Seorang lelaki maskulin harus bertubuh sasa dan berkarisma. Dia bertanggungjawab dalam menguruskan kehidupan harian. Tidak membuang masa, juga mempunyai tujuan hidup dan fokus untuk diri sendiri supaya cergas dari segala aspek. Diri harus percaya dan yakin akan keupayaan diri.
Bila bermula
Sebelum 2013, saya seorang yang sangat kurus. Bayangkan, berat badan saya hanya 45 kilogram. Jadi, saya mahu berubah ke arah yang lebih baik ataupun dalam erti kata yang lain, lebih berisi. Saya berazam untuk mengubah pandangan orang dan memberi orang-orang yang senasib dengan saya satu inspirasi bahawa badan yang kurus juga mampu untuk mengangkat berat dan melakukan aktiviti kecergasan.
Erti kecergasan
Kecergasan memerlukan minda kelas pertama. Ia menjadikan seseorang itu ingin berubah ke arah yang lebih baik dan sihat. Ia mengajar kita agar tidak mudah berputus asa. Yakin dan percaya sehingga boleh jatuh cinta pada diri sendiri. Kecergasan itu adalah nilai disiplin yang tinggi, merangkumi semua aspek seperti masa, pemakanan, kehidupan dan rehat yang secukupnya.
Kecergasan mengubah kondisi badan saya secara ketara. Sama ada dari sudut rohani mahupun fizikal. Saya lebih yakin dengan diri saya yang sekarang. Saya tidak lagi membuang masa kerana disiplin mengajar saya untuk terus fokus ketika melakukan aktiviti-aktiviti kecergasan.
Rutin harian
Setiap pagi sebelum mandi, saya akan lakukan push up sebanyak 300 kali maksimum. Sarapan pula, lima biji telur bersama susu protein dan Nescafe. Berkenaan pemakanan pula, saya akan memakan lima hidangan sehari dengan pengambilan susu protein sebanyak tiga kali sehari. Pada malam hari, saya akan ke gimnasium untuk melakukan rejim kecergasan saya. Paling minimum, saya akan meluangkan masa selama satu jam di situ. Selepas itu, saya akan pulang ke rumah untuk mendapatkan rehat yang secukupnya.
Pencapaian
Wakil Malaysia dalam bidang peragaan badan. Saya mewakili Malaysia sebagai Mr Malaysia sebanyak dua kali pada tahun 2015 di Indonesia dan Filipina. Di Indonesia, saya memenangi johan kategori ‘Sukan’ dan tempat kedua kategori ‘Public Speaking’.
Di Filipina pula, saya naib juara daripada 27 buah negara. Saya memenangi empat gelaran dari lima gelaran yang dipertandingkan iaitu best ‘Beach Wear’, ‘Best Suit’, ‘Best Swimwear’ dan yang paling saya bangga hasil usaha keras saya selama dua tahun, ‘Best Body Physic’.
Inspirasi
Bapa saya, Tony Suaib. Tanpa beliau, saya tidak wujud. Dia seorang yang tidak pernah kenal putus asa dan sifat itu mengajar saya supaya kekal berdisiplin dan fokus untuk berjaya. Yang kedua, bapa angkat saya, Dato’ Mahadzir Lokman. Dia tidak pernah jemu memupuk dan menasihati saya untuk terus berjaya.
Tip kecergasan untuk bapa baru
Bersenamlah di rumah atau pun mengubah waktu bersenam pada siang hari supaya boleh meluangkan masa pada waktu malam bersama keluarga. Mencari pusat senaman yang berdekatan dengan rumah, kita tidak tahu jika tiba-tiba berlaku kecemasan di rumah. Pemakanan seimbang harus selari dengan aktiviti kecergasan untuk tubuh badan yang ideal.
Perancangan
Membuka sebuah gimnasium yang berkonsep, ‘Sport, Fitness & Cafe’, di mana ia menyediakan kemudahan seperti gimnasium, futsal, badminton dan cafe (hidangan sihat) di bawah satu bumbung. Saya harap ia menjadi rumah kedua kepada semua pengamal kecergasan dan sukan di luar sana. Harapan saya supaya saya dapat menjadi inspirasi kepada golongan belia untuk berjaya dalam arena kecergasan ini. Stay believe, stay humble, stay positive and stay focus !