Demi minat dan cinta terhadap ilmu, pelajar tahun akhir pengajian Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Mesir, Muhammad Nur Hadi Sallehuddin sanggup membelanjakan hampir RM20,000 wang simpanannya.
Memetik laporan Sinar Harian, Nur Hadi itu menggunakan wang itu untuk mengumpul 200 kitab turath, iaitu kitab tradisi ilmu Islam karangan ulama alam Melayu dari sekitar 1920-an hingga 1960-an.
Dia yang kini berusia 24 tahun itu mula mengumpul khazanah berharga ini sejak awal 2020. Kebanyakan kitab tersebut dicetak oleh Mustafa al-Halabi, salah satu syarikat percetakan dan penjualan buku tertua di Timur Tengah. Kitab-kitab ini, yang sukar diperolehi, sebahagian besarnya ditulis dalam tulisan Jawi dan Aceh, meliputi pelbagai disiplin ilmu Islam seperti sejarah, tafsir, tajwid, fiqah, tasawuf, hadis, akidah, dan kamus Arab-Jawi.
Antara koleksi berharga yang dimiliki Nur Hadi ialah Kamus Idris Al-Marbawi karya Dr Syeikh Idris al-Marbawi, Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pertama, dan Doa Hari Arafah nukilan Syeikh Jaafar Husein dari Kelantan, selain kitab-kitab tulisan ulama dari Indonesia dan Pattani.
“Semasa awal datang ke Mesir, saya tidak tahu kewujudan kitab-kitab ini sehingga diberitahu oleh rakan di Malaysia. Pada mulanya, saya hanya membeli 25 buku sahaja, tetapi lama-kelamaan timbul rasa tanggungjawab untuk mencari dan mengumpulkannya,” ujar Nur Hadi.
Selain kitab-kitab tersebut, Nur Hadi juga mengumpul bahan lain seperti dokumen persuratan dan cop besi yang diukir tulisan Jawi-Arab. Salah satu penemuan menariknya ialah bukti bertulis sumbangan besar Syeikh Idris sebagai editor kepada kitab-kitab tulisan ulama lain sebelum dicetak untuk diterbitkan.
Berasal dari Taiping, Perak, Nur Hadi terdorong mengumpul kitab-kitab lama ini kerana nilainya yang bersejarah dan cetakan aslinya di Mesir yang lebih dipercayai sebagai rujukan. Pertemuannya dengan seorang peniaga buku Arab, Ammu Abdul Maula, yang berusia 70-an dan bekerja di Mustafa al-Halabi lebih dari 50 tahun, memudahkannya mengumpul kitab turath dalam kuantiti yang banyak.
Jelasnya, Ammu yang berpengalaman luas mengenai simpanan kitab turath yang dicetak syarikat itu membawanya masuk ke gudang buku dan menunjukkan kitab turath alam Melayu yang masih ada. Dari situlah Nur Hadi mendapatkan kebanyakan tajuk yang sudah tiada lebihan naskhah.
Nur Hadi merancang untuk membawa pulang koleksi kitab ini ke tanah air dan sedia berkongsi dengan pihak berkaitan yang berminat seperti pengkaji sejarah, ahli akademik, dan universiti. Koleksi ini diharap dapat menjadi sumber rujukan yang bernilai tinggi untuk generasi akan datang.
Kredit Sumber & Foto: Sinar Harian
BACA: Impian Setinggi Angkasa, Anak Malaysia Buktikan Idea ‘Gila’ Sebenarnya Tidak Gila