Head of Men & Hobbies, Penata Gaya: Fiezreen Ahmad
Ass. Manager Men & Hobbies, Penulis: Farizul Izwany
Dibantu oleh: Faez Akhmal & Darwisy Farhain
Arahan Seni: Azniza Aziz
Grooming: Ayang Kamell
Fotografer: Jazlan Nangar
Videografer: Husin Ali & Sufyan Marhaban
Editor Video: Husin Ali
Suntingan Foto: Hezry Rokman
Lokasi: Kay’s Steak & Lobster, Elmina
Dalam dunia perniagaan, kejayaan sering kali dikaitkan dengan latar belakang pendidikan dan pengalaman luas dalam sesuatu industri. Namun, bagi lelaki ini, perjalanan mencipta empayar makanan dan minuman (F&B) bukanlah satu laluan yang mudah.
Malah, ia penuh dengan cabaran, bukan hanya dalam dunia perniagaan tetapi juga dalam kehidupan peribadi. MASKULIN mempersembahkan MAN OF THE MOMENT edisi Februari 2025, Aizuddin Khalid, seorang usahawan yang membuktikan bahawa kesungguhan dan visi jelas mampu mengatasi segala rintangan.
Merupakan Pengarah Urusan Kay’s Steak & Lobster, sebuah jenama restoran yang semakin kukuh dalam industri F&B tempatan, ada kisah di sebalik usahanya membina jenama ini. Sebelum menceburi bidang F&B, beliau terlebih dahulu mecipta kerjaya dalam dunia perbankan dan pelaburan.
“Selepas saya habis belajar di Australia, saya sertai industri perbankan dan pelaburan dalam tempoh tiga hingga empat tahun. Tapi selepas itu saya ambil keputusan untuk buka bisnes.
“Masa tu, bila difikirkan saya rasa F&B paling senang untuk dimulakan. Itulah yang ada dalam fikiran saya ketika itu,” jelasnya yang sebenarnya berdepan lebih banyak cabaran dalam membina perniagaan ini.
Tanpa pengalaman dalam industri makanan dan minuman, setiap perkara terpaksa dipelajari dari bawah. Namun, itulah yang membentuk perjalanan kejayaan Aizuddin dan Kay’s Steak & Lobster sehingga ke tahap sekarang.
Sehingga kini, jenama ini sudah memiliki empat cawangan di Lembah Klang dan dalam perancangan untuk berkembang sehingga ke Johor Bahru serta Pulau Pinang menjelang Mei 2026 dengan konsep baharu.
Setiap kejayaan pasti ada kisah jatuh bangunnya. Salah satu pengalaman paling berharga buat Aizuddin adalah ketika menjadi pemandu syarikat e-hailing, Grab.
“Pada masa itu saya buat Grab untuk tampung income peribadi dan keluarga. Sebab income restoran saya tak kacau dan saya laburkan sepenuhnya ke dalam perniagaan – beli peralatan, buat pemasaran. Dan pada masa tu juga saya tak ambil gaji, semuanya untuk kemajuan restoran,” ujarnya.
Keputusan untuk mengutamakan perkembangan perniagaan walaupun dalam keadaan peribadi yang sukar membuktikan mentaliti seorang usahawan sejati.
Keberanian ini akhirnya membuahkan hasil apabila Kay’s Steak & Lobster kini berkembang pesat dengan lebih 100 kakitangan dari pelbagai latar belakang.
Menguruskan restoran bukan sekadar menyajikan makanan enak, tetapi memastikan konsistensi rasa dan servis terbaik diberikan kepada pelanggan.
“Bila buat F&B, makanan kena konsisten. Bila pelanggan datang, mereka mesti dapat rasa dan kualiti yang sama di semua cawangan.
“Jadi risiko paling besar adalah konsistensi makanan. Apa yang kami lakukan adalah menetapkan SOP ketat dan menggunakan dapur pusat (central kitchen) yang dikendalikan oleh staf terlatih,” jelasnya.
Selain itu, nama juga memainkan peranan penting dalam membina jenama yang kukuh. Pada mulanya, restoran ini menggunakan nama lain tetapi kurang mendapat perhatian. Pada tahun 2017, nama Kay’s Steak & Lobster dipilih untuk menampilkan jenis perniagaannya dengan lebih jelas selain nama tersebut melambangkan huruf depan nama arwah bapanya.
Sebagai seorang yang berlatar belakang dalam perbankan dan pelaburan, Aizuddin melihat perniagaan dalam perspektif yang lebih analitikal.
“Untuk membuat untung dalam perniagaan, kita kena tahu semua angka kita. Kedua, kita kena kerja lebih kuat dan cari jalan bagaimana meyakinkan orang ramai tentang produk dan servis kita,” ujarnya.
Malah, inspirasi terbesar beliau dalam hidup datang daripada arwah bapanya sendiri.
“Arwah bukan seorang ahli perniagaan, tapi dia ada karakter yang sangat baik. Dia seorang yang sangat people person, tak berkira dengan orang dan sentiasa buat sesuatu dengan sehabis baik. Itu yang saya pegang dalam hidup dan perniagaan,” tambahnya.
Kay’s Steak & Lobster bukan sekadar menawarkan makanan, tetapi juga pengalaman kulinari premium dalam suasana selesa. Antara menu paling popular ialah Beef Wellington, yang pada asalnya hanya diperkenalkan sebagai menu bermusim, tetapi kini menjadi hidangan tetap kerana permintaan tinggi.
Selain itu, restoran ini juga terkenal dengan menu istimewa sempena perayaan seperti Nasi Lemak Lobster untuk bulan Ramadan dan hidangan khas untuk Aidilfitri.
Di sebalik kejayaannya sebagai usahawan, ramai yang tidak tahu bahawa Aizuddin juga menghidap Talasemia, sejenis penyakit genetik yang menjejaskan kualiti darah dan memerlukan pemindahan darah setiap bulan.
Namun, bagi Aizuddin, penyakit ini tidak menjadi halangan untuk mencapai impiannya.
“Saya ambil langkah untuk bekerja sendiri kerana lebih fleksibel untuk menjalani rawatan. Nasihat saya kepada mereka yang mempunyai kondisi seperti saya, jangan ada rasa rendah diri dan jangan biarkan ia menghalang anda daripada melakukan apa yang anda mahu,” katanya.
Malah, Aizuddin telah membuktikan bahawa pesakit Talasemia masih boleh hidup normal, berkahwin dan memiliki keluarga. Anak beliau kini disahkan sebagai pembawa Talasemia, namun masih dalam keadaan sihat dan perlu memastikan pasangannya bukan pembawa penyakit yang sama pada masa hadapan.
Kisah perjalanan Aizuddin Khalid dalam membina empayar Kay’s Steak & Lobster membuktikan bahawa kejayaan bukanlah sesuatu yang datang bergolek. Ia menuntut pengorbanan, kecekalan, dan keinginan untuk belajar dari setiap kegagalan.
Dari seorang yang bergelumang dalam dunia kewangan dan perniagaan, kepada pemandu Grab, seorang penghidap Talasemia hingga menjadi seorang usahawan berjaya, kisah beliau memberi inspirasi kepada ramai lelaki di luar sana untuk terus mengejar impian.
“Saya masuk F&B tanpa pengalaman memasak, sebab itu saya cari mereka yang pakar dalam bidang ini. Kena ada pasukan yang kuat dan semangat yang sama. Dalam perniagaan, kena sentiasa terbuka untuk belajar dan tak boleh cepat berpuas hati.”
Dengan segala halangan, cabaran serta falsafah perniagaan yang dibawanya, tidak hairanlah Aizuddin Khalid kini dianggap sebagai di antara figura usahawan muda yang cukup disegani di dalam industri F&B tempatan.