Definisi Lelaki ‘Setia’, EDIKA YUSOF Sentiasa Disisi Isteri Selama 18 Tahun

Share

Edika Yusof, figura versatil dan juga model yang menjadi kegilaan gadis suatu ketika dahulu.

Walaupun sudah menginjak 55 tahun aura dan wajahnya yang bagaikan tidak dimamah usia. Namanya kini semakin menjadi sebutan dan rebutan pengarah drama bagi mewarnai naskhah mereka di layar skrin.

Pengorbanan Edika Yusof 

Selain bercerita mengenai kerjayanya sebagai anak seni, pasti ramai juga yang sedia maklum mengenai kisah pengorbanan pelakon ini yang setia menjaga isteri tercintanya yang juga usahawan, Nor Hidayah Yusri yang lumpuh separuh badan gara-gara jangkitan meningitis selepas melahirkan anak kedua mereka.

Meniti usia perkahwinan ke-18, Edika turut menzahirkan rasa syukurnya kerana diamanahkan seorang isteri yang sentiasa di sisi. Sambil mendengar ucapan suami tersayang, bibir manis Hidayah sentiasa menguntumkan senyuman. Aduhai, sweetnya

pasangan ni.

EDIKA SUAMI PENYAYANG

Lembaran kisah cinta Edika Yusof yang setia menjaga isterinya, Nor Hidayah Yusri sampai sekarang masih diperkatakan. Pengorbanan sosok pelakon kacak ini menatang si isteri yang lumpuh umpama seorang bayi yang masih kecil cukup menyentuh perasaan.

Mengimbau kenangan tersebut menerusi temu bual bersama Nona dengan pasangan ini, Edika Yusof pernah berkata, “Saya beruntung kerana dia seorang yang berdikari dan bercita-cita tinggi. Kami sama-sama merancang untuk membina empayar perniagaan dan ujian mula melanda selepas melahirkan anak kedua kami,” ujarnya.

Kebahagiaan yang diimpi hanya 2 tahun, mereka kemudian diuji hanya dalam sekelip mata. Ketabahan Edika Yusof menjaga isterinya yang menghidap meningitis sehingga lumpuh ini wajar menjadi iktibar dan dicontohi semua.

“5 hari selepas bersalin Hidayah diserang demam panas. Doktor mencadangkan saya membawanya ke hospital kerana itu bukan demam biasa.

Semasa dalam perjalanan ke hospital, dia sudah menunjukkan tanda sakit yang amat sangat. Setibanya saya di labour room

pula, saya terdengar suara wanita menjerit-jerit kesakitan. Setelah dijengah, rupa-rupanya itu suara isteri saya.

Keluarga Edika Yusof sebagai cover Majalah Nona September 2017

Dari kejauhan, saya melihat dia sudah nyawa-nyawa ikan kerana jangkitan kuman sudah sampai ke kepala. Tiada apa yang boleh dilakukan ketika itu, saya terduduk sambil mengadu kesedihan pada Yang Maha Esa.

Setelah dibawa pulang, keadaan isteri ketika itu berubah 360 darjah. Dari seorang yang aktif dan periang, sudah bertukar lumpuh terbaring di atas katil.

Sejak itu saya perlu mengangkat Hidayah untuk ke bilik air dan membantu menguruskan segala keperluannya.

Saya dah janji dengan isteri, walau apa yang berlaku, saya akan jaga dia dengan baik. Apa yang sering saya bayangkan tentang dia adalah apa yang saya bayangkan jika berlaku kepada saya pula.

Saya terbayang, bagaimana perasaan saya yang sedang sakit jika isteri abaikan tanggungjawab dan tinggalkan saya sendirian,” ujar Edika yang pernah berkhidmat sebagai pramugara di Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) selama lima tahun.

Kesetiaan seorang suami teruji tatkala isterinya tidak berdaya. Mujurlah pada usia 54 tahun, Edika masih kelihatan tampan dan laris di kaca TV. Dalam kesibukan berlakon, anak-anak mereka rajin membantu menguruskan ibu mereka yang berkerusi roda di rumah.

Semoga keluarga Edika terus bahagia dan dilimpahi rahmat-Nya. Kagum masih ada lelaki setia seperti Edika!

Sumber: Instagram Edika Yusof

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah!

Published by
Nana