Diet Tegap Body Sado, Sumber Protein Ayam Atau Ikan Jadi Pilihan

3335

Tak dapat dinafikan sumber makanan haiwan utama yang dimakan oleh rakyat Malaysia ialah ayam dan ikan.

Namun bagi anda yang berdiet dan ingin mendapatkan bentuk badan yang cantik pasti tertanya-tanya pilihan manakah yang lebih baik. Adakah ayam atau ikan?

MASKULIN yakin ramai yang berada dalam dilema seperti ini. Bagi anda kedua-duanya sedap namun yang mana satu lebih sihat, berkhasiat serta dapat membantu badan anda menjadi lebih menarik.

Usah risau kerana MASKULIN ingin kongsikan keresahan anda itu dengan perkongsian di bawah.

Ayam

Ayam mungkin merupakan pilihan utama berbanding ikan secara umum dalam kalangan masyarakat. Ia mungkin disebabkan rasanya yang lebih sedap (sangat subjektif) atau lebih penting adalah harganya yang lebih murah berbanding ikan.

Jika anda ingin fokus kepada menambah jisim otot tanpa kalori yang tinggi, ayam adalah pilihan yang baik sebagai sumber protein. Namun, sebaiknya adalah membeli ayam tanpa kulit untuk pilihan yang lebih sihat. Selain itu, ayam juga kaya dengan vitamin B.

Salah satu daripada isu yang timbul adalah banyak ayam yang diternak secara komersial diberikan antibiotik dan hormon pembesaran. Ayam yang dijual mungkin tidak 100% semula jadi. Oleh itu, sila berhati-hati dalam memilih jenis ayam.

BACA: Bersenam Tapi Berat Tak Turun? Ikuti Cara Diet & Senaman Terbaik Ikut Bentuk Badan

Ikan

Ikan sememangnya sumber protein yang tinggi. Selain itu, ia mempunyai kandungan yang sangat penting iaitu omega 3 yang tidak boleh dihasilkan oleh badan. Antara manfaat omega 3 adalah meningkatkan memori, mengurangkan keradangan dan memberikan jantung yang lebih sihat.

Sesetengah ikan mungkin mempunyai lebih vitamin B. Contohnya, kandungan vitamin B-12 di dalam ikan salmon adalah lebih tinggi berbanding ikan lain dan juga ayam. Ikan ini juga kaya dengan vitamin D yang penting untuk kesihatan tulang.

Antara kebimbangan yang ada pada ikan adalah kandungan merkuri yang terdapat di dalamnya. Beberapa jenis ikan mengandungi kadar merkuri yang tinggi termasuk makarel raja, ikan yu, tilefish dan ikan todak. Ibu mengandung terutamanya harus elakkan pengambilan ikan dengan kandungan merkuri yang tinggi.

Apakah pilihan terbaik?

Realitinya, tiada satu pun makanan yang boleh membekalkan semua jenis nutrien kepada badan kita. Oleh sebab itu, kita perlu mengambil pelbagai jenis makanan bagi memastikan semua jenis nutrien dapat diperoleh. Sama juga seperti ayam dan ikan. Jika ingin dibandingkan, kedua-duanya tidak jauh berbeza. Kemungkinan ikan mendahului ayam dari sudut omega 3.

Walau bagaimanapun, mengambil kedua-duanya secara bergilir adalah cara yang terbaik agar khasiat daripada kedua-duanya dapat dimanfaatkan. Tapi jangan sampai berlebihan!