Butterfingers: Transcendence 20th Anniversary Bawa Peminat Menelusuri Nostalgia Perjalanan Muzik Mereka

319

Sejujurnya status legenda itu bukanlah satu istilah yang cukup mudah untuk kita labelkan kepada mana-mana individu atau grup.

Untuk berada pada tahap itu mereka harus mencapai sesuatu yang sangat signifikan dalam karier serta kerjaya seni. Atau apa yang mereka lakukan sepanjang penglibatan dalam bidang masing-masing mempunyai pengaruh yang sangat besar.

Bagi peminat muzik berkugiran di Malaysia nama Butterfingers sukar untuk kita ketepikan bila membicarakan tentang scene muzik tempatan.

Sejujurnya sukar untuk kita mencari mana-mana individu yang mengikuti perkembangan muzik bawah tanah atau independent sekitar tahun 90-an dan awal 2000-an tidak kenal dengan Butterfingers.

Pengaruh luar biasa mereka dapat kita saksikan dengan sambutan luar biasa menerusi konsert mereka yang berlangsung pada Sabtu lalu di Stadium Malawati di Shah Alam.

Konsert cukup hebat diperkatakan di laman media sosial sejak ia diumumkan ini mengumpulkan kembali ribuan peminat Butterfingers sama ada yang lama atau baru.

Butterfingers: Trancendence 20th Anniversary Concert merupakan hadiah terbesar daripada mereka kepada peminat serta penyokong mereka yang sudah lama menantikan konsert seperti ini.

Kira-kira lapan ribu penonton memenuhi segenap ruang Stadium Malawati. Menariknya manjoriti penonton datang dari demografik berusia 25 tahun ke atas. Ia bukanlah satu perkara menghairankan memandangkan ramai peminat Butterfingers muncul pada era tersebut.

Dan menarik juga Butterfingers hanya memilih untuk mempersembahkan lagu-lagu dari tiga album terawal mereka iaitu ‘Trancesdence’, Butterworth Pushful’ dan ‘1.2 Miligrams’.

Kira-kira jam 8:30 malam, Emmet, Loque, Kadak dan Loco muncul mengambil tempat masing-masing. Mereka membuka pentas dengan lagu ‘The Chemistry (Between Us)’.

Segmen pertama dibuka dengan deretan lagu-lagu daripada ‘Trancendence’ yang lain seperti ‘Epitome’, ‘Meltdown’, ‘Mermaid’, ‘Faculty of Mind’ dan ‘Mystery’. Kerinduan peminat mereka yang turut dikenali dengan nama Royal Butters jelas terubat. Hampir setiap lagu disampaikan dinyanyikan bersama.

Namun kemuncak persembahan Butterfingers pada malam tersebut muncul menerusi segmen lagu-lagu dari ‘Butterworth Pushful’. Tidak salah jika MASKULIN katakan inilah album yang paling popular dan memberikan impak besar dalam memori peminat mereka.

Lagu-lagu seperti ‘Girls Friday’ dan ‘Stolen’ merupakan anthem yang mempunyai makna cukup besar buat peminat Butterfingers. Ketika ini jugalah kita dapat lihat moshpit mula terbentuk. Dan sejujurnya bukan selalu boleh kita lihat ‘brother-brother’ berusia 30-an turut ambil bahagian dalam moshpit!

Tetapi agak malang apabila Kadak tidak dapat meneruskan persembahan seterusnya yang menampilkan lagu-lagu dari album ‘1.2 miligrams’. Kondisi kesihatan Kadak yang dilaporkan sesak nafas menyebabkan Emmet dan Loque sahaja meneruskan persembahan.

Sejujurnya inilah konsert band tempatan yang mendapat sambutan cukup hebat. Akan tetapi masih ada banyak ruang untuk memperbaiki segala kelemahan di masa akan datang. Semoga Butterfingers terus sukses!

Foto: Shafiq Shahar