Cara Menjaga Rambut Panjang Dengan Betul, Barulah Tak Kusam, Kering & Bercabang

Share

Susah banyak kajian menunjukkan lelaki berambut panjang sememangnya mempunyai daya tarikan yang cukup istimewa di mata wanita.

Tahukah anda bahawa wanita lebih sensitif dan tertarik matanya kepada lelaki yang berambut panjang?

Menurut beberapa pakar mereka mendapati wanita lebih sensitif kepada lelaki berambut panjang kerana ia memberikan penampilan yang lebih menarik dan bersifat maskulin.

Kajian juga menunjukkan wanita lebih teliti memerhatikan wajah dan rambut lelaki berbanding lelaki itu sendiri. Ini mungkin berkaitan sifat feminin yang ada pada mereka lantas membuatkan lelaki berambut panjang tampil lebih menyerlah.

Maka beruntunglah anda lelaki yang memiliki rambut panjang kerana sentiasa berjaya mencuri perhatian ramai! Namun apa gunanya jika sekadar berambut panjang tetapu tidak tahu cara yang betul untuk menjaganya.

Jika anda mengabaikan cara penjagaan rambut, kelak anda akan berdepan dengan pelbagai masalah rambut.

Jadi pastikan anda sentiasa peka dengan tip-tip penjagaan rambut agar sentiasa kemas, bersih, sihat dan dijaga dengan baik.

Alert perkara ini kalau nak simpan rambut yang panjang

BIAR SESUAI

Sebelum nak menyimpan rambut, tanya diri sendiri dahulu sama ada ia sesuai ataupun tidak untuk anda. Tidak semua orang sesuai untuk membela rambut yang panjang. Selain gaya, anda juga perlu memikirkan tentang kerjaya anda. Ada sesetengah kerjaya tidak membenarkan anda berambut panjang.

KEKERAPAN SYAMPU

Jangan syampu rambut anda setiap hari. Ini kerana ia boleh membuatkan rambut menjadi semakin kering, merosakkan folikel rambut dan mengganggu pertumbuhan rambut yang sihat.

Penggunaan syampu dengan bahan sulfat yang tinggi juga perlu dielakkan kerana ia boleh menghilangkan minyak semula jadi yang ada di kulit kepala dan membuatkan rambut anda lebih bermasalah.

DIET BERNUTRISI

Pengambilan makanan yang berzat boleh membantu menggalakkan pertumbuhan rambut yang sihat sekali gus memelihara rambut.

Amalkan pemakanan dengan kandungan zat protein, vitamin C dan biotin yang boleh membantu pertumbuhan rambut dengan baik. Ambillah buah-buahan, daging, sayur-sayuran, ikan, kekacang, tauhu dan sebagainya yang boleh membantu dalam menggalakkan pertumbuhan rambut.

WAJIB GUNA PERAPI

Jika anda miliki rambut yang panjang, menjadi kemestian untuk anda menggunakan perapi rambut agar mudah untuk diuruskan.

Kandungan perapi rambut ini penting kerana ia dapat membantu menjaga hujung rambut agar tidak kusut dan bercabang. Selain itu perapi juga bolehmenjadi pengganti minyak semula jadi untuk melembapkan rambut.

CARA KERINGKAN RAMBUT

Selesai sahaja mencuci rambut, lapkan lebihan air yang membasahi rambut anda secara perlahan menggunakan tuala kering.

Kemudian biarkan rambut anda kering dengan sendiri. Jangan gosok rambut anda dengan kuat kerana ia boleh menyebabkan rambut rosak, mudah patah dan kusut.

TRIM DARI SEMASA KE SEMASA

Trim atau buang hujung rambut yang rosak dan bercabang merupakan cara terbaik untuk mengekalkan kesihatan rambut. Tidak semestinya perlu ke salun kerana anda boleh mengguntingnya sendiri. Memotong hujung rambut secara teratur akan membantu pertumbuhan rambut menjadi lebih baik.

VITAMIN RAMBUT

Rambut panjang lebih berisiko besar mengalami masalah rambut kusam dan rapuh. Untuk menjaganya agar akar rambut tetap kuat dan sihat, gunakan vitamin rambut agar nutrisinya tetap terjaga.

Vitamin ini boleh anda ambil sama ada dalam bentuk suplemen yang diminum, dioles pada rambut ataupun menggunakan minyak semula jadi seperti minyak zaitun atau minyak kelapa.

MINUM AIR MENCUKUPI

Sama seperti kulit pada tubuh badan, kulit kepala juga boleh mengalami kekeringan. Jadi minumlah air dalam anggaran satu setengah liter hingga dua liter sehari. Selain untuk keperluan tubuh badan, air juga diperlukan untuk pertumbuhan rambut yang sihat.

JANGAN IKAT KUAT

Masalah traction alopecia iaitu kehilangan rambut akibat akar rambut yang tertarik boleh berlaku ketika anda mengikat rambut dengan getah yang kuat. Akhirnya rambut akan mengalami keguguran yang banyak sehingga lama-kelamaan menjadi nipis dan botak.

LAKUKAN SENAMAN KARDIO

Oksigen berfungsi dalam membantu sel berkembang dan membuatkan tubuh badan lebih sihat. Senaman kardio seperti berlari, berjoging, berbasikal dan sebagainya dapat membantu menjadikan pertumbuhan rambut lebih sihat.

TIDUR SECUKUPNYA

Keperluan tidur yang secukupnya juga boleh mempengaruhi kesihatan rambut. Ketika tidur, tubuh badan mengalami proses perbaikan secara semula jadi.

Tidur yang teratur anggaran tujuh hingga lapan jam sehari boleh membuatkan sel kulit kepala anda menjadi lebih aktif. Selain itu, tidur juga dapat meningkatkan pengedaran darah di sekitar folikel rambut sehingga membantu rambut anda tumbuh lebih lebat dan sihat.

Subscribe dan tonton video Fitness di Youtube MASKULIN!

Published by
Farizul Izwany Ibrahim