Sebut sahaja tentang diet pasti ramai yang terus terfikir akan proses untuk menurunkan berat badan.
Walhal makna sebenar itu sebenarnya sebahagian daripada makna perkataan tersebut yang sentiasa dikomersialkan oleh pelbagai pengeluar produk suplemen atau makanan yang boleh membantu pengguna untuk menurunkan berat badan.
Diet juga bermaksud kuantiti makanan yang anda ambil setiap kali makan sama ada pada waktu pagi, tegahari atau malam.
Dalam budaya popular kehidupan yang serba pantas pada masa kini juga menyaksikan bermacam jenis bentuk diet telah diperkenalkan. Ada yang berksesan dan ada juga yang mengundang pelbagai kontroversi dan risiko.
Bagi anda yang ingin betul-betul mengamalkan gaya pemakanan sihat, diet terbaik yang boleh anda ikut ialah Diet Suku Suku Separuh (DSSS).
Sebenarnya istilah ini bukanlagh satu perkara yang baru. Dan ia telah terbukti telah membantu ramai orang untuk menurunkan berat badan.
Kehebatan diet ini juga menyaksikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mempromosikannya sebagai cara diet paling baik.
Jadi apakah yang sebenarnyua dimaksudkan dengan Diet Suku Suku Separuh? Ia sebenarnya tidak susah untuk difahammi. Maksud ‘suku suku separuh’ itu merujuk kepada jumlah makanan dalam kelas berbeza yang perlu anda makan di atas pinggan.
Bayangkan pinggan berbentuk bulat dan bahagikan kepada tiga bahagian dengan portion suku-suku-separuh.
BACA: Nasi Tak Berdosa Sebabkan Anda Lebih Berat Badan, Ikuti Nasihat Coach Ini!
Untuk suku pertama ialah jumlah nasi atau roti yang mewakili karbohidrat. Suku yang kedua pula diisi dengan sumber protein seperti ikan, ayam, daging atau kekacang. Manakala untuk yang separuh dan paling banyak disi dengan sayur dan buah.
Dalam kenyataan KKM yang pernah dikeluarkan pada Ogos 2017 mengatakan bahawa seseorang boleh mengelakkan masalah obesiti jika mengamalkan diet ini secara berterusan. Malah, KKM juga pernah melancarkan kempen #SukuSukuSeparuh pada tahun 2017 dan ia juga pernah tular di laman media sosial.
MASKULIN juga pernah mengeluarkan artikel yang menampilkan perkongsian seorang wanita turun 40kg selepas mengamalkan diet ‘ajaib’ ini!
Jadi ini bukanlah satu diet yang popular semata kerana ia diamalkan oleh artis atau selebriti. Tetapi inilah diet yang paling berkesan dan terbukti boleh anda cuba untuk menurunkan berat badan.
Untuk mendapat impak lebih besar anda juga dinasihatkan untuk meninggalkan minuman bergula dan lebihkan minum air kosong.
Menerusi diet ini jelas terbukti bahawa nasi bukanlah musuh utama diet anda. Cuma apa yang perlu anda lakukan ialah menjaga jumlah nasi yang diambil setiap kali makan. Usahlah terlalu mengikut hawa nafsu sangat.
Antara teknik lain berksesan untuk memastikan diet seperti ini memberikan hasil yang baik ialah berhenti makan sebelum kenyang. Ini juga merupakan amalan orang-orang tua untuk kekal awet muda dan elak perut boroi.
Lebih baik anda makan banyak kali dalam sehari tetapi dalam portion yang sedikit. Jika anda ingin melihat hasil lebih baik gantikan nasi putih dengan nasi beras perang atau brasmathi. Untuk roti pula pilihlah roti darijenis wholegrain.
Buat anda yang ada keazaman untuk menurunkan berat badan bolehlah memulakan diet pada hari ini. Jaga portion makanan, anda pasti berjaya!