Cemas Bila Duit Tak Cukup Setiap Hujung Bulan? Ini 7 Kesilapan Pengurusan Wang Yang Selalu Kita Abaikan

Share

7 KESILAPAN LAZIM PENGURUSAN KEWANGAN

 

 

-SETIAP HARI 41 ORANG PEKERJA MUDA DIISYTIHARKAN MUFLIS

-50% DARIPADA MEREKA MENDAPAT BANTUAN KEWANGAN DAN KHIDMAT KAUNSELING ADALAH BERUMUR 40 TAHUN KE BAWAH.

-LEBIH 60% DARIPADA PEKERJA MUDA TERLEBIH HUTANG.

-77% PENGGUNA MENDAPATI DIRI MEREKA LEMAH DALAM PENGURUSAN KEWANGAN.

-72% PENGGUNA TIDAK MEMPUNYAI PELAN PERSARAAN.

 

Justeru, mari kita pelajari apakah antara 7 kesilapan yang lazim dilakukan oleh masyarakat kita dalam pengurusan kewangan.

1-GAGAL MERANCANG KEWANGAN

Perancangan kewangan melibatkan persoalan mengenai masa hadapan, impian dan matlamat anda. Contohnya, membeli kereta atau rumah, berumah tangga, mendapat cahaya mata, mengumpul dana untuk kecemasan dan persaraan sehinggalah kepada wasiat. Antara langkah penting dalam proses perancangan kewangan:

-Menilai kedudukan kewangan anda sekarang

-Menetapkan matlamat

-Menyediakan pelan kewangan

-Melaksanakan pelan tersebut

-Memantau dan menilai semula

 

2-TIDAK MENAMBAH ILMU PENGURUSAN KEWANGAN PERIBADI

“Knowledge is power”. Di dalam Islam, menuntut ilmu adalah satu fardu yang wajib atas setiap Muslim. Ilmu kewangan adalah salah satu cabang ilmu yang perlu dipelajari untuk menguruskan kehidupan kita seharian dengan baik. Anda boleh membeli dan membaca buku kewangan, menghadiri kursus atau seminar kewangan dan belajar daripada yang pakar dalam bidang kewangan. Jangan lokek untuk peruntukkan masa dan wang untuk belajar ilmu kewangan.

 

3-BERBELANJA MELEBIHI KEMAMPUAN

Perkara paling asas dalam pengurusan kewangan adalah “Perbelanjaan MESTI kurang daripada Pendapatan”. Sekiranya anda berbelanja melebihi pendapatan bulanan atau kemampuan anda, anda akan terjebak di dalam perangkap hutang. Di samping desakan dan pengaruh rakan-rakan, budaya hidup mewah yang sering kali ditonjolkan di televisyen, surat khabar dan kompleks membeli-belah banyak mendorong kita untuk berbelanja melebihi kemampuan.

4-BERHUTANG MELEBIHI KEMAMPUAN

Konsep beli dahulu dan bayar kemudian antara strategi yang digunakan oleh penjual dan boleh menyebabkan pengguna terjebak dalam berhutang melebihi kemampuan. Contohnya, kemudahan kad kredit yang membolehkan kita terus berbelanja dengan bayaran minimum setiap bulan.

Sekiranya amalan ini diteruskan sehingga hutang bertimbun, anda mungkin akan muflis jika tidak mampu membayar balik hutang-hutang tersebut. Selain itu, hutang sewa beli kereta juga antara penyebab ramai di kalangan rakyat Malaysia berdepan masalah kewangan.

Berdasarkan statistik AKPK, penyebab yang mencatat peratus tertinggi ialah:

-Kelemahan pengurusan kewangan iaitu 24%

-Perbelanjaan perubatan yang mahal 23%

-Kegagalan perniagaan 15%

-Hilang kawalan dalam penggunaan kad kredit 13%

-Lain-lain (12%), hilang pekerjaan (10%), kematian ketua keluarga (2%) dan kegagalan pelaburan (1%).

 

5-TIDAK MENYIMPAN SEBAHAGIAN DARIPADA PENDAPATAN

Akibat kos sara hidup yang tinggi atau perbelanjaan bulanan yang tinggi menyebabkan ramai yang memberi alas an untuk tidak menyimpan. Anda ada 2 pilihan sama ada mengurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat atau menambahkan pendapatan bulanan dengan kerja “part-time” dan sebagainya. Jadi, anda boleh peruntukkan sebahagian daripada pendapatan untuk simpanan anda.

Adalah dicadangkan menabung sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan. Sekiranya anda mampu menyimpan lebih daripada 10 peratus, sudah tentu anda akan mempunyai lebih banyak duit untuk kegunaan di masa hadapan. Yang penting adalah disiplin dan konsisten dalam menabung setiap bulan tanpa gagal.

Antara teknik yang berkesan adalah menabung secara automatik dengan menggunakan skim potongan gaji, auto debit atau cara lain sepertinya.

 

6-TIDAK MEMPUNYAI TABUNG KECEMASAN DAN PERLINDUNGAN TAKAFUL/INSURANS

Sesungguhnya, malang itu tidak berbau. Masalah kewangan juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor luar jangka seperti masalah kesihatan, kehilangan pekerjaan, kegagalan perniagaan dan kematian ketua keluarga. Kesannya, kita mungkin hilang keupayaan untuk mencari pendapatan atau memerlukan wang yang banyak dalam masa singkat untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Kebiasaannya, tabungan kecemasan digunakan untuk menampung perbelanjaan jika  mengalami masalah kesihatan yang menelan kos yang tinggi, kerosakan kereta  atau kehilangan pekerjaan.

 

7-TIDAK MERANCANG UNTUK PERSARAAN

Persaraan memberikan kesan langsung dalam kehidupan individu kerana kehilangan sumber kewangan yang tetap. Sebelum bersara, kita perlu memastikan yang kita telah mempunyai wang yang mencukupi untuk menampung gaya hidup yang diinginkan selepas bersara.

Biasanya, kedudukan kewangan pesara kerajaan lebih stabil terutamanya kerana skim persaraan dan insentif kos rawatan berbanding pesara daripada sektor swasta. Kebanyakan pesara sektor swasta akan bergantung kepada wang tabungan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Memandangkan umur persaraan bermula pada usia 55 tahun, biasanya dana ini akan dimanfaatkan terlalu awal sedangkan beban kewangan individu pada umur sebegini masih tinggi kerana faktor seperti tanggungan yang masih belajar kerana aspek lambat berkahwin dan juga pemanjangan tempoh hayat individu.

 

Published by
Kim Rahim