Dato’ Shake Pulang Ke Tanah Air Realisasikan Konsert Solo Buat Peminat Setia

Share

Jika anda pernah mendengar lagu-lagi hit seperti ‘You Know I love You’, ‘Tu Sais je t’aime’, ‘Umi’, ‘Pulanglah’ dan ‘Anugerah Dari Kegagalan’ pastinya sudah tidak asing dengan figura yang melantunkan lagu-lagu tersebut.

Beliau adalah Dato’ Sheikh Abdullah yang juga dikenali dengan nama pentasnya, Dato’ Shake.

Buat anda yang mungkin sedikit asing dengan betapa hebatnya pengaruhnya, Dato’ Shake merupakan artis Asia pertama yang menjadi penyanyi terkenal dengan menyanyi dalam bahasa Perancis bersama-sama pelakon legenda, Bruce Lee pada tahun 1976.

Malah, Dato’ Shake turut mencipta nama sebagai artis antarabangsa terkenal yang berpangkalan di Paris dan penerima Chevalier des art et Lettre (Knight of the Order of Arts Letters and Merits) yang berprestij daripada Kerajaan Perancis di atas sumbangannya terhadap mempromosikan bahasa Perancis dan budaya di seluruh Asia.

Menyedari betapa ramai peminat yang dahagakan persembahannya di Malaysia, InTour Live Events secara eksklusif membawakan ‘Konsert Dato ’ Shake Zepp KL’ pada 16 Disember 2023.

KRONOLOGI SENI

Lebih menarik konsert ini akan mempamerkan perjalanan menakjubkan penerokaan kronologi kerjaya muziknya.

Semua repertoir terbaik dalam kerjaya muziknya akan dipersembahkan, iaitu lagu-lagu Melayu dan Perancis yang terkenal dan tidak dapat dilupakan yang merupakan koleksi malar hijau kegemaran ramai di kalangan rakyat Malaysia dan luar negara.

InTour Live Events menyifatkan Konsert Dato ’Shake Zepp KL sebagai sebuah destinasi buat peminat kembali menggembara masuk ke masa silam dengan karya-karya hit Dato ’Shake yang sudah menjadi siulan sejak era 70-an, 80-an dan 90-an.

Dan tentulah karya-karya terkini yang telah dihasilkan termasuk Chameleon (2012) akan menjadi halwa telinga sekaligus dapat dinikmati secara langsung menerusi konsert anjuran InTour Live Events pada 16 Disember 2023 ini.

“Dato’ Shake merupakan artis yang benar-benar unik. Beliau mempunyai bakat yang tidak dapat dinafikan dan lebih penting lagi, seorang yang serba boleh. Beliau benar-benar dekat dengan perkataan “fusion”, tidak dinafikan bahawa beliau merupakan lelaki berbakat semula jadi yang menyanyi dengan baik dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Perancis.

“Peminat akan merasai nostalgia dunia lama melalui lagu-lagu Melayu dan pop dan rock dunia baharu daripada lagu Perancis dan Inggeris beliau. Lagu2 baru yang dirakamkan semasa beliau berhijrah di Hollywood California USA pada tahun 1988 sampai hingga ka 2011,” jelas wakil penganjur InTour Live Events, Bonor Seen.

Buat Dato ’Shake sendiri, pulang menyantuni penggemar di bumi kelahiran tercinta adalah sebuah impian yang sudah direncana sejak tahun 2020. Namun rencana yang sempat tertunda lantaran pandemik itu akan segera direalisasikan apabila legenda yang kini menetap di Paris, Perancis ini dilamar oleh InTour Live Events dan iMe Entertainment Group untuk mengadakan konsert.

“Janji pasti akan ditepati untuk peminat yang masih sayangkan saya. Pada tahun 2020, saya merancang untuk melakukan jelajah besar ke seluruh Malaysia dan Asia! Malangnya pandemik itu merosakkan rancangan semua orang termasuk saya!

Kami penghibur memutuskan untuk bergerak ke hadapan (move on) dengan pertolongan dan kasih sayang Tuhan serta orang ramai. Nantikan untuk berjumpa anda tidak lama lagi Zepp KL!

“Saya akan kembali ke Malaysia dalam Konsert Dato’ Shake Zepp KL, 16 Disember 2023 ini. Jumpa anda semua nanti! Tdak sabar untuk membuat persembahan di Zepp KL kerana banyak ulasan yang bagus tentang Zepp sebagai salah satu pentas terbaik,” katanya penuh teruja.

Konsert Dato ’Shake Zepp KL yang berlangsung pada 16 Disember 2023 akan menyaksikan penyanyi antarabangsa ini menghiburkan penggemar untuk tempoh 90 minit bermula pukul 8.30 malam. Harga konsert tiket bermula dări harga RM358 ke atas.

Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk ikuti video menarik seperti di bawah.

Published by
Farizul Izwany Ibrahim