Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sebelum ini dilaporkan mengalami pendarahan otak telah disahkan meninggal dunia.
Beliau yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sejak Jumaat lalu menghembus nafasnya yang terakhir pada jam 9.23 malam, Ahad.
Perkara itu disahkan menerusi kenyataan salah seorang anaknya, Fatihah Salahuddin, menerusi akaun media sosialnya.
“Dukacita dimaklumkan ketua keluarga kami, Salahuddin Ayub telah menghadap Ilahi pada 9.23 malam, 23 Julai 2023,” tulisnya.
Allahyarham dilantik sebagai Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) sejak tahun 2015.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 lalu, Allahyarham memenangi kerusi Parlimen Pulai dan Ahli Dewan Negeri Johor bagi kawasan Simpang Jeram di Muar.
Sebelum ini, Allahyarham pernah dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada tahun 2018.
Hasil perkahwinannya dengan Datin Seri Fatimah Taha dikurniakan enam cahaya mata.