CIVIC TYPE R BERLABUH DI MALAYSIA- RM320k

Share

Akhirnya penantian peminat Civic Type R Malaysia tiba ke penghujungnya apabila Honda Malaysia rasmi melancarkan model hatchback itu pada harga RM320,000 (termasuk GST, tanpai insurans).

Pasaran tempatan hanya menerima satu sahaja pilihan warna iaitu White Championship (putih).

Sejak tempahan dibuka Oktober lalu, Honda Malaysia menerima 60 unit tempahan Civic Type R walaupun harga rasmi masih belum diumumkan. Sebaik pelancaran berkenaan, operasi penghantaran akan bermula penghujung tahun ini atau seawal tahun depan.

Sebagai permulaan, Honda Malaysia memperuntukkan sebanyak 150 unit Civic Type R

buat pasaran tempatan sehingga Mac depan. Pihak Honda Malaysia akan cuba memendekkan tempoh menunggu model tersebut dengan menambah stok Civic Type R sekiranya menerima respons yang menggalakkan.

Untuk makluman, tempoh menunggu Civic Type R di Jepun selama enam bulan. Ini kerana pengeluaran Civic Type R hanya dijalankan di Kilang Honda Swindon, United Kingdom manakala bahagian enjin dihasilkan di Anna, Ohio (Honda of America Manufacturing Inc).

Dibangunkan dengan rangka badan yang lebih kukuh, Civic Type R menggunakan enjin 2.0 liter VTEC pengecas turbo. Enjin itu menghamburkan kuasa 310PS dan tork maksimum 400Nm.

Mungkin ramai yang tertanya mengapa kuasa enjin di pasaran Malaysia sedikit rendah berbanding spesifikasi enjin di Eropah.

Menurut Pembantu Ketua Projek Civic Type R Honda Motor Co. Ltd, Hideki Kakinuma, kuasa enjin Type R bergantung kepada ketersediaan kualiti minyak negara model itu dipasarkan.

 “Di Eropah tawaran minyak dengan kadar oktana yang tinggi mudah didapati dan di Malaysia Ron 98-100 tidak ditawarkan di setiap negeri di Malaysia.

“Kerana itu kami menala enjin Civic Type R di Malaysia yang sesuai dengan minyak Ron 95,” katanya.

Beliau juga menyatakan sekiranya pemilik mengisi dengan minyak oktana yang tinggi, ia tidak memberi kesan kepada prestasi enjin kerana rangkaian kuasa pasaran Malaysia dibangunkan untuk Ron 95, seperti mana pasaran Amerika Syarikat.

Buat pemandu yang kaki kirinya manja, jentera ini didatangkan dengan transmisi 6-kelajuan manual. Bahkan klac dan tukaran gearnya begitu lembut. Terima kasih kepada pihak Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) Honda menghasilkan transmisi manual yang mampu menukar gear dengan tepat.

Jelas Kakinuma, sistem berkenaan begitu pintar dan tidak akan memberi kesan kepada pengendalian.

“Sekiranya kaki anda lebih pantas berbanding sistem, ia tidak akan overbeat,” katanya.

Menurut penulis, model prestasi dari Honda ini juga tidak begitu menyiksa untuk kegunaan seharian. Honda Civic Type R ditawarkan dengan mod pemanduan  “Comfort” selain “Sport” dan “+R”

Model yang diiktiraf sebagai kenderaan pacuan roda depan (FWD) terpantas dunia dengan catatan rekod 7 minit 43.90 saat di Litar Nurburgring, Jerman itu mampu memecut daripada sifar ke 100km/j dalam tempoh 5.7 saat sahaja.

Tidak seperti VW Golf R, Ford Focus RS dan Mercedes-AMG A45 yang menggunakan sistem AWD, Civic Type R masih menggunakan pacuan FWD. Alasannya biar ringan tetapi Honda juga mengatakan ia sudah menjadi tradisi jenama berkenaan.

Sementara itu, lubang pengudaraan pada hud depan berfungsi menyejukkan intercooler yang terletak di belakangnya. Lubang pada gril  turut membantu mendinginkan enjin. 

Ventilasi pada hud enjin itu bukan sekadar aksesori tetapi ia juga membantu kestabilan Civic Type R dengan mengalirkan udara ke dalam kereta, melalui mobil dan juga ke bahagian bawah jentera. Jika diperhatikan terdapat celah di antara bampar dan lip spoiler depan bagi ruang laluan angin untuk menyejukkan brek.

Honda Civic Type R dipasangkan dengan tayar Continental SportContact 6 dan dikatakan prestasinya adalah sama dengan Michelin Pilot Sport Cup 2 yang digunakan ketika diuji di Litar Nurburing.

Hot hatchback seharusnya memiliki pengendalian yang mampan. Untuk itu, Honda Civic Type R FK8 menggunakan suspensi independent multi link di belakang dan topang dual axis di depan. Sistem suspensi berkenaan dipertingkatkan bagi menampung kuasa liar dari Civic Type R.

Civic Type R serba baharu berkenaan mengaplikasikan konsep teknologi terkini yang membolehkan ia mencipta rekod baharu bagi model produksi FWD. Pembaharuan signifikan yang dilakukan oleh Civic Type R antaranya penambahbaikan bahagian aerodinamik yang menawarkan prestasi lebih baik dan kestabilan yang cemerlang.

Ketiga-tiga mod tersebut akan menala bahagian Adaptive Damper System (ADS), Drive-by-Wire throttle (DBW), Electronic Power Steering (EPS), Vehicle Stability Assist (VSA), kawalan traksi dan sistem brek. Setiap mod pemanduan menawarkan kestabilan pengendalian dan pemanduan.

Sementara, penggunaan sistem ekzos tiga cara menawarkan rasa sporty menerusi bunyi ekzos yang garang ketika memecut. Ketika sesi pandu uji, menurut penulis ngauman ekzos lebih sedap didengar ketika di dalam kabin berbanding dari luar. Bahkan pada kelajuan medium, ekzos turut menghasilkan bunyi berkuasa manakala pada julat putaran tinggi ia mengurangkan bunyi yang tidak menyenangkan.

Pengalaman mengambil selekoh juga menjadi lebih baik menerusi rim aloi aluminium 20 inci yang direka untuk kelajuan dan pemanduan agresif. Keyakinan membrek diserahkan kepada brek Brembo berprestasi tinggi.

Masuk ke kabin, kesan sporty boleh dilihat menerusi padanan warna hitam dan merah. Posisi duduk  Civic Type R lebih rendah dan sporty bersama padanan stereng berbentuk-D. Pada bahagian transmisi tersedia nombor siri pengeluaran jentera. 

Untuk melihat dengan lebih dekat model tersebut, kunjungi reruai Honda di Malaysia Autoshow 2017, Maeps, Serdang.

 

 

Published by
webadmin