Muhammad Shafiq Bin Ruhizad
Berat badan terdahulu dan punca ingin turunkan berat badan
Berat badan saya dahulu adalah sekitar 120 kilogram sekarang 85 kilogram, terdetik di hati untuk mahu amalkan gaya hidup lebih sihat kerana kerap pening kepala, terasa malas, badan rasa berat dan tidak bermaya serta disyaki mempunyai darah tinggi tahap hypertension. Keluarga yang lain aktif dalam sukan tetapi hanya saya sahaja yang tidak mahu melakukan apa-apa aktiviti sejak di bangku sekolah. Punca yang lain adalah kerana saya ingin mendapat perkerjaan yang mempunyai kriteria fizikal yang sihat.
Apa yang anda lakukan?
Saya bermula dengan berjalan dan berlari di taman rekreasi selepas habis waktu bekerja “without fail” setiap hari. Saya masih teringat pada mulanya tak sampai 100 meter saya sudah mahu pitam, hal ini menunjukkan betapa teruknya keaadan kecergasan saya ketika itu. saya juga mula menghindari makanan yang tinggi kolesterol, berminyak, manis dan masin. lama kelamaan saya mula menyertai acara larian daripada 3km hinggalah ke 12km. Saya juga turut mendaftarkan diri ke Kelab Gym untuk mendapatkan “result” dengan lebih berkesan.
Saya mengambil masa selama 6 bulan untuk melihat perubahan 120kg ke 92kg dengan mengamalkan diet dan senaman secara konsisten, manakala sehinggalah berat sekarang mengambil masa 4 bulan.
Pernah juga rasa lemah semangat, namun menyertai kelab kecergasan yang mempunyai sokongan dan dorongan daripada kawan-kawan lain yang sama tujuan mampu menguatkan semangat lagi untuk meneruskan misi (kurus) yang diinginkan.
Menu diet seminggu
Mudah sahaja, kurang atau hindari makanan berminyak dan masin serta berlemak adalah tip makan setiap hari. Contohnya, setiap pagi dimulakan dengan sarapan yang sihat seperti buah-buahan, susu dan pisang, untuk lebih kreatif, boleh jadikan “smoothie” iaitu campuran susu, pisang dengan campuran cereal yang rendah lemak dan gula. Manakala untuk lunch, boleh ambil nasi segenggam, dan lebihkan sayur yang dimasak kurang masin dan tidak berlemak cara masakanya. Tidak dilupakan ikan/ayam (dikukus, dibakar, direbus, sup) atau apa sahaja lauk yang mempunyai protein yang tinggi. Amalkan konsep Carbs, Protein dan sayur secukupnya untuk makan tengahari. Sudah pasti dalam jam 3 atau 4 akan terasa lapar, ini cabarannya di mana kebiasaannya kita akan makan makanan ringan serta tinggi gulanya, untuk itu ambillah snek yang sihat seperi buah-buahan dan kekacang seperti almond. Untuk makan malam pula saya tidak akan ambil nasi tetapi akan makan makanan yang tinggi protein seperti ayam bakar, sup ayam atau sup sayur yang tidak masin dan rendah kolestrol.
Senaman yang dilakukan
Saya merupakan Group Fitness Instructor secara sambilan iaitu STRONG by Zumba yang merupakan rutin bukan tarian, tetapi merupakan “High Intensity Interval Training” mengikut rentak musik. justeru, dengan senaman ini yang dilakukan setiap hari dan juga latihan bebanan (weight lifting) bagi memastikan jisim otot tidak terbakar sama kerana HIIT lebih fokus untuk pembakaran lemak yang berkesan, namun jika diamalkan secara berlebihan otot juga boleh turut terkesan.
Terima kritikan
Itu perkara biasa, namun saya hanya memekakkan telinga kerana saya tahu dengan konsistensi dan amalan sihat yang dilakukan mampu menunjukkan hasil yang akan dicemburui oleh mereka yang selalu berkata-kata. Ternyata mereka cemburu, itulah buktinya! Tidak perlu berlawan kata, malah dengan kata-kata merekalah semangat lebih membakar dan mereka akan terdiam malah bertanyakan tip.
Suplemen tempoh turun berat
Hanya suplemen natural yang tinggi protein dan rendah lemak sahaja yang diambil. Tiada pil kurus, tiada jamu kurus, tiada ubat kurus, sebab saya tahu, nak kurus tiada jalan pintas, produk-produk kurus yang ada di luar adalah sampah dan merosakkkan badan akhirnya.
Tip kurus
Sentiasa ingat bahawa tiada jalan pintas, nak kurus haruslah bersabar dan anda akan lihat perubahannya sendiri. Kecekalan dan semangat yang tinggi serta bukan olok-olok diperlukan untuk mengharungi cabaran untuk kurus, yang penting keazaman! Juga janganlah terlalu drastik tidak mengambil gula atau carbs langsung, hal ini kerana badan kita memerlukan masa sedikit untuk mengikut amalakan diet sihat kita, jika terlalu drastik badan akan terkejut dan seterusnya mengundang penyakit lain seperti gastrik dan kandungan gula dalam badan terlalu rendah menyebabkan kita tidak bertenaga dan boleh menyebabkan pitam.
Perubahan besar selepas perubahan
Saya dapati diri lebih gembira dan tidak bimbang lagi akan penyakit akibat kegemukkan seperti darah tinggi, sakit jantung, diabetis, kencing manis dan sebagainya. serta keyakinan dalam diri lebih tinggi untuk berhadapan dengan masyarakat luar yang selalu memandang rendah pada orang gemuk. Seterusnya, tahap kecergasan yang lebih baik dapat dilihat dan hal ini membuatkan kita lebih bersemangat dan ingin melakukannya dengan lebih lagi. Selain itu, saya juga turut gembira untuk membimbing dan menjadi inspirasi kepada kawan-kawan yang lain yang ingin menunrunkan berat badan.
Pantang larang
Amalkan pemakanan sihat dan kreatif yang mampu mengekalkan mood untuk makan makanan yang sihat. Jika mahu cheat boleh, tetapi jangan terlajak cheat. Sekali makan makanan manis memang sukar untuk dijauhkan semula, ambillah dalam kuantiti yang sikit dan sentiasa ingat tujuan misi untuk kurus.