Dibuang Kerja? Ini Bukan Pengakhiran Hidup Anda!

Share

Tip Menangani Kemelut Dibuang Kerja

Sesiapa saja boleh dipecat walaupun anda tidak melakukan apa-apa kesalahan. Maka, kita harus sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapinya. Maskulin sebaraikan tip dan persediaan yang boleh anda gunakan untuk bangkit menangani kemelut ini.

 

1- JANGAN GELABAH

Pastinya kehilangan kerja ibarat satu igauan ngeri. Semuanya kelihatan gelap di mana anda. Perkara utama yang perlu anda lakukan adalah untuk tidak panik mahupun gelabah. Elakkan mainan emosi menguasai pendirian dan stabiliti minda anda, kerana ianya hanya akan memudaratkan. Ambil masa untuk tenangkan diri. Sekiranya anda kusut, lagi sukar untuk anda berhadapan dengan krisis ini.

 

2- AJUKAN SOALAN

Sekiranya anda dipecat secara tiba-tiba tanpa notis atau sebagainya, anda wajar untuk bertanyakan soalan. Yang pasti, ianya adalah hak anda untuk mengetahui punca dan seterusnya mengenai status anda. Jangan terus keluar dari pintu pejabat. Pergilah ke jabatan sumber manusia dan selidiki mengenai gaji, rujukan, faedah, insuran serta apa saja yang melibatkan post-pemecatan anda ini.

 

3- CUBA BERUNDING

Ini adalah langkah yang boleh anda ambil sekiranya anda masih menyayangi tempat kerja anda itu. Sekiranya jabatan anda sudah membuat keputusan untuk mengurangkan staf, maka anda boleh melakukan rundingan untuk diletakkan di jabatan yang lain buat sementara waktu. Sekiranya layak, ambil masa ini untuk menimbang pilihan lain pula di masa hadapan.

 

4- KURANGKAN PERBELANJAAN ANDA

Soal bajet antara yang paling anda gusarkan tatkala menhadapi kemelut ini. Anggarkan jika anda tidak memiliki pekerjaan dalam masa terdekat ini, maka kritikalnya untuk anda melihat kembali kedudukan kewangan anda dan cubalah untuk berjimat. Bak kata pepatah, sediakan paying sebelum hujan. Kurangkan perbelanjaan dan cubalah untuk menyimpan. Ini bagi mengelakkan pihak bank memburu anda sekiranya anda tidak mampu membayar bil dan pinjaman yang tertangguh.

 

5- TUNTUT HAK ANDA

Sekiranya anda dibuang kerja bukan kerana kesalahan anda, anda wajib untuk menuntuk hak anda iaitu berupa pampasan yang selayaknya diberikan kepada anda. Hubungi pihak-pihak tertentu berkaitan isu legal mengenai pemecatan anda ini dan cuba lindungi hak anda sebagai pekerja. Jangan sesekali biarkan majikan mengambil kesempatan terhadap anda.

6- GET YOUR RESUME READY!

Sebaik saja anda mendapati jangka hayat tidak lama di bawah majikan anda, tiada lain yang lebih penting melainkan untuk memperbaharui resume serta cv anda. Asah semula setiap butir-butir peribadi serta pengalaman anda bekerja di bawah majikan tersebut.

 

7- KEKALKAN PERHUBUNGAN

Ini merupakan tabiat yang sewajarnya diamalkan. Sekiranya anda diberhentikan secara tiba-tiba, ini tidak bermaksud anda perlu menghentikan perhubungan baik anda dengan rakan sekerja mahupun klien-klien anda. Perhubungan yang erat ini sebenarnya dapat membantu membuka peluang-peluang baru kepada anda sekiranya anda amat memerlukan pekerjaan.

 

8- NIKMATINYA

Bukanlah anda disaran untuk menikmati ‘masalah’ yang melanda ini, cuma ini mungkin masanya untuk anda kembali mencari laluan baru masa depan kerjaya anda. Sekiranya anda punya simpanan, pergilah bercuti tenangkan fikiran ataupun habiskan masa bersama keluarga tercinta. Tapi janganlah terlalu lama. Ingat, anda bukan berseorangan. Ramai sudah membuktikan kejayaan walaupun sudah dipecat beberapa kali. Positifkan diri, perbaiki diri dan percaya diri akan mendapat kerjaya yang lebih sesuai.

 

Published by
Kim Rahim