Cedera Selepas Bersenam & Bersukan, Tuam Guna Ais Atau Haba Lebih Baik

Share

Pernahkah anda alami kecederaan ringan sepeti seliuh semasa atau selepas bersenam? Jangan risau kerana kecederaan itu seakan sudah lumrah dalam kegiatan atau aktiviti melibatkan fizikal.

Antara rawatan awal yang anda boleh lakukan untuk mengurangkan berlakunya bengkak lebih teruk ialah dengan tuam.

Ada orang lebih gemar memilih untuk tuam menggunakan ais. Ada juga lebih selesa menggunakan tuam haba. Persoalannya yang manakah lebih baik sama ada guna ais atau haba?

Sebenarnya kedua-dua jenis tuam memberi kesan baik kepada anda untuk pemulihan kecederaan akibat bersukan atau bersenam. Cuma anda perlu tahu bilakah untuk gunakan salah satu.

TUAM AIS

Tuam ais, atau cryotherapy sesuai untuk kecederaan akut seperti terseliuh, terkehel, otot atau tendon terlebih regang, trauma tumpul pada otot dan sebagainya.

Rawatan ini memanfaatkan reaksi pembuluh darah yang akan mengecut jika didedahkan kepada kesejukan. Reaksi ini akan menyebabkan penurunan bekalan darah dan secara tidak langsung mengurangkan reaksi keradangan. Hal ini mengekang pembentukan bengkak yang teruk.

Selain itu, tuam ais dapat menurunkan aktiviti saraf. Ini boleh memberi kesan kebas lantas mengurangkan kesakitan kepada kawasan kecederaan.

Oleh yang demikian, tempoh yang sesuai untuaman ais adalah pada awal tempoh kecederaan, iaitu sebaik sahaja kecederaan berlaku dan 3 hari berikutnya.

Cara-cara melakukan tuaman ais:

1. Letakkan ais atau pek ais ke dalam balutan tuala kecil.

2. Tuam ais pada bahagian yang tercedera selama 10 minit dan angkat tuaman 5 minit.

3. Ulang langkah 2 selama 4 kitaran.
Boleh ulang set ini 2-3 kali sehari

AWAS! – Elakkan daripada meletakkan ais secara langsung pada kulit atau tuam terlalu lama bagi mengelakkan risiko kecederaan pada kulit, tisu dan saraf.

TUAM HABA

Tuam haba, atau thermotherapy pula sesuai kecederaan kronik atau kecederaan yang melibatkan kekejangan dam sengal otot. Contoh: silap bantal dan simpul biawak.

Haba memperbaiki aliran darah ke kawasan yang di tuam dan merelakskan otot dan melegakan kesakitan kekejangan otot. Selain itu haba juga menjadikan otot lebih fleksible. Ia memberi efek yang selesa selain mempercepat proses pemulihan.

Tuam haba sesuatu dibuat pada hari ke-4 dan seterusnya selepas kecederaan.

Cara-cara lakukan tuaman haba:

1. Lembabkan tuala dengan air suam atau letakkan pek haba dalam balutan tuala.

2. Tuamkan pada bahagian yang tercedera selama 5 minit, dan berhenti seketika.

3. Ulang langkah beberapa kali sehingga kesakitan lega.

AWAS! – Elak daripada meletakkan sumber haba secara langsung pada kulit atau tuam terlalu lama bagi mengelakkan risiko kecederaan pada kulit. Tuam haba pada awal kecederaan boleh mengakibatkan bengkak yang besar.

Sumber: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

Published by
Farizul Izwany