Salah satu kewajipan yang perlu kita langsaikan sebelum menjelangnya hari raya adalah membayar Zakat Fitrah .Zakat Fitrah ialah zakat diri yang difardhukan ke atas setiap individu lelaki dan perempuan muslim yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang ditetapkan. Ia adalah kewajipan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan yang bertujuan membersih dan menyucikan jiwa mereka yang berpuasa daripada perkara yang sia-sia.
Pada tahun 2003, Fatwa Kebangsaan Malaysia yang mazhab rasminya adalah Mazhab Syafie telah menerimapakai pendapat bahawa membayar zakat fitrah dengan nilaian wang adalah dibolehkan.
Menurut info dari Pusat Zakat Melaka, zakat seseorang sah di sisi syariat apabila berlaku dua perkara, iaitu niat berzakat dan pemindahan harta zakat.
Maka, apabila berzakat menerusi medium seperti di atas iaitu SMS atau secara internet banking, niat sudah berlaku dan pemindahan pegangan harta (wang) juga telah berlaku.
Ini diletakkan atas sandaran bahawa Islam adalah agama yang meraikan perubahan. Inilah manifestasi fleksibeliti dalam Islam. Dengan adanya teknologi dan inovasi baru ini banyak membantu kita melaksanakan ibadah agar menjadi lebih mudah, seperti dalam firmannya:
“Allah mengkehendaki kemudahan bagi kamu, dan tidak mengkehendaki kesukaran bagi kamu,” (al-Baqarah: 185).
Berikut adalah cara membuat bayaran zakat fitrah melalui Maybank2u
1. Login
2. Pilih ‘Bill Payment’
3. Klik ‘Make a one-off payment’
4. Pada bahagian ‘Category’ pilih ‘Zakat & Charity’
(Rujuk kadar zakat negeri anda: Kadar Zakat Fitrah 2018 Mengikut Negeri Di Malaysia)
5. Pilih senarai Pusat Zakat mengikut negeri yang anda duduki.
6. Pada bahagian ‘Type of zakat’, pilih ‘Zakat Fitrah’ dan masukkan jumlah nilai yang ingin dibayar.
PERLUKAH MELAFAZKAN AKAD?
Di dalam amalan berzakat, ramai juga umat Islam yang terkeliru. Adakah akad iaitu lafaz niat dan lafaz terima itu satu kewajipan? Ini kerana, zakat adalah ibadah wajib yang tidak mensyaratkan akad sebagai syarat sah.
Maka, hukum akad dalam amalan zakat adalah sunat sahaja.
نَوَيْتُ أَنْ أُخْرِجَ زَكَاةَ الْفِطْرِ عَنِّىْ وَعَنْ جَمِيْعِ مَا يَلْزَمُنِىْ نَفَقَاتُهُمْ شَرْعًا فَرْضًا ِللهِ تَعَالَى
NAWAITU AN UKHRIJA ZAKAATAL FITHRI ‘ANNII WA’AN JAMII’I MAA YALZAMUNII NAFAQOOTUHUM SYAR’AN FARDHOL LILLAAHI TA’AALAA
Sahaja aku mengeluarkan zakat atas diriku dan atas keluargaku yang diwajibkan memberi nafkah pada mereka secara syari’at, fardhu karena Allah Ta’aala.
Bacaan Doa Niat Membayar Zakat Fitrah
ALLAHUMMAJ ‘ALNAA MAGHNAMAN, WALAA TAJ’ALHAA MAGHRAMAN
Ya Allah jadikanlah ia sebagai simpanan yang menguntungkan dan jangan jadikanlah ia pemberian yang merugikan.
ADA TEKNOLOGI, TIADA ALASAN LAGI!
Dengan adanya teknologi kini, tiada alasan lagi untuk kita lewat menunaikan zakat fitrah.
Namun, bagi mereka yang terlupa menunaikan zakat fitrah sehingga terbenamnya matahari, iaitu apabila masuk hari kedua Syawal, maka dikira berdosa dan wajib mengqadakannya.
Ini bermaksud, seseorang itu masih wajib mengeluarkan juga zakat fitrah itu walau setelah luput hari pertama Syawal dan zakatnya itu pada masa tersebut dikira qada.