Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2011, jangka hayat penduduk Malaysia dianggarkan selama 72.0 tahun untuk lelaki dan 77.1 tahun untuk perempuan.
Oleh sebab jangka hayat manusia yang semakin meningkat, persoalan yang mungkin timbul ialah adakah wang yang dikumpulkan untuk tujuan persaraan atau pencen mencukupi untuk menampung tahap kualiti kehidupan yang diinginkan, ditambah pula dengan meningkatnya kos perubatan serta sara hidup.
Oleh itu, sama ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 tahun atau lebih awal lagi, apa yang penting adalah anda perlu melengkapkan diri dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan yang memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.
Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk bersara? Soalan ini kerap bermain dalam fikiran orang ramai apabila membincangkan isu persaraan. Namun, tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ia banyak bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap
kesihatan dan juga keadaan seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri anda dari segi kewangan sebelum bersara:
1: Tetapkan keperluan kewangan anda
Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menilai keperluan kewangan anda. Setelah bersara, perbelanjaan seperti pakaian ke pejabat, kos
pengangkutan / perjalanan ke tempat kerja, makanan dan sebagainya sudah tiada lagi. Walau bagaimanapun, perbelanjaan lain seperti kos perubatan, insurans dan lain-lain lagi mungkin akan meningkat.
Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara itu dianggarkan dalam lingkungan 75% hingga 80% keperluannya ketika masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan yang sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda, seperti kos pendidikan anak-anak dan pembayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung.
Selain perbelanjaan tetap yang dikenakan, anda juga perlu mengambil kira jika terdapat kemungkinan gaya hidup anda akan berubah. Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi-hobi lain yang melibatkan wang, anda perlu mengambil kira kos-kos ini ketika membuat perancangan persaraan.
2: Menilai status semasa
Setelah menetapkan keperluan kewangan, langkah seterusnya ialah menilai kedudukan kewangan semasa dan membuat pelan untuk menampung
keperluan persaraan kelak. Di sini, anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga semua komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja,
anggarkan jumlah wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pencen yang bakal anda terima.
3: Mengira wang yang diperlukan
Setelah selesai mengumpulkan semua maklumat di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun mana-mana laman web yang menyiarkan artikel-artikel mengenai perancangan persaraan yang boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri daripada segi kewangan sebelum bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau tidak
untuk memenuhi keperluan persaraan kelak.
Jika jawapannya tidak, sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (lebih kurang RM4,000 sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana pulangan sebanyak 7% setiap tahun. Oleh itu, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000 / 0.07) dalam simpanannya untuk menampung perbelanjaan persaraannya.
4: Berdisiplin dalam merancang kewangan
Untuk mengekalkan kuasa beli wang anda, pastikan ia berkembang sekurang-kurangnya pada kadar yang sama dengan kadar inflasi untuk mengimbangi kesan negatif inflasi. Ini berdasarkan kepada andaian bahawa anda ingin mengekalkan wang simpanan persaraan sepanjang hidup dan menyimpan amaun prinsipal untuk anak-anak anda. Sebaliknya, jika anda tidak keberatan untuk membelanjakan wang persaraan anda, jumlah wang yang diperlukan pastinya lebih
kecil.
Namun, dalam masa yang sama, berhati-hati dalam merancang kewangan anda. Elakkan daripada membuat pengeluaran wang sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda. Di samping itu juga, anda mungkin mahu mengambil kira kesan kuasa pengkompaunan kerana lebih awal anda memulakan pelan simpanan persaraan, maka lebih mudahlah anda mencapai matlamat kewangan yang ditetapkan.
Setelah menetapkan jumlah wang yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk
memberikan komitmen penuh kepada jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara yang sepatutnya. Semakin hampir kepada umur persaraan, maka semakin rendahlah risiko yang perlu diambil. Oleh itu, elakkan daripada mengambil risiko yang tinggi hanya kerana anda kini dalam peringkat pertengahan
umur dan baru mula untuk merancang wang yang diperlukan.