Ahli silap mata, David Copperfield dituduh melakukan salah laku seksual terhadap 16 wanita selama beberapa dekad lalu demikian lapor Harian Metro.
Perkara itu dibongkar hasil siasatan The Guardian apabila kesemua 16 wanita itu mendakwa David Copperfield, 67, berkelakuan tidak wajar terhadap mereka.
Lebih parah, beberapa daripada mereka mendakwa masih berusia bawah 18 tahun ketika kejadian.
Tiga daripada wanita itu mendakwa David memberi mereka dengan dadah sebelum melakukan hubungan seks.
Menurut The Guardian, pihak mereka telah bercakap dengan lebih 100 orang, dan sudah meneliti rekod polis dan mahkamah untuk mengesahkan cerita itu, yang dikatakan merangkumi tempoh dari akhir 1980-an hingga 2014.
Bagaimanapun peguam David memaklumkan, anak guamnya menafikan sebarang salah laku dan tidak pernah bertindak tidak wajar dengan sesiapa, apatah lagi gadis di bawah umur.
Pada 2018, David dituduh melakukan salah laku terhadap seorang wanita bernama Brittney Lewis.
Menurut Britney yang juga salah seorang daripada 16 wanita dalam laporan The Guardian itu, David memberinya dadah dan menyerangnya secara seksual tiga dekad sebelumnya. Namun, Copperfield menafikan dakwaan itu.
Seorang lagi wanita yang enggan namanya disiarkan berkata, ahli silap mata itu memberikan dia dan rakan dengan dadah, sebelum mereka masing-masing melakukan hubungan seks dengan lelaki itu.
Sekali lagi David menafikan dakwaan itu dan menyatakan bahawa tiada aduan dibuat terhadapnya apabila serangan dikatakan berlaku, demikian menurut peguamnya.
Seorang lagi wanita mendakwa dia pertama kali bertemu ahli silap mata itu selepas salah satu rancangannya ketika dia baru berusia 15 tahun.
Menurutnya, David akan menelefonnya pada larut malam dan menghantar hadiah kepadanya pada tahun-tahun berikutnya.
Apabila dia mencapai usia 18 tahun, dia mendakwa melakukan hubungan seks secara suka sama suka dengan David.
David turut menafikan sekeras-kerasnya sebarang dakwaan mengenai salah laku seksual atau sebarang ketidakwajaran lain.
Sumber: Harian Metro
BACA: Bapa Didakwa Paksa Anak Enam Tahun Bersenam Hingga Maut Kerana “Terlalu Gemuk”