Khuzairi, 30 tahun seorang ‘content creator’ sepenuh masa dari Kuala Lumpur, membuktikan bahawa perubahan besar dalam hidup boleh dilakukan jika ada niat dan usaha yang berterusan.
Bermula dengan berat 148kg pada usia 19 tahun, dia memulakan perjalanan penurunan berat badan selama lebih setahun, berjaya mencapai berat 66kg dan dalam tiga tahun, kehilangan keseluruhan 75kg.
Kini, selepas hampir 13 tahun dia bukan sahaja mengekalkan berat ideal tetapi juga menginspirasikan ramai dengan kisahnya.
“Sejak kecil, saya tak pernah merasa kurus. Masa tadika pun saya dah besar, orang lain dapat baju sekolah biasa, tapi saya tak pernah dapat sebab saiz badan,” cerita Khuzairi.
Niatnya untuk menurunkan berat badan bermula pada tahun 2012, bukan kerana paksaan sesiapa, tetapi kerana keinginan untuk berubah dan mencuba sesuatu yang dia tak pernah alami seperti orang lain.
Walaupun penurunan berat badannya berjaya, perjalanan ini tidak sepenuhnya mudah.
Cabaran awal datang dari tabiat makan, Khuzairi merupakan peminat tegar minuman manis seperti Milo ais dan Coca-Cola, terutamanya ketika sarapan.
“Bulan pertama susah nak tinggal minuman manis, tapi lama-lama saya dah terbiasa,” katanya.
Kini, dia lebih memilih air kosong dan sebarang keinginan untuk makanan atau minuman manis hanya dipenuhi sesekali, seminggu atau sebulan sekali.
Dari segi mental, Khuzairi juga melalui fasa ‘low confidence’ sepanjang zaman remajanya. Dulu, body shaming dianggap perkara biasa baginya.
“Zaman sekarang orang sentap kalau body shaming, tapi zaman dulu lagi teruk. Tapi saya terima sebab saya sedar diri saya gemuk,” ujarnya.
Perubahan berat badannya telah mengubah cara orang sekeliling melayaninya. “Sekarang bila dah jaga diri, baru orang nak dekat dan kenal,” tambahnya.
Namun, dia akui bahawa keyakinan diri tetap menjadi perjuangan. “Walaupun dah kurus, tetap ada ‘insecurity’ tetapi sekarang dah jauh lebih baik dari dulu.”
Dalam masa setahun selepas memulakan perjalanan transformasinya, Khuzairi berjaya menurunkan berat badan ke 66kg.
Walaupun mengambil masa tiga tahun untuk menurunkan keseluruhan 75kg, dia berjaya mengekalkan berat badan idealnya hingga hari ini.
“Alhamdulillah, 13 tahun ini perjalanan saya ada turun naik, tapi berat ideal saya kekal sampai sekarang,” katanya dengan bangga.
Khuzairi percaya bahawa kunci kejayaan dalam menurunkan berat badan ialah niat yang jelas dan disiplin yang konsisten.
“Bila buat sesuatu untuk diri sendiri, cabaran itu akan jadi lebih ringan. Tanya diri sendiri sama ada nak kurus sebab paksaan atau sebab betul-betul nak? Kalau betul nak, pergi buat sekarang,” nasihatnya.
Jangan lupa saksikan program realiti kecergasan paling mantap, ‘MASKULIN Who’s Your Bro’ yang akan mula ditayangkan bermula 29 November, setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria!