Di zaman moden ini segalanya agak sukar dan mencabar. Walau susah manapun dugaan yang bakal dihadapi, sebagai manusia, kita tetap akan mengharunginya dengan hati yang tabah serta usaha yang tidak berbelah bahagi.
Jika dahulu kita boleh menyara keluarga dengan hanya satu kerja sahaja dan perbelanjaan tidak sesukar hari ini. Namun, realitinya sudah berubah pada hari ini kerana sudah ramai orang yang sudah mula membuat 2 kerja dalam satu masa semata-mata mahu menyara keluarga.
Hari ini tidak pelik jika kita lihat orang kerja sebagai penghantar surat di siang hari, malam pula mengambil upah hantar makanan. Ini semata-mata mahu menyara anak dan keluarga.
Begitu juga dengan seorang graduan di sebuah universiti yang terkemuka di United Kingdom di mana dia sanggup bekerja sebagai tukang cuci. Dia melakukan sedemikian kerana semata-mata mahu membelikan tiket penerbangan untuk ibu bapanya melihat dia menggenggam segulung ijazah di negara asing.
Ikuti kisah perjalanan hidup Mohd Afiq yang diceritakan oleh rakannya Khairul Aiman Hamdan daripada bergelar seorang pemandu lori serta penternak kambing hinggalah graduan kelas pertama di UK.
“Tak payah bohong, cakap je aku dah tau Kelantan, kuat bau budu”. Satu bilik gelak.
Afiq berseloroh, dia tahu dia ‘kantoi’ dan aku tahu dia bercanda. Jarang sekali aku dengar, orang asal Subang, tapi bahasa Inggeris nya berloghat Kelantan. ?
Dan seperti biasa, aku suka untuk tahu latar belakang serta kisah anak-anak Malaysia yang belajar di luar negara. Semua orang ada kisah sendiri. Tambahan kisah-kisah inilah, yang buatkan hidup ini menarik. Ini mungkin cerita biasa bagi kalian, tapi bagi aku, kisah ini istimewa. Perlu aku kongsikan kisah anak muda ini dengan kalian.
Afiq, budak Kuala Krai dari Kampung Batu Mengkebang adalah legenda hidup yang aku bertuah dapat kenali. Umum, mungkin kerana aku asal bandar, bila dimomok cerita anak kampung berjaya ke menara gading atau berjaya dalam hidup adalah satu cerita klise. Mungkin selama ini aku sendiri tak pernah jumpa, maka penyebab aku tak pandang sebelah mata.
Ads
Bila aku teliti, pemegang biasiswa JPA ini punya cerita unik sendiri yang mahu aku tuliskan. Anak pasangan Ismail bin Abas dan Norma binti Abdullah ini merupakan seorang insan biasa, lahir di kampung biasa. Dengan ayahnya punyai kebun kelapa sawit dan kambing sebagai ternakan. Si ibu, suri rumah sepenuh masa dan kadangkala buat kerja sampingan jualan kain di kampung.
“Berapa adik beradik kau?”
‘Dua bang, tapi abang saya kelainan upaya. Kaki dia tak kuat macam kita. Jadi saya seorang yang tolong baba jaga kebun dan kambing”.
‘Saya dari kecik sekolah asrama bang. Sekolah pondok. Dari darjah empat, jauh sekolah saya, baba hantar untuk saya belajar elok. Boleh ubah nasib keluarga”.
‘Masa saya tingkat 1, saya masuk sekolah agama swasta. Baba nak bagi terbaik, dia bayar mahal. Yuran sebulan rm300. Dia kerja keras nak bagi segala yang termampu. Cuma masa saya PMR, saya kena keluar sekolah tu, sebab keputusan saya tak dapat ikut capaian minimum”.
“Berapa kau dapat?”
‘4A 4B 1C, masa tu saya sedih sangat. Tak dapat nak banggakan baba dengan umi. Saya anak harapan tapi tak dapat bagi apa-apa. Baba dengan umi ok je, tapi sayalah yang sedih’
“Habis tu, macamana kau boleh sampai sini (UK)?”.
‘Pulun bang, saya pindah sekolah lain, dapat masuk kelas akaun. Dari situ saya dapat rasa, saya minat nombor. Saya tengok matematik saya suka, kira kira saya suka. Bila peperiksaan percubaan saya dapat 9A, semua orang pandang. Masa tu memang saya tak pandang belakang bang. Saya usaha sehabis baik lagi, alhamdulillah SPM saya dapat 10A1B”.
Ads
“B apa?”
‘Bahasa Arab’ aku dengan dia gelak sama-sama. Orang kita, bukan ditanya 10A tu apa, tapi tanya yang B tu dulu.
Dia ada cerita dengan aku, zaman remaja dia memang banyak dibesarkan dengan kerja kebun dan jaga kambing. Asal ada masa cuti sekolah, jarang sekali dia jadi macam remaja lain, bercuti atau ke kelas tambahan. Dia tahu tanggungjawab dia adalah dengan keluarga, susah senang dengan keluarga.
Kalau biasanya, dia akan makan singgang sebagai makanan kegemaran dan lauk ayam bukanlah suatu yang biasa. Bukan kerana tak mampu, tapi dah jadi kebiasaan untuk berjimat, makan biasa atau bukan bermewah. Selalunya cuma nasi lauk sayur dengan ikan kering pun dah cukup lega bagi mereka sekeluarga.
Selepas keputusan SPM yang cemerlang, dia ditawarkan pengajian A level kelolaan Intec di Shah Alam, selesai A level terus ke University of Essex dalam pengajian Akaun dan Kewangan.
“Lepas kau tahu kau terbang kau buat apa?”
‘Ba paling bangga bang, dia tumbang lembu seekor dan kambing seekor. Setakat ni tak ada lagi anak kampung saya terbang gi UK. Senyum sungguh dia. Alang alang dah nazar, saya botakkan kepala’
“Tak bang, tapi dah nazar. Sebab tu masa dekat Intec, saya pakai kopiah. Langsung saya kena panggil budak kopiah. Bila rambut dah panjang, saya free hair ??”.
Aku gelak besar. Ada saja akal budak sekolah agama ni. Ketika belajar di Essex, Afiq bekerja Part time sebagai tukang cuci di Universiti.
“Aku tengok banyak jam kau kerja ni. Dah macam staff sepenuh masa, kenapa?’
” Saya nekad bang, alang alang saya tak balik dua tahun, saya nak umi dengan baba datang masa saya graduation. Bila saya terima ijazah, saya nak umi dengan baba ada ketika itu. Saya harap mereka bangga dengan saya. ”
” Maksud kau dengan kerja banyak jam ni?”
” Yalah, saya nak pulun lah kerja banyak bang. Dapat duit. Umi dengan baba tak pernah naik kapal terbang. Saya nak bayar tiket mereka naik flight datang sini, sebagai hadiah buat mereka yang besarkan saya sampai saya berjaya tamatkan pelajaran bang. Seumur hidup, saya hanya nak bagi hadiah terbaik buat mereka. Bukan setakat senggengam ijazah, tapi pengalaman berharga buat mereka untuk dapat tengok anak sendiri terima ijazah”‘.
Aku terdiam. Hadiah apa yang aku pernah bagi untuk mak ayah aku?
Hari ini, hari paling gembira buat kedua umi baba Afiq. Dari Kuala Krai ke Kuala Lumpur dengan bas, singgah dirumah saudara sebelum terbang buat pertama kali di dalam 54 tahun hidup mereka. Dari KLIA pula transit ke Abu Dhabi, lalu Ke Heathrow, hinggalah ke Colchester. Perjalanan paling panjang dari hidup mereka.
(Oh ya, umi baba afiq tak boleh berbahasa Inggeris. Apatah lagi ini kali pertama mereka ke luar negara. Naik kapal terbang pun tak pernah. Jadi Afiq, tumpangkan umi baba nya terbang bersama ibu rakan Afiq yang turut terbang ke mari untuk majlis graduasi. Risau dia kalau nak lepaskan umi baba terbang sendirian).
Hari ini akhirnya semua jasa umi baba nya terbalas bila dapat tengok anak harapan di atas pentas dengan Ijazah Kelas Pertama. Afiq juga akan mula bekerja di salah satu syarikat perakaunan terbesar di negara (Big Four). Perasaan bangga bukan kepalang. Gugur air mata kedua ibu bapa ini. Moga Afiq terus berpijak di bumi yang nyata dan dapat terus menggembirakan kedua umi dan babanya.
Dari tarik kelapa sawit, jaga kambing, hingga bawak lori, hari ini, anak itu pegang Ijazah paling berharga. Graduan kelas pertama, kursus Perakaunan dan Kewangan, University of Essex. Balasan buat ayah ibu. Aku tumpang bangga.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Sudah banyak kita dengar tentang intermittent fasting. Bahkan MASKULIN sendiri sudah berulang kali mengupas tentang teknik diet yang pada asanya berpuasa selama 12 jam. Dan ia kebanyakannya dilakukan bermula pada malam sehinggalah keesokan pagi.
Akan tetapi bagi jejaka bernama Mohd Ariff Shafiq Bin Husin yang berusia 29 tahun ini, selain mengamalkan intermittent fasting dia juga menggabungkan satu lagi teknik diet yang cukup berbeza.
Jejaka berasal dari Kuala Terengganu yang berkhidmat sebagai Pegawai Keselamatan di dalam bidang pembinaan ini berkongsi rahsia bersama MASKULIN bagaimana dia berjaya menurunkan berat bada dari 109 kilogram ke 81 kilogram.
Jom sama-sama kita ikuti temubual MASKULIN bersama Mohd Ariff yang dihubungi menerusi e-mel di bawah.
Pernah mencatat berat 109kg membuatkan Mohd Ariff ingin berubah dan menurunkan berat badan.
KEINGINAN TURUN BERAT BADAN
BAGAIMANA BERAT BOLEH MENCECAH SEHINGGA 109KG?
Selepas berkahwin saya jadi kurang jaga pemakanan. Terutamanya pada waktu malam. Makan nasi dengan banyak, ambil makanan bergula serta makanan lain yang tinggi kalori.
APA YANG MEMBUAT ANDA INGIN TURUNKAN BERAT BADAN?
Saya mendapat motivasi untuk turunkan berat badan bila saya perasan keyakinan diri sangat rendah bila nak berdepan dengan rakan-rakan dan ahli keluarga. Pada masa itu saya fikir saya belum ada anak tapi sudah pakai baju bersaiz XXL.
Bidang kerja saya pula perlukan orang yang berada dalam tahap kesihatan baik. Bila dah makin berisi saya juga selalu deman, malas dan cepat letih. Itulah yang membuatkan saya ingin berubah dan mahu turunkan berat badan untuk diri sendiri, kerjaya, keluarga dan masa depan.
Kini dia lebih berkeyakinan dan selesa terutamanya ketika bertugas di lapangan.
BAGAIMANA DENGAN PERUBAHAN DIET CONTOH MENU DIAMBL SETIAP HARI?
Bulan pertama saya makan 3 biji telur pada waktu tengahari.Selain itu saya akan makan sekeping roti putih berserta air yang banyak iaitu kira-kira 2 liter. Pada waktu malam selepas ke gym pula saya biasanya akan makan epal hijau. Dengan mengikuti intermittent fasting saya tak akan makan apa-apa dari jam 9 malam hinga 12 tengahari.
BOLEH KONGSI TIP TAHAN DIRI UNTUK MAKAN SEPERTI SEBELUM INI?
Seperti saya katakan tadi, diet saya telah berubah dengan banyak minum air putih dan makan telur 2 biji. Telur merupakan makanan sempurna yang boleh buat saya tahan rasa lapar. Elak pergi kedai makan dan isi masa lapang dengan hobi lain contohnya main video game PUBG.
PERUBAHAN FIZIKAL PADA PERINGKAT AWAL
ADAKAH PERUBAHAN PADA BULAN PERTAMA PADA FIZIKAL JADI KETARA?
Selepas sebulan perut saya jadi makin mengecil serta badan rasa sangat selesa bila buat kerja dan tugasan harian.
BAGAIMANA PULA DENGAN SENAMAN?
Ya, senaman memang memainkan peranan sangat penting! Saya berlari atau jogging selama lebih kurang 30 minit sehari. Pada permulaannya saya akan buat dengan lari pantas sejauh 20 meter dan sambung dengan berjalan. Kemudian lari pantas 20 meter dan berjalan untuk 10 meter hinggalah cukup masa 30 minit.
Bagi jarak pula saya tak pernah tetapkan tapi saya cuba untuk buat 5km. Tiga bulan kemudian saya buat 4km dalam masa 28 minit. Kini saya jogging hanya 2.5km dalam masa bawah 12 minit.
ADAKAH SUDAH UAS HATI DENGAN BERAT SEKARANG?
Alhamdullah saya sudah turun 28kg. Tapi misi saya seterusnya ialah nak turun lagi hingga 75kg.
TIP BAGAIMANA KEKALKAN MOTIVASI DIRI?
Antara tip yang saya praktikkan ialah membeli baju bersaiz yang lebih kecil. Contoh sekarang saya bersaiz L, jadi saya akan beli baju saiz M. Dengan itu saya akan kerja keras untuk sasarkan saya boleh pakai baju saiz itu.
Terima kasih yang tak terhingga kepada Mohd Ariff yang berkongsi tip serta pengalamannya menurunkan berat badan. Semoga perkongsian perjuangannya menurunkan berat badan ini boleh menjadi sumber inpirasi buat adan yang ingin melakukan perkara saya.
Dia kini dalam misi menurunkan berat hingga ke 75kg.
Syabas MASKULIN ucapkan buat Mohd Ariff. Teruskan berusaha keras dan kekalkan fikiran positif untuk terus maju ke hadapan!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Taylor Swift nampaknya gayanya sudah ada buah hati dan beralih angin dengan perhubungan barunya bersama Travis Kelce. Hubungan cinta atara penyanyi pop ini dan pemain American football ini dihidu oleh media pada Julai 2023.
Para Swiftie cukup terkejut dan gembira dengan khabar berita ini. Malah, jejaka yang berusia 34 tahun itu langsung tidak menyorokkan perasaan cintanya terhadap Taylor Swift.
Berbadan Besar
Berbanding dengan bekas kekasih TS sebelum ini, Travis memang mempunyai bentuk badan yang lebih besar. Walaupun dia tidak berperut ‘segi empat’, ramai wanita sebenarnya lebih suka lelaki sebegini berbanding lelaki yang berbadan berotot. Malah, tinjuan yang dibuat melalui laman temu janji, lelaki dengan badan ‘dad body’ memang digemari.
“Hampir 75% orang bujang adalah peminat ‘dad bods’. Ini bermakna mereka sukakan figura yang tidak begitu berotot,” kata wakil Dating.com.
Lelaki berbadan besar lebih yakin
Tinjauan yang dijalankan melalui PlanetFitness pula menunjukkan 78% wanita merasakan lelaki berbadan besar lebih yakin dengan diri mereka sendiri. Separuh daripada wanita juga memilih pasangan dengan ‘abs’ dan bukannya ‘six-pack’. Sementara itu, 83% isteri berkata mereka bangga mempunyai suami yang lebih gemuk.
Walau bagaimanapun, penyelidikan seterusnya mendedahkan bahawa wanita sebenarnya tidak menganggap lelaki gemuk itu menarik secara fiziknya. Namun, mereka dianggap mempunyai sifat penyayang, mesra, dan berpotensi menjadi ibu bapa yang baik. Sementara itu, lelaki ultra-macho dengan badan berotot cenderung mempunyai paras testosteron yang tinggi, menjadikan mereka agresif dan tidak menarik.
Dikatakan ada sebab saintifik mengapa wanita lebih suka lelaki yang mempunyai bentuk badan seperti Taylor Kelce. Profesor dan juga ahli psikologi Joel Wade dari Bucknell University mendedahkan bahawa wanita mungkin menganggap lelaki dengan badan ‘ayah’ mempunyai tahap testosteron yang lebih rendah. Disebabkan ini, mereka dianggap kurang agresif dan mempunyai ciri-ciri yang lebih baik sebagai pasangan dan bapa pada masa hadapan.
Menurut kajian ini lagi mendapati lelaki yang sempurna dari segi fizikal lebih cenderung untuk menipu dan curang. Disebabkan itu, wanita lebih suka memilih bakal pasangan yang lebih gempal kerana tidak perlu risau dicaras ‘penyondol’!
Sejujurnya lelaki berbadan besar ni memang nampak comel pun, untunglah lelaki berbadan besar ni!
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Setiap kali anak Malaysia memenangi apa-apa pertandingan sukan di peringkat antarabangsa tidak dinafikan kita semua turut berasa sangat bangga. Terbaru, pelari menarai atau tower runner profesional negara, Soh Wai Ching telah menjuarai pertandingan larian memanjat menara terkemuka dunia iaitu Empire State Building Run-Up 2021.
Larian pendakian menggunakan tangga yang sangat mencabar tersebut menyaksikan Soh Wai Cing menlengkapkan pendakian sebanyak 86 tingkat di bangunan yang cukup ikonik dengan nama New York. Lebih membanggakan, beliau mencatatkan masa pendakian yang sangat baik iaitu dalam masa 10 minit 40 saat!
Memetik laman sesawang rasmi pertandingan tersebut, atlet yang menyahut cabaran ini dianggap sebagai salah satu cabaran ketahanan yang sangat tinggi.
Namun begitu sifat kompetitifnya ternyata terserlah apabila sedikit kecewa kerana tidak berjaya mencapai sasaran yang diletakkannya iaitu rekod 9 minit 33 saat yang dicipta Paul Crakepada 2003.
Walaupun agak kecewa namun beliau berazam untuk kembali pada 2022 dan meningkatkan lagi kebolehannya dalam pertandingan tersebut. Beliau turut berharap mempunyai persediaan yang baik pada tahun depan untuk kembali berentap sekurang-kurangnya dua bulan.
Untuk rekod Empire State Building Run-Up merupakan perlumbaan menara paling terkenal di mana pelari perlu berlari menaiki 86 flights atau 1,576 anak tangga!
Perlumbaan yang berlangsung pada 26 Oktober lalu ini juga dilangsungkan bagi mengumpul kutipan dana untuk Equity Designs di mana ia membawa misi untuk melatih 150 orang guru menggunakan aktiviti fizikal bagi mengembangkan pembelajaran dan impak kesihatan kepada lebih 4,500 belia di Bronx, New York.
Lebih menarik Sebastian Stan, pelakon Hollywood terkenal dengan watak adiwira Bucky Barnes/ Winter Soldier turut hadir dan menyokong penganjuran serta kerja amal seperti ini. Sebastian hadir bersama jurulatih kecergasan peribadinya, Don Saladino.
Kemenangan Soh Wai Ching turut mencuri perhatian pelakon tersebut dan mereka sama-sama sempat berfoto bersama mengabadikan momen berharga. Malah Sebastian Stan turut memuat naik pertemuan mereka menerusi laman Instagram kendaliannya.
Soh Wai Ching menerusi Instagram kendaliannya juga turut melahirkan keterujaannya dengan kemenangan dan kesempatan bertemu dengan Sebastian Stan.
“Sangat gembira pada malam ini! Memenangi larian dan berpeluang bertemu dengan Winter Soldier, Sebastian Stan! Marvel fanboy di sini. Berharap agar dapat bertemu dengan Marvel Superhero yang lain!” jelas Soh Wai Ching menerusi kapsyen foto selfienya bersama pelakon tersebut.
Jutaan tahniah MASKULIN ucapkan kepada Soh Wai Ching kerana berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Teruskan berlari!
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.