Sebagai ikon fesyen, usahawan, dan personaliti berpengaruh, Datuk Rizalman Ibrahim terus melakar sejarah peribadi dan juga dunia fesyen. Terbaru, beliau dilantik sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Pelantikan ini bukan sahaja menambah lagi pencapaian gemilang dalam kerjayanya, tetapi juga meletakkan beliau dalam kedudukan istimewa untuk berkongsi ilmu dan pengalaman yang selama ini disalurkan melalui karya seni dan media sosial, kini di peringkat akademik.
Dengan kehadiran beliau, universiti terkemuka itu dijangka meraih manfaat besar menerusi bimbingan dan pandangan holistiknya terhadap pengajian Islam, gaya hidup dan etika.
“Saya terlalu bersyukur kerana usaha saya selama ini menelaah dan mendalami ilmu-ilmu agama serta dikongsi dengan seluruh masyarakat dipandang secara positif oleh Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.”
Pada usia 53 tahun, Rizalman membawa bersama sejarah peribadi yang penuh dengan pengalaman dan pembelajaran dari George Town, Pulau Pinang, ke arena antarabangsa dalam industri fesyen.
KONGSI ILMU
Dengan pelantikan ini, ia menjadi satu lagi medan baginya untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dan menginspirasi generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan.
Ads
Sebagai seorang yang aktif di media sosial, beliau telah lama menjalankan dakwah dalam skala tersendiri, menggunakan platformnya untuk menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.
Namun, tanggungjawab sebagai Profesor Adjung ini membolehkan beliau memberi impak yang lebih mendalam dan terarah, terutamanya dalam kalangan pelajar dan tenaga pengajar di Universiti Malaya.
Memetik kenyataannya menerusi Astro Awani, Rizalman menjelaskan, “Dalam masa sama seperti kita sedia maklum salah satu daripada tuntutan agama kita ialah ilmu yang ada harus dikongsi dengan orang lain agar pahala kita akan terus mengalir berpanjangan.”
Ads
Pendekatan Universiti Malaya dalam melantik ahli profesional seperti Rizalman menggambarkan usaha institusi tersebut untuk mencapai kecemerlangan melalui kolaborasi bersama tokoh korporat dan pemimpin yang berpengalaman luas.
TOKOH HARGAI ILMU ISLAM
Ini bukan kali pertama Rizalman diberi penghormatan dalam bidang akademik. Pada Ogos 2023, beliau turut dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Akademi Kontemporari Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Sekali gus meletakkan beliau sebagai seorang tokoh yang tidak hanya terhad pada dunia fesyen, tetapi juga seorang individu yang menghargai dan menjiwai ilmu Islam.
Komitmen beliau dalam pengajian Islam bukanlah sesuatu yang asing. Sejak sekian lama, Rizalman giat dalam memperluaskan syiar Islam melalui pelbagai program kebajikan dan dakwah yang didokong oleh Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim (RIC).
Ads
Menyedari bahawa tugas baru ini akan membawanya lebih dekat dengan misi memperkukuhkan lagi pemahaman dan penghayatan Islam dalam kalangan generasi muda, Rizalman berhasrat untuk menggunakan peluang ini sebagai platform untuk terus belajar.
Seperti yang dikongsi beliau, “Saya sedar yang dalam diri saya juga masih ada banyak kekurangan. Justeru, bersama Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, saya bukan hanya akan berkongsi ilmu yang saya ada, bahkan saya sendiri akan rebut peluang untuk menimba ilmu daripada ekosistem yang akan saya sertai kelak.”
Pelantikan ini bukan sekadar satu peranan dalam akademik, tetapi sebuah penghormatan besar buat Rizalman. Dari fesyen ke bidang akademik, perjalanan Rizalman jelas menunjukkan bahawa ilmu dan kesedaran spiritual adalah tunjang dalam setiap langkah kehidupannya.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Dengan harga rumah yang semakin melonjak naik dengan kos sara hidup yang juga semakin meningkat, membantutkan hasrat ramai dalam kalangan kita untuk memiliki rumah sendiri. Bagi golongan yang bergaji kecil dan tambahan lagi baru memulakan kehidupan berdua sudah pasti menginginkan rumah sendiri yang mampu memberikan lebih privasi dan keselesaan, disamping kehidupan yang lebih terjamin. Mari lihat perkongsian saudara Amir Syahir ini di laman facebooknya mengenai tip memiliki rumah sendiri ini. Semoga bermanfaat buat semua.
Yelah takkan sampai ke tua tak ada aset rumah sendiri. Takkan nak menyewa sampai anak dah 5? Kau kena fikirkan pelan masa depan kau sekarang. Tengah duk lepak kedai kopi mahal, sambil hisap vape tu, cuba lah buat draft gambaran kasar perancangan kau. Tentu kau akan nampak. Ini pandangan dan panduan aku sahaja. Kau boleh rujuk mentor dan pakar dalam bab ni. Ingat, rumah pertama tak perlu besar, nanti penat nak kemas.
Ikuti tip berguna untuk membeli rumah idaman dan siapa sangka anda mungkin jumpa mana yang berkenan..
1. Tingkatkan Ilmu Pengetahuan
Ilmu merupakan punca utama untuk kau berjaya. Mulakan dengan belajar ilmu hartanah yang asas. Jika kau ada ilmu pengurusan kewangan, dengan sendiri kau pandai menguruskan kewangan dan hasilnya kau ada wang untuk memiliki sekurang-kurangnya satu aset hartanah.
2. Tabiat Menyimpan
Ramai yang tahu menyimpan itu penting. Tetapi tak ramai yang boleh ikut. Ya. Kalau dah gaji RM1400, nak makan pun susah, menyimpan apatah lagi kan. Itu kau kena ambil inisiatif sendiri. Takkan ada orang yang boleh bantu kau melainkan kau yang bantu diri kau sendiri.
3. Mulakan Pelaburan
Jika kau sudah ada tabiat menyimpan duit, kau boleh melangkah untuk instrumen pelaburan yang diyakini. Banyak pelaburan yang dijamin selamat. Kau kena tahu matlamat dan risiko serta pulangan pelaburan dengan jelas. Unit Amanah ataupun ASB Financing Islamik.
4. Bebaskan Diri Daripada Hutang Jahat
Kebanyakan anak muda suka berhutang apabila mula bekerja. Daripada berhutang beli telefon sampailah berhutang nak kahwin. Semua nak up-to-date. Biar mewah depan mata kawan. Padahal buka dompet pun serupa tumbuk bawang. Hutang keliling pinggang.
5. Tambahkan Pendapatan
Perkara paling senang nak tambah pendapatan ialah menjual barang ataupun berniaga secara online. Macam jual serunding ke, kain batik, buku dan lain-lain. Dapat untung RM5 satu pun okay dah.
6. Beli Rumah Murah Dulu
Jangan terus nak terkam beli rumah bertanah harga RM400K. Beli dulu rumah bawah RM150K. Apartmen contohnya. Ansuran bulanan pun murah. Harga rumah akan naik setiap tahun. Bila gaji dah naik, ada kemampuan, barulah boleh cuba cari rumah yang lagi selesa.
7. Baiki Profil Kewangan
Ramai yang tak dapat pembiayaan perumahan disebabkan profil kewangan yang lemah. Simpanan tiada, hutang kad kredit berlambak dan hutang piutang yang lain. CCRIS barai, CTOS koyak. Jadi, tetapkan matlamat. Ambil masa setahun dua untuk baiki balik kewangan sendiri.
Bayangkan, menghabiskan lebih dua dekad di sebalik tirai besi, bukan meratap nasib, tetapi meraih segulung ijazah Doktor Falsafah (PhD)!
Kisah luar biasa ini datangnya daripada seorang bekas penghuni penjara yang diberi pengampunan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena Hari Keputeraan baginda pada hari Rabu. Ia bukan sekadar berita, tetapi sebuah inspirasi yang membakar semangat!
Kisah ini bermula dengan Murad (bukan nama sebenar), yang memasuki usia dewasa di dalam Penjara Kajang sejak tahun 2001.
Beliau menjalani hukuman sebagai Tahanan Limpah Sultan (TLS) di Rawatan Pemulihan Dadah, ketika baru berusia 14 tahun. Namun, di sebalik tembok tinggi dan kawalan ketat, semangatnya untuk menimba ilmu tidak pernah padam.
Foto: Facebook Jabatan Penjara Malaysia
Apa yang lebih luar biasa? Beliau berjaya menggenggam PhD dalam bidang Pentadbiran Perniagaan! Ini bukan calang-calang pencapaian.
Bayangkan dedikasi dan ketekunan yang diperlukan untuk menyeimbangkan kehidupan di penjara dengan tuntutan akademik yang tinggi. Ia membuktikan bahawa peluang untuk berubah dan berjaya ada untuk semua, walau di mana pun kita berada.
PERTAMA BERGELAR DOKTOR FALSAFAH
Jabatan Penjara Malaysia sendiri tampil dengan kenyataan rasmi melalui perkongsian di laman Facebook mereka pada hari Rabu.
“Murad merupakan prospek pertama Jabatan Penjara yang bergelar Doktor Falsafah dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, setelah menyambung pelajaran ketika menjalani hukuman di penjara.”
Waran pembebasan Murad dibacakan sendiri oleh Pengarah Penjara Kajang, Preshahdin Monshee, pada hari Rabu yang sama. Satu babak yang pasti penuh emosi dan harapan.
Foto: Facebook Jabatan Penjara Malaysia
Dalam sesi pembebasan tersebut, Preshahdin turut berpesan kepada Murad untuk terus mengamalkan disiplin yang telah membawanya sejauh ini.
Beliau juga menekankan pentingnya ilmu yang dimiliki untuk memajukan diri dan menyatakan kesediaan pihak jabatan untuk membantu sekiranya Murad memerlukan sokongan.
Murad pula, tidak dapat menyembunyikan rasa syukur dan terharunya. Beliau menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor atas pengampunan yang diberikan.
PELUANG DAN RUANG
Beliau juga berterima kasih kepada Jabatan Penjara yang telah memberinya peluang dan ruang untuk melanjutkan pengajian sehingga mencapai tahap Doktor Falsafah.
Dengan penuh rasa hormat, Murad berjanji akan sentiasa mengenang jasa baik pihak jabatan dan percaya dengan peranan mereka dalam memulihkan individu sepertinya, agar dapat kembali ke masyarakat dengan bekalan yang lebih mantap.
Foto: Facebook Jabatan Penjara Malaysia
Kata-kata Murad ini menyentuh hati: “dia akan mengenang segala jasa baik pihak jabatan dan percaya dengan peranan jabatan dalam memulihkan prospek sepertinya, agar dikembalikan dengan lebih sempurna.”
Kisah Murad adalah bukti nyata bahawa harapan dan peluang sentiasa ada, walau dalam situasi yang paling mencabar sekalipun.
Ia adalah inspirasi bagi kita semua untuk terus berusaha dan tidak pernah menyerah pada impian, tidak kira apa pun halangannya.
Kisah ini bukan hanya tentang seorang banduan yang mendapat PhD, tetapi tentang semangat manusia yang mampu bangkit dan meraih kejayaan di luar dugaan. Ia adalah kisah yang akan terus membara dan memberi inspirasi.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Kredit: Jabatan Penjara Malaysia, BERNAMA
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin telah mengumumkan senarai kabibet baru di bawah pimpinannya.
Rata-rata menteri yang dilantik merupakan muka-muka yang sudah biasa kita lihat dalam arena politik tanah air. Namun terdapat dua lantikan menteri yang bukan merupakan ahli Parlimen dan bakal dilantik menjadi senator mencuri perhatian ramai.
Mereka ialah Mufti Wilayah Persekutuan, YB Dato’s Seri Hj Zulkifli Mohamad Al-Bakri dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan YM Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Kewangan.
Menteri Kewangan negara yang baharu, Tengku Dato Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz .
Lantikan dua insan yang cukup hebat dalam bidang masing-masing ini mendapat pujian daripada ramai pihak terutamanya warganet yang melihat ini merupakan satu langkah bijak daripada Perdana Menteri.
Kali ini MASKULIN ingin bawa anda mengenali Menteri Kewangan kita yang baru. Jom lihat 10 fakta tentang pemimpin baru yang bakal mengemudi Kementerian Kewangan.
1.
Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz mempunyai pengalaman yang sangat luas dalam bidang perbankan dan kewangan iaitu lebih 23 tahun.
2.
Beliau bolehlah dikatakan sebagai seorang menteri yang muda dengan usianya mencecah 47 tahun.
3.
Merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik. Ibunya, Raja Datuk Zaharaton Raja Zainal Abidin merupakan bekas Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri manakala bapanya Tengku Abdul Aziz adalah ahli perniagaan.
4.
Mendapat pendidikan di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) dan pendidikan tinggi di University of Bristol.
5.
Seorang yang sangat suka berlari dan aktif dalam larian marathon sama ada di peringkat tempatan dan luar negara.
6.
Memulakan karier dalam bidang korporat sebagai Eksekutif Kewangan Korporat di AmInvenstment Bank pada tahun 1996.
7.
Mempunyai keluarga bersama seorang isteri dan empat orang cahayamata.
8.
Sebelum dilantik sebagai Menteri Kewangan beliau merupakan CEO dan Pengarah Eksekutif CIMB Bank Berhad.
9.
Pernah diangkat memenangi pelbagai anugerah profesional seperti Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif ASEAN, Most Promising Entrepreneurship dan Masterclass CEO of the Year.
10.
Pendukung dan penyokong kuat kepada Juara Kelab Dunia, Liga Juara-Juara Eropah dan bakal Juara Liga Perdana Inggeris iaitu Liverpool FC.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.