Kewujudan media sosial yang mudah dan pantas diakses masyarakat menjadikan ramai individu dari pelbagai bidang tampil untuk menjadi pencipta kandungan dalam talian.
Ahli politik juga turut tidak ketinggalan dalam memanfaatkan media sosial bagi menjalankan tugas mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong di Melaka, Datuk Mohd Noor Helmy Abd Halem merupakan antara yang aktif memuat naik kandungan video menyantuni rakyat.
Tampil sebagai MASKULIN Man of The Moment edisi Mac 2014, beliau berkata video tersebut bukanlah hiburan semata-mata namun untuk mendidik masyarakat.
“Objektif saya bila buat video itu ada dua. Satu, adalah untuk mendidik masyarakat. Apa perkara yang boleh kita buat, apa perkara yang tidak boleh kita buat. Apa yang sesuai, apa yang tidak sesuai dari segi masyarakat punya hak.
“Kadangkala nampak sahaja video itu bergelak ketawa, tetapi ada objektif yang kita sampaikan.
“Kalau dulu orang tak tahu spesifikasi potong rumput itu 2.5 cm, sekarang orang dah tahu.
Selain dari itu, Noor Helmy sekadar ingin berkongsi rutin hariannya sebagai wakil rakyat bersama masyarakat.
Dari segi platform media sosial, Noor Helmy hanya menumpukan pada dua platform sahaja iaitu Facebook dan Tiktok.
“Facebook straightforward, kebanyakannya adalah gambar program semua. Posting di Facebook saya tulis sendiri,” jelasnya.
Bagi platform Tiktok pula, beliau mempunyai seorang pegawai yang ditugaskan khas untuk menguruskan kandungan.
“Dia dulu pegawai saya ketika saya seorang kontraktor. Bila saya dah tukar kerjaya, takkan saya nak buang dia bekerja,” kongsinya.
Bagaimanapun, sukar bagi Noor Helmy untuk memberinya jawatan yang bersesuaian disebabkan latar pendidikan pegawainya itu adalah dari bidang Kejuruteraan Awam.
“Jika masih mahu bersama saya, dia kena tukar kerjaya jadi pencipta kandungan. Jadi dia belajar dan usaha sendiri,” tambahnya lagi.
Oleh itu, pegawainya itulah yang sentiasa menemani Noor Helmy ketika membuat lawatan untuk merakamkan saat-saat secara semula jadi.
“Kita dah tahu ada lawatan. Jadi dia pegang sahaja lah kamera itu, sebab tak tahu bila akan dapat saat yang terbaik. Takkan lah kita nak arahkan pak cik itu untuk berlakon.
“Nak suruh orang menangis bukannya boleh dibuat-buat. Kita bolehlah berlakon. Dah ahli politik, dah tentu orang panggil pelakon, kan? Kejap boleh marah, kejap boleh lembut,” seloroh Noor Helmy bersahaja.
Ditanya bagaimana beliau boleh tampil begitu santai dan mesra dengan masyarakat, jejaka berusia 43 tahun ini memaklumkan yang sebenarnya beliau sendiri sudah mengenali kebanyakan masyarakat Duyong secara peribadi.
“Saya membesar depan mereka, dan mereka tua depan saya. Nakal saya pun dia tahu, dan garang dia dulu ketika muda pun saya tahu,” jelasnya.
Sudah menjadi lumrah media sosial, kritikan dan kecaman dari warga maya pasti ada.
Bagaimanapun, Noor Helmy sentiasa cuba untuk melihat kritikan yang diterima dari sudut yang positif walaupun adalakalanya ia menduga kesabaran.
“Bukanlah tak baca langsung, bohonglah. Kadang-kadang menyirap pun ada, tetapi telan sahaja lah.
“Dalam kita berkongsi, sedikit sebanyak pasti ada yang akan terasa. Sedikit sebanyak pasti ada orang yang kita teraibkan secara terbuka,” luahnya mengulas isu ini.
Tambahnya lagi, kritikan yang diterima juga boleh dijadikan peluang baginya memperbaiki tugasnya menyantuni masyarakat.
“Ada juga antara kecaman itu perkara yang betul. Dia mengecam dari perspektif dia, dia yang mengalaminya. Jadi kita boleh tengok apa yang boleh kita perbaiki.
“Tapi kalau dah memang salah kita, say sorry. Minta maaf dan bertanggungjawab atas tindakan yang dilakukan,” katanya mengakhiri perbualan.
Tonton video penuh di saluran YouTube Maskulin.