Inspirasi

Bos Mydin Tampil Beri Bantuan Misi Banjir Khairul Aming – “Ambil Seberapa Banyak Awak Nak!”

Share

Pempengaruh terkenal dan usahawan berjiwa besar, Khairul Aming, sekali lagi menjadi tumpuan rakyat Malaysia dalam tempoh beberapa hari ini. Khairul Aming menerusi perkongsian laman media sosialnya cukup aktif melakukan misi bantuan banjir.

Seperti mana kita tahu, bencana banjir kini melanda di kebanyakan kawasan di Pantai Timur, termasuklah negeri kelahiran Khairul Aming, Kelantan.

Terbaru, Khairul Aminf dilihat bekerjasama dengan jenama peruncitan halal tempatan terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin), dalam usaha membantu mangsa banjir.

Foto: TikTok Khairul Aming

Menerusi sebuah video tular yang mencuit hati ramai di media sosial, Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin, memberikan tawaran luar biasa kepada Khairul Aming untuk mengambil apa sahaja stok barangan dari premis Mydin tanpa perlu membayar serta-merta.

“Ambil seberapa banyak awak nak dan tak perlu hantar budak, kad kredit atau apa-apa… cuma beritahu had kredit yang nak RM20,000, RM50,000 atau RM100,000 ke. Lepas habis banjir tu awak bayar, tiada masalah. Kita percaya Khairul Aming,” ujar Ameer dengan penuh keyakinan.

Tidak cukup dengan itu, Mydin turut menyumbangkan tambahan 5,000 barangan bagi membantu usaha murni pempengaruh ini.

SENTIASA TAMPIL

Sikap pemurah dan kepercayaan penuh yang ditunjukkan oleh beliau membuatkan ramai warganet berasa kagum dan tersentuh dengan kesediaannya untuk sentiasa tampil memberikan bantuan.

Ia bukanlah pertama kali beliau dilihat tampil memberikan bantuan. Malah jika kita ingat kembali dalam bencana banjir melanda negeri Selangor pada tahun 2021, dia menghalalkan semua barangan yang diambil dari salah satu pasaraya Mydin yang dipecah masuk.

Khairul Aming, atau nama penuhnya Khairul Amin Kamarulzaman, memulakan misi bantuan banjirnya di Kelantan sejak Sabtu lalu. Bersama pasukannya, beliau menyediakan makanan dan barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa yang terjejas.

Walaupun ramai peminat dan pengikutnya menawarkan untuk menyumbang wang, Khairul Aming dengan rendah hati menjelaskan bahawa beliau tidak dapat menerima derma secara langsung kerana kekangan permit serta ingin memastikan amanah orang ramai sentiasa terpelihara.

Semangat kerjasama antara Mydin dan Khairul Aming ini mencerminkan nilai kesatuan dan kemuliaan hati rakyat Malaysia dalam menghadapi cabaran. Inilah bukti bahawa, dalam saat-saat sukar, kita mampu bersatu dan berganding bahu untuk memastikan tiada siapa yang dibiarkan terpinggir.

BACA: Khairul Aming Kongsi Tip Hidup Tenang – ‘Tidak Perlu Hutang Sangat, Kamu Boleh Tidur Dengan Tenang’

“Teruskan usaha murni ini,” pesan Ameer, mengakhiri video berdurasi 56 saat yang kini menjadi inspirasi kepada ramai.

Semoga segala kebaikan yang ditunjukkan oleh dua insan ini akan terus diteladani kita semua.

Jangan lupa saksikan program realiti kecergasan paling mantap, ‘MASKULIN Who’s Your Bro’ yang akan mula ditayangkan bermula 29 November, setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria!

 

Published by
Farizul Izwany Ibrahim