“Bila lagi aku nak timang cucu ini. Entah-entah sampai matilah aku tak dapat tengok kau naik pelamin,” keluh seorang ibu kepada anak lelakinya yang sudah mencecah usia 30 tahun tapi masih membujang.
Senario itu acap kali menghantui kebanyakan lelaki terutamanya mereka yang dibesarkan di luar bandar. Mentaliti dan ideologi seorang ibu dan ayah sudah tentu ingin melihat anak teruna berkahwin seterusnya memiliki keluarga sendiri tanpa memikirkan kesan dan aspek lain. Bukan menuding permintaan orang tua itu salah kerana inginkan anaknya segera berkahwin apabila usia melewati 30-an, tapi hakikatnya mereka melihat hidup berkeluarga, memiliki isteri dan anak sebagai keperluan hidup yang sepatutnya diambil serius.
Realitinya, anak muda hari ini terutamanya lelaki tidak melihat berkahwin sebagai satu tuntutan kerana terlalu banyak perkara lain harus difikirkan terlebih dulu. Tapi dilema ini bagai sudah sinonim dengan mereka, menerima desakan keluarga untuk berkahwin.
Mengapa ramai lelaki belum bersedia untuk berkahwin? Persoalan itu sudah banyak kali dibincangkan baik menerusi media massa mahupun sembang kedai kopi. Mengikut statistik negara, memang terbukti masih ramai lelaki yang bekerja di bandar atau memiliki kerjaya yang baik, lewat membuat keputusan untuk mendirikan rumah tangga.
Fakta diperkukuhkan lagi dengan data bancian oleh Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang menyatakan perangkaan lelaki dan wanita bujang pada tahun 2002 adalah 3.1 juta dan 2.4 juta. Sementara pada 2004, peratusan lelaki bujang sebanyak 59.6, manakala wanita bujang sebanyak 40.4 peratus.
Jika dulu ramai mengatakan status ‘andartu’ atau anak dara tua lebih ramai berbanding ‘lelaki lanjut usia’, namun semuanya sudah berubah kerana lelaki pula yang sukar membuat keputusan berkahwin pada usia muda.
Senario membabitkan golongan wanita berkahwin lewat bersandar pada alasan dan punca mudah. Wanita sering kali mengatakan kesukaran mendapat pasangan sepadan atau masalah terlalu memilih sebagai alasan mereka lambat berkahwin. Malah melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu membantu keluarga, berjawatan profesional atau mementingkan kerjaya juga masalah peribadi adalah jawapan paling selamat bagi mengelakkan diri dikatakan ‘tidak laku’. Tapi itu wanita.
Lupakan seketika si andartu kerana fokus utama kita kini adalah golongan Adam dan sedar atau tidak, bilangan lelaki berkahwin lewat usia juga makin meningkat hari demi hari.
Puncanya mudah, berdasarkan tinjauan dilakukan, pelbagai sebab diberikan sekali gus mempengaruhi diri seseorang lelaki itu untuk terus membujang atau lewat berkahwin kerana terlalu sibuk dengan pekerjaan, menganggap diri tidak bersedia dari segi mental atau fizikal, takut atau bimbang rumah tangga tidak bahagia dan meragui kemampuan seksual sendiri.
Selain itu, tiada nafsu terhadap wanita, melalui pengalaman pahit ketika bercinta, mahu bebas dan suka hidup sendiri, tidak mahu mengecewakan pasangan serta hantaran kahwin tinggi juga antara sebab mereka mengelak untuk menggenggam tanggungjawab itu.
Lelaki lebih beremosi berbanding perempuan apabila bercerita soal putus cinta. Kebanyakan lelaki yang mengamalkan hubungan sejenis adalah mereka yang kecewa kerana dipermainkan wanita sebelumnya dan itu antara sebab ramai lelaki tidak kisah soal kahwin.
Lihat secara rambang kehidupan di bandar, lelaki lebih terdedah dengan kehidupan bebas yang mana tiada komitmen atau ikatan. Kahwin bukan lagi lesen untuk seseorang lelaki melakukan seks kerana aspek itu sudah banyak ditawarkan tanpa perlu sijil nikah.
Seks bukan lagi faktor untuk seseorang itu mengambil keputusan berkahwin sebaliknya ramai anak muda hari ini sudah pun mengikut budaya Barat yang menolak konsep perkahwinan serta menghalalkan hubungan bebas, sekali gus menyebabkan akidah tergelincir sehingga meningkatkan kes masalah sosial masyarakat.
Bagaimanapun lelaki yang berkahwin lewat kebanyakannya lebih mementingkan kerjaya dan tidak langsung bimbang soal memiliki keluarga. Ada juga berpendapat berkahwin akan lebih menambahkan masalah saja.
Dalam perspektif Islam, perkahwinan adalah perjanjian antara lelaki dengan wanita sebagai satu ikatan sah dan bersih dengan tujuan mengembang dan memanjangkan zuriat. Walau apapun pandangan mengenai isu kahwin lewat, ia perlu bersandarkan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.
Alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lewat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada usaha untuk mencari pasangan. Setiap manusia sudah ditetapkan jodoh dan kita perlu berusaha mencarinya. Faktor kesibukan bekerja, sukar mencari pasangan atau berpendidikan tinggi juga tidak boleh dijadikan alasan. Dalam satu hadis ada menyebut, ibu bapa hendaklah mengahwinkan anak mereka apabila sudah layak mendirikan rumah tangga. Jadi dalam hal ini setiap orang perlu berusaha mencari jodoh malah orang yang berkahwin awal boleh diibaratkan seperti menunaikan separuh daripada iman.
Jika tidak menemui jodoh, pergi berjumpa orang alim seperti tok guru, imam atau ulama untuk meminta panduan dan nasihat. Seseorang itu tidak boleh menunggu atau mencari pasangan mereka di sekeliling saja kerana soal mencari jodoh tidak terhad kepada orang Melayu sebaliknya boleh mencari warga asing asalkan Islam.
Malah dalam satu laporan akhbar ada menyebut yang mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan perkahwinan sangat tidak digalakkan dalam Islam.
Katanya, Nabi Muhammad pernah bersabda: “Wahai pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah berkahwin”. Itu menunjukkan perkahwinan amat ditekankan Islam malah ada ayat al-Quran meminta wali atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap seseorang wanita mengahwinkan jagaannya.
Islam melihat perkahwinan sebagai keperluan dan ibadat. Ia penting untuk melahirkan generasi baru.
10 sebab mengapa lelaki membujang
1. Tidak ada nafsu terhadap perempuan.
2. Ada pengalaman pahit dalam bercinta.
3. Dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda.
4. Terlalu mencintai seseorang dan apabila cinta itu tidak
kesampaian, terus hilang selera untuk berumahtangga.
5. Takut tidak bahagia bila berumah tangga nanti.
6. Meragui kemampuan seksualiti sendiri.
7. Merasakan lebih bebas dan senang hidup sendiri.
8. Terlalu sibuk dengan pelajaran atau pekerjaan.
9. Bimbang tidak dapat membahagiakan isteri dan takut
mendapat anak cacat atau tidak cemerlang sebagaimana dirinya.
10. Sentiasa merasa tidak bersedia dari segi kemampuan material
dan takut pasangan kecewa tidak dapat apa yang mereka
inginkan.