Wajah Cico Harahap pernah mewarnai filem tempatan suatu ketika dahulu, namun anak kepada artis veteran Uji Rashid kini hilang sumber pendapatan akibat masalah kesihatan.
Perkara itu didedahkan penyanyi Salimey Abu Bakar yang juga sahabat baik kepada Cico Harahap.
Menerusi laporan Harian Metro, Salimey berkongsikan apa yang diluahkan Cico ketika menziarahi sahabatnya itu di Hospital Ampang.
“Cico Harahap beritahu dia tak ada sumber pendapatan sejak berdepan masalah kesihatan.
“Tiada siapa mahu mengambilnya berlakon kerana ada masalah percakapan” kongsi Salimey.
Katanya, Cico Harahap yang dirawat di hospital kerana menghidap masalah jantung hingga kakinya bengkak sudah dibenarkan pulang ke rumahnya sejak 1 Syawal lalu.
“Secara kebetulan, saya melawat keluarga mentua yang sakit di hospital sehari sebelum raya dan bertemu Cico yang turut dirawat di situ.
“Sepanjang yang saya tahu, Cico sudah lama sakit jantung dan dia dimasukkan ke hospital itu kerana kakinya bengkak.
“Cico beritahu, doktor benarkan dia pulang ke rumah di Ampang pada keesokan harinya (Rabu) untuk beraya bersama anaknya (1 Syawal),” katanya.
Salimey juga memberitahu yang Cico meluahkan perasaan sedih kerana tiada persatuan artis seperti Persatuan Seniman mahupun Persatuan Karyawan yang membantunya ketika ini.
Tambah Salimey lagi, dia juga merancang untuk membantu Cico mendapatkan bantuan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh terdekat ini.
“Pejabat Perdana Menteri memang ada slot untuk membantu artis atau seniman yang memerlukan bantuan.
Salimey memberitahu dia pernah mengusahakan bantuan sedemikian untuk Ali XPDC menerusi Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi,
Untuk Cico, Salimey masih perlu membuat semakan bagi memastikan kelayakan Cico menerima bantuan tersebut.
Sumber: Harian Metro
BACA: Impian Setinggi Angkasa, Anak Malaysia Buktikan Idea ‘Gila’ Sebenarnya Tidak Gila