Diet Terlalu Ketat Buat Badan Cepat Lemah Dan Mudah Gemuk Semula

Share

‘Fad diet’ adalah pelan diet yang menjanjikan penurunan berat badan dalam masa cepat dan biasanya diamalkan mereka yang terdesak untuk mengurangkan berat badan.

Biasanya diet ini tidak sihat, tidak seimbang dan kemungkinan besar mempunyai kesan sampingan. Ia tidak boleh membentuk tabiat makan secara sihat.

Sesetengah jenis diet ini tidak menghilangkan lemak, tetapi hanya menghilangkan air. Kebanyakannya meningkatkan penghasilan urin yang menggalakkan pembuangan air melalui air kencing, jadi badan akan kehilangan air serta vitamin dan mineral penting.

Ada sesetengah diet mendadak ini popular kerana berkesan dalam masa singkat. Misalnya, diet tinggi protein dan diet tinggi lemak mencetuskan ketosis dan menyebabkan pengurangan berat badan dalam tempoh singkat.

Ketosis berlaku apabila tubuh mula memecahkan lemak untuk ditukar kepada tenaga. Lemak yang disimpan di dalam buah pinggang dan otot akan dipecahkan bagi membantu tubuh meneruskan proses fisiologinya dengan lancar.

Pengurangan berat badan juga berlaku kerana kesan diuretik akibat pengambilan karbohidrat yang rendah, kehilangan air dari badan, penggunaan glikogen dan proses ketosis.

Mereka yang mengamalkan diet mendadak ini biasanya mengalami pertambahan semula berat badan. Sesetengah pelan diet sukar untuk diikuti kerana ia membosankan dan mengehadkan pengambilan sesetengah jenis makanan.

Lama-kelamaan, individu itu mungkin mengalami pengurangan berat badan, tetapi akan mengalami masalah selera makan yang tidak dapat dikawal, sekali gus mengakibatkan pertambahan berat badan lebih daripada berat badan asal.

Sesetengah diet mendadak ini juga membahayakan diri. Diet yang terlalu rendah kalori boleh mengakibatkan keletihan, ketidakselesaan dan kekejangan otot.

Kekurangan protein dan karbohidrat pula menyebabkan rasa pening, keletihan dan pelbagai penyakit lain. Kita tidak sepatutnya mencuba diet sedemikian tanpa nasihat doktor.

Jika berasa sesuatu yang tidak kena, hentikan diet dengan segera. Perlu disedari tahap keberkesanan diet ini juga tipis dan boleh menyebabkan kesan sampingan.

Antara jenis diet mendadak dan risiko yang bakal dihadapi individu yang mengamalkannya termasuk

Diet terlalu rendah kalori.

Diet ini mengandungi kurang daripada 800 kalori sehari. Apabila pengambilan tenaga rendah, tubuh akan mendapatkan tenaga diperlukan daripada simpanan lemak.

Bagaimanapun, badan akan menjadi lebih efisien dan berfungsi menggunakan tenaga yang rendah dan kadar metabolisme tubuh akan menurun, sekali gus cenderung untuk menggunakan tisu tanpa lemak dari otot.

Diet terlalu rendah kalori dikaitkan dengan pelbagai kesan sampingan dan komplikasi seperti pembentukan batu dalam pundi hempedu, kehilangan jisim otot, ketosis dan peningkatan asid urik dalam darah akibat ketidakseimbangan tenaga.

Kematian mengejut boleh berlaku jika mereka berpenyakit lain terutama apabila pengambilan kalori kurang daripada 600 kalori sehari.

Diet rendah lemak.

Menghindari pengambilan makanan tinggi kandungan lemak akan mengakibatkan pengurangan pengambilan jumlah kalori harian.

Sesetengah individu yang mengamalkan diet rendah lemak memberi gambaran salah seperti menyebarkan mitos bahawa selulit disebabkan bahan toksik dan beranggapan amalan diet ini boleh membantu mengurangkan lemak terutama di bahagian paha atau pinggang.

Diet tinggi serat.

Ia boleh membantu penurunan berat badan kerana memberi rasa mengenyangkan dengan pengambilan kalori yang sedikit.

Jumlah serat yang disarankan biasanya terlalu tinggi dan boleh menyebabkan kesan sampingan seperti senak perut (kembung) dan cirit-birit.

Bagi mereka yang mempunyai masalah sistem penghadaman, ia akan memburukkan keadaan. Pengambilan bran yang banyak akan mengurangkan penyerapan mineral seperti zat besi dan zink.

Diet tinggi protein.

Pengambilan karbohidrat dihadkan kepada kurang daripada 30 gram sehari. Pengambilan protein dan lemak yang terlalu tinggi melambatkan perut kosong.

Ini mengurangkan keinginan untuk makan dan mengehadkan pengambilan tenaga. Diet ini mungkin meningkatkan pengambilan kolesterol dan lemak tepu.

Ia juga kurang kandungan serat daripada sumber berasaskan karbohidrat terutama bijirin penuh daripada tumbuhan. Pengamal diet ini mungkin mengalami sembelit dan fungsi kognitif yang terjejas.

Pengambilan protein yang tinggi meningkatkan paras asid urik dalam buah pinggang dan berisiko untuk pembentukan batu dalam buah pinggang.

 

Published by
Kim Rahim