Dwayne Johnson, yang terkenal dengan imejnya yang gagah dan berani, baru-baru ini berkongsi satu pengalaman menarik yang berlaku semasa penggambaran filem aksi terbaru beliau, Red One.
Dwayne Johnson mengakui bahawa dia pernah terpaksa kencing dalam botol ketika berada di set penggambaran demi memastikan filem aksi tersebut tidak terhenti.
Tabiat Luar Biasa Demi Kelancaran Penggambaran
Dalam satu video yang dirakam untuk GQ, aktor berusia 52 tahun itu sendiri mengakui perkara tersebut dan berkata, “Saya kencing dalam botol, ya, itu memang berlaku.”
Foto : ABC News
Cerita mengenai kelakuan Johnson semasa penggambaran filem Red One mula tular di media sosial selepas laporan dari The Wrap pada bulan April, yang mendakwa pelakon tersebut sering terlambat ke set sehingga lapan jam dan terlepas beberapa hari penggambaran.
Laporan itu juga mengatakan kelewatan tersebut menyebabkan pembaziran bajet sekitar US$50 juta daripada bajet keseluruhan filem yang berjumlah US$250 juta.
Ads
Walaupun Johnson mengakui bahawa dia kadang-kadang lewat, dia menegaskan ia tidak pernah sampai lapan jam dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai “cerita karut”.
Beliau menjelaskan, “Ya, itu memang berlaku. Tapi bukan sebanyak itu. Itu jumlah yang gila. Sungguh melampau. Mengarut.”
Chris Evans, rakan pelakon Johnson dalam Red One, berkata bahawa pelakon tersebut kadang-kadang lewat kerana sesi latihan pagi, tetapi menegaskan bahawa pasukan produksi selalu diberitahu lebih awal mengenai sebarang kemungkinan kelewatan.
Ads
Foto : The Independent
Evans, yang juga bintang Captain America, menjelaskan: “Semua pihak seperti penerbit, pengarah, dan pasukannya sudah tahu tentang perkara ini.”
“Ini bukanlah dia lewat tanpa diberitahu. Saya tidak akan kata dia terlambat, dia hanya datang sedikit lewat pada pagi tertentu, dan itu sudah termasuk dalam jadual.” – katanya.
“Berbanding dengan pengalaman saya di penggambaran filem lain, di mana ada pelakon yang tidak peka dengan masa dan usaha orang lain, malah sukar dijangka, Dwayne bukan begitu. Saya rasa semua orang tahu apa yang Dwayne akan buat dan bila dia akan buat.” – katanya lagi.
Ads
Pengarah filem Red One, Jake Kasdan turut mengakui bahawa Johnson kadang-kadang terlambat, tetapi menegaskan bahawa pelakon tersebut tak pernah terlepas satu hari kerja pun.
Sumber : Others/Bang Showbiz/hq
Jangan lupa subscribe atau follow YouTube dan TikTok MASKULIN untuk seleksi video menarik seperti di bawah.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Kepada penggemar setia Sushi, pasti anda tahu bagaimana untuk menikmati hidangan Sushi kan? Namun ada beberapa fakta menarik yang mungkin anda terlepas pandang akan makanan yang berasal dari Negara Jepun ini.
Sihat dah Berkhasiat
Tahukah anda bahawa Sushi mempunyai Kalori yang rendah? Ia bukan sahaja enak, dan berwarna-warni, malah boleh dikatakan sebagai makanan yang paling sihat dan berkhasiat. Sushi mengandungi pelbagai mineral dan serat; ikan mentah pula mengandungi DHA dan EPA yang tinggi dan baik untuk otak!
Aneka Pilihan
Sushi menawarkan rasa dan tekstur yang kaya kerana ia terdiri daripada pelbagai makanan laut. Kombinasi makanan laut tidak terhad dan boleh digandingkan mengikut imaginasi dan kreativiti chef sushi.
Kurangkan Kepedasan Wasabi
Kebanyakan orang suka menikmati sushi dengan sedikit wasabi. Apabila kepedasan wasabi melampau sehingga lidah terasa panas, tutup mulut dan bernafas melalui hidung untuk meredakan rasa pedas yang dialami. Sekiranya anda membuka mulut, kepedasan akan kekal dirasai dalam mulut sahaja. Cubalah!
Halia Merah
Tahukah anda halia merah boleh membangkitkan deria rasa kita apabila menikmati sushi?
Halia merah boleh membersihkan tunas rasa untuk mencegah rasa ikan yang berlainan daripada mengganggu sensitiviti lidah agar kita betul-betul dapat menikmati kepelbagaian dan keenakan sushi!
Mencelup Sushi Dalam Kicap?
a. Kepit sushi dan hanya celup nasi dalam kicap agar tidak menutup rasa ikan yang segar.
b. Kepit sushi, terbalikkannya untuk mencelup bahagian ikan dengan sedikit kicap bagi menyerlahkan rasanya.
Menarik tak Fakta ni? lepas ni kalau Girlfriend ajak dating makan Sushi, anda dah ada knowledge pasal SUSHI!
*Sumber dari Empire Sushi
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
PERNAH ATAU TIDAK ANDA LIHAT GAMBAR LAMA ADA SEWAKTU USIA 20-AN, MESTI ADA PERUBAHAN BESAR PADA FIZIKAL YANG BOLEH ANDA KESAN. JANGAN RISAU KERANA SEMUA ORANG AKAN TUA, TETAPI APA DIA 5 TANDA MENUNJUKKAN ANDA MEMANG BETUL-BETUL DAN MENJENGAH USIA 30-AN
RAMBUT MULA GUGUR
Mungkin beberapa dari anda berpendapat keguguran merupakan masalah kosmetik dan tidak ada hubungannya dengan kesihatan. Tetapi, tahukah anda bahawa kebanyakan lelaki di akhir usia 20-an mengalami masalah emosi kerana masalah ini, mereka tidak bersedia dengan keguguran dan mengalami krisis percaya diri kerananya. Malahan masalah ini akan mengganggu penampilan seseorang dan membuatkan diri lebih mudah hilang rasa keyakinan terhadap banyak perkara.
KANSER PROSTAT
Kanser prostat adalah kanser yang paling umum berlaku pada lelaki, tetapi khabar baiknya kanser ini mudah diatasi. Kira-kira satu daripada enam lelaki pernah mengalami kanser ini dalam hidupnya, dan mereka yang mempunyai ayah atau saudara pesakit kanser prostat biasanya mempunyai risiko dua kali lebih tinggi.
SEMAKIN GEMUK
Ketika memasuki fasa ini, lelaki mengalami kesukaran untuk mengurangkan berat badan.Melambatnya metabolisme tubuh dan tingginya tahap stres merupakan beberapa faktor penyebabnya.
TEKANAN
Anda pasti tahu hidup tidak lah mudah untuk lelaki dewasa, mereka sibuk menata kerjaya, membahagikan masa dengan keluarga, membesarkan anak. Tetapi, tidak ramai yang menyedari bagaimana tanggungjawab tersebut memberikan tekanan dan boleh membawa kesan buruk terhadap kesihatan mental (kemurungan) dan kesihatan anda secara keseluruhan lebih-lebih lagi sudah tentu ia juga sedikit sebanyak menjejaskan kualiti seks sehingga membawa kepada masalah mati pucuk
TEKANAN DARAH TINGGI
Tekanan darah tinggi atau hipertensi dikenali dengan istilah ” silent killer” kerana penderitanya sering kali tidak menyedari kehadiran penyakit ini. Darah tinggi tidak mempunyai tanda atau gejala yang jelas, walaupun begitu hipertensi menjadi punca kematian berjuta-juta lelaki dewasa di atas usia 20 tahun.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.
Adakah anda sedar bahawa saban malam pada tepat jam 10, Malaysia setia ditemani oleh individu yang sama membacakan berita dunia? Bersama Farit Ismeth Emir, belajar dari pengalamannya sebagai sifu penyampai berita dan juga pakar etika komunikasi. Di sebalik penegasannya dalam menyampaikan berita, beliau merupakan sifu di dalam ilmu komunikasi. Cukup yakin, bersemangat dan juga mempunyai gaya penekanan tertentu pada ayat-ayat yang dirasakan penting tatkala membaca berita. Tidak hairanlah setiap penyampaiannya berkesan kepada umum.
PERNAH MENGGANGGUR KERANA KEMELESETAN NEGARA
Sinonim dengan panggilan Pak Ngah di kalangan warga kerja dan beliau merupakan anak kelahiran Teluk Intan Perak. Secara tidak sedar telah mengabadikan diri selama 27 tahun sebagai pembaca berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Slot berita yang cukup sinonim dengannya tentu sahaja berita ‘Dunia Jam 10’ dan juga berita-berita terkemuka di TV1.
“Saya tidak meminati dunia penyampai berita”. Itu jawapan jujur yang diberikan oleh Pak Ngah kepada penulis. Akan tetapi jelas beliau, perasaan itu secara perlahan-lahan bertukar kepada cinta setelah beberapa kali ke udara membaca berita.
Di awal temu bual beliau sempat lagi bercerita tentang penglibatan pertamanya di dalam bidang penyampaian berita. Ternyata bidang ini hanyalah bidang tempelan untuk dirinya meneruskan hidup mencari rezeki kesan dari kemelesetan ekonomi yang berlaku pada tahun 1986.
“Saya bekerja di awal usia 21 tahun setelah menamatkan pembelajaran dalam bidang Hotel & Katering di Uitm Shah Alam yang dahulunya dikenali sebagai ITM. 12 tahun lamanya saya menjadi pegawai perhubungan media dan komunikasi di hotel antarabangsa iaitu Hilton. Merantau ke serata Asia seperti Taipei, Hong Kong dan sebagainya. Tahun 1986 negara dan serantau Asia dilanda kemelesetan ekonomi sehingga menyebabkan saya menganggur selama lima hingga enam bulan tidak bekerja.
Satu hari di dalam sebuah akhbar terdapat iklan RTM yang membuka pengambilan baru pekerja. Saya masih ingat bilangan pekerja yang diperlukan iaitu seramai 556 orang. Rakan menyuruh saya mencuba nasib kerana mereka kata saya memiliki suara yang sedap. Saya datang sekadar untuk mencuba dan terus terpilih serta diberi latihan selama dua bulan. Selesai sahaja latihan saya terus diserap sebagai pembaca berita.
Waktu mula-mula baca berita saya seperti orang lain juga. Gugup dan berpeluh-peluh. Bila buat salah kena marah dengan orang atasan. Jadi bila dah kerap membaca berita, saya mula menyukai pekerjaan ini dan sudah tidak kekok di hadapan kamera. Dalam masa yang sama juga jenama Dunhill mencari suara baru untuk iklan mereka. Saya mencuba nasib dan saya terpilih untuk menjadi suara di sebalik iklan itu. Dari situ lahirnya tagline ‘Gaya, Mutu, Keunggulan’ yang popular dan sering menjadi ajukan ramai. Saya kira hingga kini masih lagi digunakan. Ketika itu jugalah saya digelar sebagai ‘Man with the golden voice’.
Berita Dunia Jam 10 pula diwujudkan pada tahun 1987. Saya telah diganding bersama Harjit Singh Hullon juga Hajah Haslinda Hamzah untuk menjadi pembaca berita rancangan tersebut. Sejak dari itu saya dikekalkan dengan berita tersebut sehinggalah sekarang di mana nama rancangan itu telah ditukar kepada Berita Dunia. Dari situ juga saya membaca untuk Berita Perdana dan juga Berita Wilayah” jelas beliau membuka pengenalan bagaimana penglibatannya sebagai penyampai berita di kaca televisyen anda.
ISLAM MENGAJARNYA AGAR BERDISPLIN
Tugas sebagai penyampai berita bukan sahaja semudah membaca skrip tetapi memerlukan pengetahuan ilmu yang luas. Menjadi orang kepercayaan dalam menyampaikan hal-hal penting negara dan dunia sebenarnya seakan tugasan berat yang perlu dipikulnya. Ditanya apakah senjata utama beliau mampu bertahan sebagai pembaca berita sehingga ke saat ini? Jawabnya segalanya bermula dengan disiplin.
“Disiplin. Itu adalah kunci utama pada sesiapa sahaja untuk berjaya. Selalunya pihak pengurusan telah menetapkan setiap pembaca berita harus bersedia dua jam lebih awal dari waktu berita. Akan tetapi saya mengambil inisiatif sendiri untuk bersedia empat jam lebih awal. Dalam tempoh itu saya akan membaca skrip berita dan juga akhbar-akhbar dalam dan luar dunia bagi mengkaji berita tersebut dengan mendalam. Secara tidak langsung saya perlu peka apa yang sedang terjadi kepada negara dan dunia kerana ia mempengaruhi cara penyampaian berita nanti.
Di dalam ajaran Islam juga telah mengajar saya jua pengikutnya betapa penting disiplin dalam urusan seharian. Kerana itu dalam waktu solat, kita semua digalakkan bersedia awal dan mendapatkan saf yang pertama bagi mendapatkan pahala dengan lebih banyak. Semua pesanan Islam itu merujuk kepada disiplin. Kerana itu Islam cukup indah dan sempurna.
Perkara yang kedua pula adalah nada penyampaian. Haruslah konsisten dan setiap kata-kata itu mempunyai nada motivasi. Kerana itu pentingnya istilah ‘love your job’. Penonton akan muak sekiranya cara penyampaian saya hambar dan juga senada sahaja. Apabila membaca berita harus ada kelainan pada setiap pengumuman tersebut mengikut berita. Tidak boleh stress sahaja. Kerana itu perlu bijak menggunakan suara.”
Kebiasaannya waktu berita agak lama iaitu selama setengah jam atau lebih. Tahukah anda bahawa untuk mengekalkan prestasi penyampaian, seseorang penyampai harus mempunyai stamina yang tinggi walaupun ia sekadar duduk di atas kerusi dan membaca berita di hadapan kamera.
“Bukan mudah untuk mengekalkan nada percakapan selama lebih dari setengah jam. Boleh semput dibuatnya. Untuk kekal bertenaga saya harus mengetahui teknik-teknik suara yang betul semasa penyampaian dan juga bersenam. Saya telah dilatih menggunakan pernafasan yang betul oleh pengurusan.
Penggunaan suara pula mempunyai tiga peringkat iaitu suara kepala, suara dada dan juga suara perut. Sewaktu membaca berita, saya akan menggunakan suara perut kerana ia tidak penat dan hasilkan suara lebih jelas dan sedap. Manakala untuk senaman, saya akan pastikan bersenam tiga kali seminggu dan senaman ini tidak pernah tinggal walaupun saya sudah berusia 60 tahun sekarang ini,” tambahnya lagi.
Oleh kerana mempunyai pengalaman yang luas dalam bidang komunikasi membuatkan beliau berjaya menubuhkan sebuah syarikat iaitu Corporate Coach Sdn Bhd iaitu syarikat perkhidmatan dan pembelajaran mengenai dunia komunikasi jua bisnes.
PENGALAMAN EMAS
27 tahun sebenarnya adalah tempoh yang lama bagi seorang pembaca berita. Tidak terhitung banyaknya berita yang telah disampaikan oleh beliau kepada penduduk Malaysia. Sepanjang tempoh ini juga terdapat berita-berita yang meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri beliau yang mana peristiwa tersebut masih lagi diingati sehingga kini.
“Terdapat tiga berita yang saya tidak akan lupa sehingga saya meninggal dunia. Pertama ialah berita kemangkatan Almarhum Tunku Abdul Rahman perdana menteri Malaysia pertama pada tahun 1990. Waktu petang tersebut saya ke udara khas menyampaikan kemangkatan selama setengah jam. Kedua adalah berita kejatuhan kerajaan komunis di Eropah dan Rusia juga dalam era 80an. Hari-hari saya baca dan tempohnya agak lama. Ketiga adalah tragedi Tiananmen di Beijing China tahun 1989 yang mana mengorbankan ribuan nyawa rakyat China.”
Jejaka berketurunan Arab ini dikira bertuah kerana diamanatkan sebagai individu yang bertanggungjawab menyampaikan berita-berita penting kepada penduduk Malaysia. Sekian lama berada di RTM beliau akui tidak pernah terfikir untuk berhijrah ke stesen televisyen yang lain walaupun ada tawaran yang lebih lumayan dari pesaing.
“Saya ini orang lama maka orang lama terkenal dengan kesetiaannya. Bak kata orang, jiwa ‘old school’. Bagi saya tanpa RTM siapalah saya. Di sini tempat bermula maka apa salahnya saya memberikan kesetiaan untuk RTM. Paling penting stesen TV lain tidak mempunyai berita ‘Dunia Jam 10’,” jawabnya bersahaja tetapi mempunyai kelucuan di situ.
Pengalamannya sungguh luas dan sudah layak dipanggil Mastermind. Walaupun sedikit sahaja coretan tentang dirinya, diharap ia dapat memberikan sumber inspirasi kepada sesiapa sahaja yang membaca. Secara peribadi penulis mengagumi kredibilitinya sebagai penyampai berita. Jauh di sudut hati pula, penulis amat berharap agar insan gigih seperti ini dikurniakan pingat atau anugerah kerana mengenang akan jasa melalui kerjaya yang telah diberikan oleh diri beliau selama ini. Walaupun sekadar pembaca berita tetapi impaknya amat besar kepada penduduk Malaysia.
Biodata:
Nama: Farit Ismeth Emir
Umur: 60 tahun
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1953
Asal: Teluk Intan Perak
Anak sulung dari tiga beradik
Tip MASTERMIND:
Sentiasa berdisiplin
Tepati masa dan janji
Peka dengan perkembangan semasa
Elakkan makanan berminyak & pedas melampau bagi menjaga kesihatan diri.
Gentleman semua dah baca MASKULIN? Jangan ketinggalan sebab download dekat seeNI je senang.