Musim durian kini telah kembali dengan pelbagai jenis durian ditawarkan di pasaran. Lihat sahajalah segenap pelosok lokasi pasti ada peniaga durian menawarkan seleksi durian yang segala macam.
Walaupun harga sebiji durian yang berkualiti cukup tinggi harganya namun ia tidak menjadi penghalang kepada peminatnya untuk melepaskan ‘rindu’ yang telah lama terbungkam. Buah durian ternyata cukup istimewa di hati rakyat Malaysia.
Dengan harga yang agak tinggi pastinya anda ingin makan dengan puas hati dan dapat buah yang baik. Jadi bagaimana untuk pilih buah durian yang betul-betul elok? Ikuti beberapa tip berikut!
Durian yang berbentuk bulat dikatakan mempunyai isi yang banyak berbanding durian yang berbentuk lonjong.
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa semakin ringan buah durian, semakin banyak isi durian tersebut. Kalau ada dua biji durian yang sama saiznya, pilih yang paling ringan.
Tangkai pendek dan tebal menandakan isi yang tebal dan banyak. Perhatikan juga tangkai yang kering atau terpotong. Jangan beli durian yang tidak mempunyai tangkai.
Ketuk buah durian dan pilih durian yang berbunyi padat semasa diketuk.
Pilih durian yang berduri pendek dan jarang untuk mendapatkan isi yang padat.
Hidu durian dan cari yang berbau manis dan sedikit aura pahit.
Durian berjuring lima paling ideal untuk dapatkan isi yang banyak dan besar. Makin banyak juring, makin kecil isi durian.
Pilih durian yang belum dikopek atau tidak merekah kulitnya. Perhatikan keadaan kulit buah durian. Kalau ada tompok hitam itu tandanya isi di dalamnya buruk.
Dah siap pilih tu, minta penjual belah durian untuk merasa dan lihat sendiri isinya. Ini kerana kulit berwarna kuning tak bermakna isinya kuning juga. Jangan tertipu dengan warna durian.
Beli durian ketika musim panas atau kering. Jangan beli durian semasa musim hujan atau lembap.
Semoga perkongsian ini dapat membantu anda mendapatkan durian yang terbaik.