Dunia fesyen dan seni sering kali bertemu di persimpangan kreativiti, dan kali ini, Converse Malaysia mengambil inisiatif untuk menjadikan persimpangan ini lebih bermakna melalui aktivasi “Creative Exploration”.
Berlangsung di bawah kempen global ‘LOVE, CHUCK’, program ini bukan sekadar satu pameran seni, tetapi satu usaha kolaboratif yang menyatukan industri fesyen, akademik, dan komuniti seni tempatan.
Dirasmikan 28 Februari lalu, Balai Seni Negara akan menjadi saksi kepada pelancaran rasmi Creative Exploration, satu kolaborasi dinamik antara Converse Malaysia, Balai Seni Negara, serta institusi pengajian tinggi ternama seperti UiTM dan MIA.
Turut hadir memberikan sokongan, ialah tetamu kehormat, YBhg. Datuk Seri Shamsul Iskandar, Setiausaha Politik Kanan YAB Perdana Menteri Malaysia. Pelancaran ini menandakan satu langkah ke hadapan dalam menyokong bakat seni muda tempatan.
Kasut Chuck Taylor bukan sekadar sepasang kasut biasa. Ia adalah kanvas kosong yang membuka peluang kepada ekspresi tanpa batasan.
Menerusi inisiatif Creative Exploration, pelajar-pelajar seni dari UiTM dan MIA akan diberi peluang untuk menjadikan kasut ikonik ini sebagai medium ekspresi seni mereka.
Hasil karya mereka bakal dipamerkan di Art Depot, Balai Seni Negara bermula 28 Februari hingga 12 April 2025. Karya-karya ini akan dipilih untuk dipamerkan di beberapa butik utama Converse sekitar Lembah Klang.
Menurut Ketua Pengajian Seni Reka dari Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, Dr. Shaliza binti Mohd Shariff, “Creative Exploration ini adalah satu contoh kegiatan yang kami raikan.
“Ia adalah satu peluang yang unik dan menarik untuk pelajar-pelajar kami mengembang sayap dan bakat mereka. Ada banyak lagi yang boleh kita terokai dan cuba melalui aktivasi-aktivasi seperti ini, dan kami berharap yang kerjasama ini tak akan berakhir di sini saja,” jelasnya lagi.
Bagi pelajar yang menyertai program ini, ia bukan sekadar satu pengalaman akademik. Mereka diberikan peluang untuk melihat bagaimana hasil seni mereka boleh diterjemahkan ke dalam dunia fesyen komersil.
Selain itu, program ini juga membuka ruang kepada mereka untuk membina jaringan dengan penggiat seni, pihak industri, dan juga institusi seni berpengaruh seperti Balai Seni Negara.
Bagi Balai Seni Negara sendiri, aktivasi seperti ini adalah peluang untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemangkin seni kontemporari Malaysia.
Dengan memberikan ruang kepada bakat muda, ia secara tidak langsung membantu membentuk ekosistem seni yang lebih berdaya saing dan inovatif.
Creative Exploration bukan sekadar projek jangka pendek. Ia dirancang sebagai satu inisiatif mampan yang dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan.
BACA: Pengasas SVG, Ashraf Anuar Gunakan Fesyen Sebagai Platform Bawa Mesej Kebebasan
Dengan kejayaan awal ini, tidak mustahil kita akan melihat lebih banyak kolaborasi seumpama ini yang memperkasakan seni kreatif tempatan dalam konteks yang lebih luas.
Bagi mereka yang berminat untuk melihat sendiri hasil kreativiti luar biasa ini, jangan lepaskan peluang untuk mengunjungi pameran Creative Exploration di Art Depot, Balai Seni Negara bermula 28 Februari hingga 12 April 2025.
Dengan gabungan seni, fesyen, dan ekspresi kreatif, pameran ini menjanjikan pengalaman yang bukan sahaja menginspirasikan tetapi juga membuka mata terhadap potensi besar bakat seni tempatan kita.
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.