Gaya Hidup

Dari Hero Remaja Ke Komentator Realiti TV, Perjalanan Baru Hariz Hamdan Dalam Industri Hiburan

Share

Hariz Hamdan, bekas Hero Remaja 2020 yang terkenal dengan bakat lakonannya, kini memulakan langkah baru dalam dunia hiburan sebagai komentator dalam rancangan realiti terbaru, ‘Who’s Your Bro’.

Dalam satu temu bual eksklusif, Hariz berkongsi pandangannya tentang rancangan realiti ini, harapannya untuk tahun 2025 serta peranan barunya sebagai komentator.

Who’s Your Bro Rancangan Realiti TV yang baru dalam Industri

Bagi Hariz, ‘Who’s Your Bro’ adalah suatu  konsep realiti TV  yang baru dalam industri hiburan Malaysia.

Dalam dunia yang kini didominasi oleh rancangan realiti yang menumpukan kepada pencarian bakat, ‘Who’s Your Bro’ tampil dengan konsep yang berbeza  iaitu menonjolkan elemen ketahanan fizikal dan mental peserta.

“Saya rasa ini adalah sesuatu yang baru dan sangat unik. Banyak rancangan realiti sekarang lebih kepada mencari bakat dalam bidang nyanyian atau fesyen, tapi ‘WYB’ menguji ketahanan fizikal dan mental. Ini adalah satu konsep yang jarang kita lihat di Malaysia,” ujar Hariz.

Menurutnya, cabaran yang diberikan dalam WYB bukan hanya memberi peluang untuk peserta menguji diri mereka, tetapi juga memberi penonton satu pengalaman yang lebih mendalam tentang perjuangan sebenar peserta.

Peranan Komentator yang Menerangi Perjalanan Peserta

Sebagai komentator pertama kali dalam sebuah rancangan realiti, Hariz merasa teruja dan sedikit terkejut.

“Ini adalah pengalaman pertama saya sebagai komentator dalam sebuah rancangan realiti TV. Saya rasa ia satu perkara yang menarik kerana tidak banyak rancangan TV yang menggabungkan konsep pengulas seperti ini.

Saya juga melakukan sedikit kajian tentang rancangan realiti di luar negara yang ada komentator dan ia ternyata memberikan elemen yang lebih menyeronokkan untuk penonton,” jelasnya.

Sebagai komentator, Hariz merasakan tanggungjawab yang besar. Peranan seorang komentator adalah sebagai jambatan antara peserta dan penonton.

“Kadang-kadang, penonton tidak tahu apa yang peserta rasa atau alami dan di situlah peranan saya untuk menjelaskan apa yang berlaku kepada penonton”, katanya.

Mengharapkan Kualiti Lebih Utama Daripada Kuantiti Untuk Tahun 2025

Memandang ke hadapan, Hariz berasa bersyukur dengan pencapaiannya pada tahun 2024. Selain aktif dalam menjadi komentator, Hariz juga sedang giat dalam dunia lakonan, terlibat dalam beberapa filem dan siri TV.

“Tahun 2024 sangat baik bagi saya. Saya telah terlibat dalam beberapa projek besar dan saya lebih memberi penekanan kepada kualiti berbanding kuantiti,” kata Hariz.

Bagi Hariz, kejayaan dalam dunia seni tidak hanya diukur dengan banyaknya projek yang diterima, tetapi lebih kepada kepuasan dalam memberikan yang terbaik.

“Saya percaya kualiti itu lebih penting. Saya mahu terus berkembang sebagai seorang pelakon yang lebih baik dan memberi impak yang lebih besar dalam setiap watak yang saya bawa,” jelasnya lagi.

Untuk maklumat lanjut tentang ‘WHO’S YOUR BRO’ boleh layari www.maskulin.com.my/whosyourbro/!

#SiapaBroSiapaLawan

Published by
Darwisy Farain