Sama ada suka atau tidak keadilan pasti akan ditegakkan. Dengan tekad yang jitu itulah yang dilakukan oleh seorang wanita demi membawa pelaku kematian suaminya ke muka pengadilan.
Sekali imbas mungkin ia kedengaran seperti cereka filem Hollywood, bukan? Tapi itulah dedikasi yang dilakukan oleh wanita yang tidak dinamakan dalam mengheret penjenayah itu ke muka pengadilan.
Lebih menarik adalah cara bagaimana dia melakukannya. Wanita dari Bogota, Colombia tersebut sanggup menghabiskan masa bertahun-tahun lamanya dengan menggoda dan mengumpul bukti secukupnya.
Penjenayah licik yang bertanggungjawab ke atas kematian suaminya itu dikenali sebagai seseorang yang cukup licik. Namun sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.
Suspek dikenali dengan nama Ruben Dario Vilario Barrios didakwa menyamarkan diri sebagai seorang usahawan yang dihormati di bandar Cienaga de Oro.
Tapi hakikatnya dia adalah seorang lelaki dengan nama jolokan ‘Juancho’, penjenayah bertanggungjawab menjadi dalang kepada banyak aktiviti penyeludupan dadah dan senjata api ke Amerika Tengah dan Amerika Syarikat.
Selain itu dia juga diberkas di atas dakwaan cubaan membunuh terhadap saingan dan bekas rakan sekerja.
Disebabkan penyamaran itulah dia amat sukar dijejak dan ditangkap. Selepas suami kepada wanita itu mati dipukul dengan arahan suspek atas sebab tidak didedahkan kepada umum, wanita itu dilaporkan mula mendekati Juancho dan akhirnya membuatkan lelaki itu jatuh cinta kepadanya.
Selepas suspek semakin mempercayai wanita itu dia banyak berkongsi maklumat tentang urusan kegiatan jenayahnya. Dan bukti inilah yang digunakan wanita tersebut untuk diserahkan kepada pihak berkuasa.
Sejak tahun 2020 lagi ipihak polis mengesyaki aktiviti suspek tetapi mereka tiada bukti yang mencukupi untuk menahan dan menyabitkannya. Hasil maklumat diberikan wanita terbabit pihak berkuasa alhirnya yakin untuk mendakwa suspek.
Juancho yang ditahan menerusi Operasi Corona oleh Gerakan Khas Polis Negara ketika menghadiri pertemuan dengan penjenayah lain di Monteria, kini berdepan penjara puluhan tahun.
Sumber: breakinglatest.news