Boleh Sebabkan Iritasi Pada Mata & Kulit, DG Hisham Tegur Penggunaan Nano Mist Di Kalangan Orang Awam

Share

Berdepan wabak Covid-19 yang masih berpanjangan pelbagai cara telah kita sebagai orang awam ambil. Selain menggunakan pelitup muka serta selalu mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pencuci terdapat beberapa kaedah tambahan lain yang cukup popular.

Salah satunya ialah penggunaan semburan dari mesin semburan nano mist. Jika diperhatikan penggunaan semburan yang menggunakan cecair disinfeksi ini sangat popular berikutan kegusaran orang ramai terhadap wabak ini. Malah ada yang melakukan semburan secara terus ke anggota serta kulit badan.

Namun adalah tindakan seperti itu selamat? Menyedari akan perkara tersebut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato Seri Dr. Noor Hosham Abdullah atau lebih popular dengan panggilan DG Hisham tampil memberikan penjelasan.

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan hari ini, ‘Isu Keselamatan dan Keberkesanan Nano Mist Spray Sebagai Alat Disinfeksi’, beliau memberikan penjelasan yang cukup baik berkenaan penggunaan alat tersebut.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil berat isu yang dibangkitkan berkaitan keselamatan dan keberkesanan penggunaan nano mist spray sebagai alat disinfeksi.

Secara asasnya ia adalah alat penyembur yang menghasilkan titisan halus bersaiz nano. Ia digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk kosmetik, wangian dan pelbagai kegunaan domestik serta industri, bergantung kepada spesifikasi alat dan jenis cecair yang digunakan.

KEBERKESANAN PENGGUNAAN

Selain itu, ia boleh didapati dalam pelbagai bentuk dari saiz kecil untuk penggunaan persendirian seperti spray gun, handheld spray sehingga saiz yang lebih besar untuk kegunaan industri.

Keberkesanan penggunaan nano mist spray untuk disinfeksi bergantung kepada keupayaan alat tersebut untuk menghasilkan semburan yang sekata pada permukaan, jenis dan kepekatan larutan disinfeksi yang digunakan, serta tempoh masa pendedahan.

Terdapat beberapa larutan disinfeksi di pasaran seperti larutan mengandungi alkohol 70%-90%, hydrogen peroxide, thymol, quarternary ammonia dan juga larutan berasaskan klorin berkesan bagi membunuh virus SARS-CoV-2 di permukaan.

Senarai larutan disinfeksi yang berkesan untuk SARS-CoV-2 boleh diperolehi di laman sesawang US Environmental Protection Agency https://www.epa.gov/coronavirus/about-list-n-disinfectants-coronavirus-covid-19-0 yang menjadi rujukan seluruh dunia.

Jelas DG Hisham, arutan disinfeksi yang dinyatakan ini adalah bertujuan untuk nyahkuman di permukaan persekitaran dan tidak sesuai digunakan secara langsung ke atas manusia. Ini adalah kerana, sesetengah larutan disinfeksi ini boleh menyebabkan iritasi pada mata, kulit, saluran pernafasan dan juga sistem pencernaan.

Malah penyemburan disinfeksi melalui nano mist tidak menggantikan keperluan disinfeksi permukaan secara manual. Beliau juga menasihati prang ramai untuk mendapatkan panduan daripada pihak berwajib menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Published by
Farizul Izwany Ibrahim