatan dan kecergasan serta semangat untuk terus bergiat aktif di bidang seni ini.

Bell Ngasri tampil sebagai jejaka keempat Man of The Moment selepas Aeril Zafrel, Dato’ Zainal Abidin dan Beto Kusyairi.

Tonton episod penuh di saluran Youtube Maskulin untuk mendengar kisah Bell Ngasri lebih lanjut.

Published by
Ruszaini Ruslan