Buasir, Usus Besar Terjojol, Lelaki Jangan Anggap Itu Perkara Biasa!

Share

Sanggupkah anda membuat pendedahan atau bercerita secara terbuka mengenai pengalaman berdepan buasir. Kalau boleh, rahsia itu dikunci rapat dan tiada siapa perlu tahu kerana ia berlaku di bahagian sulit. Hakikatnya, ia penyakit yang tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa usaha merawat. Sesiapa pun boleh terdedah kepada buasir atau hemorroids. Penyakit ini terjadi apabila urat di bahagian rektum (bahagian akhir usus besar) dan dubur membengkak. Salur darah lembut dan otot di sekitar dubur membantu mengawal laluan najis. Apabila urat di bahagian itu membengkak, berlaku pendarahan rektum, sakit dan perit ketika buang air besar. Tekanan yang terlalu tinggi dalam darah di bahagian rektum boleh menyebabkan dinding dubur tertonjol keluar, terutama ketika meneran. Bagaimanapun, buasir tiada kaitan dengan kanser dan bukan penyebab penyakit itu. 

 

Punca buasir

  • Duduk untuk jangka masa lama.
  • Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
  • Cirit-birit.
  • Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama.
  • Batuk yang teruk.
  • Bersalin.
  • Mengangkat berat.
  • Pengamalan seks melalui dubur oleh golongan heteroseksual dan homoseksual.

 

Tahap buasir

1. Pendarahan.

2.Dinding dubur terkeluar dan masuk kembali dengan sendirinya.

3.Dinding dubur terkeluar dan pesakit perlu menolaknya ke dalam untuk memasukkannya semula ke dalam dubur.

4.Dinding dubur terjulur keluar dan tidak boleh dimasukkan semula ke dalam dubur.

Pengurusan sendiri

1.Banyak minum air, sekurang-kurangnya 1.5 hingga dua liter sehari

2.Makan makanan seimbang. Banyakkan memakan makanan tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.

3. Gunakan tandas pada masa ditetapkan seperti selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.

4.Elak memakan makanan yang boleh menyebabkan gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol) atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).

5.Apabila wujud gejala tertentu (seperti darah dalam najis, sakit atau gangguan pada dubur), segera berjumpa doktor.

 

Ramai mengambil sikap berdiam diri hingga menyebabkan ia semakin melarat. Akibatnya, pesakit lebih menderita apabila buasir tidak dirawat bertambah teruk. Sebab utama buasir ialah meneran ketika buang air besar dan sembelit. Masalah ini juga sering dialami wanita hamil disebabkan tekanan yang berlaku di abdomen. Tekanan tinggi pada perut yang meningkatkan kes buasir turut berpunca daripada obesiti, duduk terlalu lama ketika bekerja (misalnya yang bekerja di pejabat dan pemandu bas atau teksi) atau individu yang mengalami sembelit atau cirit-birit kronik.  Gejala buasir ialah usus terbonjol atau terkeluar dari dubur, pendarahan rektum, sakit di dubur dan kerengsaan dubur. Buasir dalaman lazimnya tidak menyebabkan sakit dan gatal kerana ia terletak jauh ke dalam rektum.

Buasir jenis ini tidak berbahaya tetapi meneran dan gangguan dari laluan najis ketika buang air besar boleh mencederakan permukaan buasir dan menyebabkannya berdarah. Pesakit boleh nampak titisan darah berwarna merah cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan ini berlaku, pesakit perlu mendapat bantuan perubatan kerana dikhuatiri darah terbabit datang dari sumber lain seperti ketumbuhan atau kanser usus besar. 

Buasir luaran yang terjojol keluar dari dubur sering menyebabkan gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur. Jika buasir tersepit, pembekuan darah akan berlaku di dalamnya, menyebabkan ia terasa sakit. Gejala berkenaan menyebabkan buasir jenis ini memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Buasir jenis ini sukar dibuang atau ditanggalkan sepenuhnya dan akan berulang walaupun dengan tekanan atau bebanan lebih ringan berbanding yang berlaku sebelumnya.

Bergerak-gerak di kerusi supaya dapat mengelakkan tekanan langsung dari rektum. Hembus nafas keluar apabila anda mengalami ketegangan atau ketika mengangkat sesuatu, jangan menahan nafas. Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk, cirit-birit dan sembelit kerana buasir selalunya terjadi selepas masalah ini berlarutan. Di samping itu, elakkan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas sebagai amalan kerana ia membuatkan anda duduk lama di tandas. Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih tiga hingga lima minit, ada sesuatu yang tidak kena. Untuk menghindari buasir, amalkan tabiat buang air besar yang baik dan pastikan najis anda sentiasa lembut. 

Rawatan

Langkah pertama ialah menghentikan gejala atau simptom iaitu sakit, pedih dan gatal, manakala berikutnya ialah mengecutkan buasir.

-Pengidap buasir perlu mengamalkan diet berserat tinggi dengan pengambilan sayuran dan buahan dan banyakkan minum air kosong anggaran dua liter sehari. 

-Pengambilan makanan berserat tinggi, makanan tambahan dan mempunyai kandungan cecair tinggi dapat mengatasi 90 peratus kes buasir. 

-Gejala sakit dan kerengsaan boleh dilegakan dengan penggunaan sapuan krim tertentu. Ia disediakan dengan kombinasi beberapa ubat tahan sakit dan agen antikerengsaan serta steroid. 

-Mandian air panas dengan memasukkan satu atau dua sudu air garam boleh melegakan kesakitan dan bengkak pada dubur. 

-Buasir yang tidak dapat disembuhkan dengan rawatan konservatif, dirawat dengan mengikatnya dengan lingkaran getah (rubber band ligation).
-Satu atau dua lingkaran getah diikat di sekeliling pangkal buasir. Ini akan menyekat peredaran darah ke buasir berkenaan. Dalam masa tujuh hingga 10 hari, buasir itu akan tertanggal keluar.
-Ikatan lingkaran getah ini hanya digunakan untuk buasir dalaman dan ia dilakukan tanpa menggunakan ubat bius dan tidak menimbulkan kesakitan. Namun, pesakit mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan untuk beberapa hari.

-Koagulasi Inframerah iaitu sinaran inframerah dipancarkan selama satu atau dua saat untuk menghentikan bekalan darah ke buasir. Pesakit mungkin terasa bahang panas ketika prosedur ini dilakukan dan berlaku sedikit pendarahan dalam beberapa hari selepas itu. 

-Prosedur ini sama seperti ikatan lingkaran getah, dan dilakukan hanya untuk buasir dalaman. Namun ia lebih cepat dan kurang menyebabkan jangkitan. 

-Elektrokoagulasi bipolar yang juga dikenali dengan nama Bicap adalah sama seperti prosedur Koagulasi Inframerah dan ia mempunyai kebaikan dan keburukan sama. 

T-erapi laser akan mengewapkan tisu buasir. Bagaimanapun, prosedur ini lebih mahal dan tidak menunjukkan kelebihan daripada prosedur lain. Ia perlu dijalankan dengan berhati-hati daripada segi kedalaman dan lokasinya bagi mengelak pendarahan dan kesakitan pesakit. 

Published by
Kim Rahim