Fesyen

Cindy Crowford & Kaia Gerber, Dua Generasi Duta OMEGA

Share

Meraikan pameran Planet Omega di Amerika Syarikat (AS), peragawati fesyen legenda Cindy Crowford tampil sebagai tetamu istimewa bersama anaknya Kaia Gerber, mewakili dua generasi duta Omega.

Cindy yang menjadi duta pertama jenama jam tangan mewah itu pada 1995 telah diibaratkan sebagai sebahagian daripada keluarga Omega.

“Saya telah bersama Omega selama hampir 30 tahun. Ia adalah jenama yang sangat saya hargai, dan kami telah melalui pelbagai pengalaman yang berbeza bersama-sama selama ini,” kata Cindy.

“Pameran ini merupakan peringatan hebat tentang perjalanan Omega yang luar biasa. Saya berasa cukup bangga kerana kami telah membesar bersama, dan sentiasa dapat menyokong minat kami antara satu sama lain.”

Menjejaki langkah ibunya di pentas peragaan, Kaia Gerber membawa tenaga dan gaya kemudaannya tersendiri ke dunia fesyen.

Membesar bersama Omega, adalah wajar baginya untuk menyertai keluarga jenama itu sebagai duta pada 2017.

“Jam tangan OMEGA telah menjadi sebahagian daripada hidup saya sejak awal lagi. Saya sentiasa menyukai kualiti mereka dan reka bentuk ekspresif yang mereka cipta, serta kesan yang mereka ada selain pembuatan jam, sama ada pergi ke bulan atau menjaga masa Olimpik. Sungguh menggembirakan menjadi sebahagian daripada jenama ikonik ini,” ujar Kaia.

Kedua-dua Cindy dan Kaia menjadi panel perbincangan ketika hadir ke Planet Omega. Selain berkongsi mengenai kerjaya dan hubungan mereka bersama Omega, mereka turut mengimbau kenangan pertama mereka bersama jenama itu di Peru pada 2014.

Pameran Planet Omega dipenuhi dengan jam tangan dan kisah dari berdekad lalu. Antara yang menjadi tarikan utama termasuklah jam tangan Omega yang dipakai oleh Elvis Presley serta jam tangan Slimline Omega yang dipakai John F. Kennedy ketika Majlis Perasmian Presidennya pada 1961.

Pameran ini dibuka kepada orang ramai dari 10 hingga 19 November, dari Isnin hingga Ahad, 11 pagi hingga 7 malam, di Chelsea Factory, New York.

Pengunjung digalakkan untuk membuat tempahan awal.

Published by
Ruszaini Ruslan