Kalau hendak difikirkan, raya tahun ini memang seakan hilang serinya. Buat perantau khususnya mungkin inilah pertama kali dalam hidup mereka tidak boleh pulang ke kampung halaman untuk beraya bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.
Namun apa akan daya demi negara, demi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dihentikan kita semua harus berkorban.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapannya tentang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat telah pun memaklumkan bahawa sebarang perjalanan merentas negeri tidak dibenarkan termasuklah untuk pulang beraya.
Walaupun begitu, kelonggaran diberikan untuk kita melawat sanak-saudara terdekat di dalam negeri yang sama dengan syarat melakukan penjarakan sosial dan tidak lebih 20 orang.
Tapai itu tidak bermakna kita boleh berkumpul 20 orang dalam satu masa di sebuah ruang yang sempit dan berisiko. Malah mungkin ada yang mengambil ringan akan hal ini dan ingin berkunjung ke rumah kawan-kawan dengan sewenang-wenangnya.
Jika anda memiliki warga emas sebagai sebahagian daripada keluarga yang tinggal bersama, elaklah daripada menerima pengunjung. Mereka merupakan golongan yang paling berisiko sekali jika terkena jangkitan wabak merbahaya ini.
Apa yang boleh anda buat? Sesetengah orang mungkin sudah sedia maklum dan faham. Namun, ada yang mungkin tidak faham bahasa dan datang ke rumah anda untuk beraya tanpa memikirkan risiko yang dibawa bersama mereka.
MASKULIN kongsikan beberapa cara bagaimana untuk halang orang datang beraya dengan baik.
Pada zaman sekarang besar kemungkinan hampir semua kenalan anda memiliki sekurang-kurangnya satu akaun laman media sosial. Menjelang beberapa hari sebelum Hari Raya, anda boleh maklumkan di laman media sosial anda bahawa tahun ini tiada rumah terbuka. Kalau mahu lebih kreatif sampaikan dalam bentuk foto atau video.
Untuk lebih menarik katakan sahaja rumah terbuka untuk tahun ini ditunda ke tahun hadapan. Sekurang-kurangnya rakan-rakan anda boleh tahu dengan sedia maklum dan baik.
Anda juga boleh melakukan broadcast mesej menggunakan aplikasi WhatsApp. Bukan sahaja senang malah ia mampu sampai secara terus kepada semua yang tersenarai di dalam contact di dalam telefon pintar anda.
Ini cara yang paling simple tapi mungkin agak kasarlah. Anda boleh sahaja duduk di dalam rumah diam-diam dan tutup pintu. Bukan sahaja pintu malah jika ada pagar kuncikan pagar itu sekali.
Buat anda yang mungkin agak kreatif bolehlah menempah kain rentang atau banner untuk diletakkan di hadapan pintu pagar atau pintu rumah. Atau anda boleh juga tampal notis bahawa rumah terbuka tahun ini tiada atau dibatalkan.
Bermula sekarang kita harus hidup dalam kondisi norma baru. Segalanya telah berubah terutamanya dari segi kegiatan sosial harian kita. Selagi COVID-19 wujud dalam komuniti dan negara kita selagi itulah ancamannya tidak akan berakhir.
Maka anda boleh create open house secara di atas talian. Wujudkan personal event di Facebook dan invite rakan taulan untuk beraya secara online. Masing-masing boleh nikmati juadah di rumah sambil beramah mesra dan bertanya khabar menggunakan panggilan video.