Siapa sangka pempengaruh yang dikenali dengan perkongsian kisah-kisah mistik di ML Studio rupanya mahir menunggang kuda dan memanah.
Kemahirannya yang tersembunyi itulah menyebabkan John Bear akhirnya memainkan watak Sitong di dalam filem Pendekar Awang.
Ditemui MASKULIN selepas sesi tayangan perdana filem itu pada 2 Januari lalu, John menjelaskan yang beliau sendiri tidak pernah merancang untuk terlibat dalam dunia lakonan.
Bagaimanapun, peluang itu hadir disebabkan kebolehannya menunggang kuda dan memanah.
“Tok Guru saya beritahu ada nak pakai pelakon yang kena berkuda. Ada aksi kena buat kuda-kuda, saya suka lah. Jadi, saya pun okay,” katanya kepada MASKULIN.
Tambah John, pada awalnya beliau menyangka dirinya hanya diperlukan sebagai watak tambahan tanpa berdialog.
“Tahu-tahu sampai-sampai, ada watak penting pula kena berlakon. Jadi, Alhamdulillah. Rezeki,” jelasnya.
John yang tidak pernah berlakon sebelum ini turut mengakui berasa takut apabila dipertanggungjawabkan memainkan watak Sitong.
“Sebab kita tak biasa dengan benda ni kan. Tapi Alhamdulillah, selepas saya belajar, ada banyak orang yang hebat-hebat dikeliling saya yang banyak membantu saya, dapatlah kita lihat hasil seperti yang kita lihat hari ini (hari tayangan perdana)”.
Meskipun dunia lakonan adalah sesuatu yang baharu baginya, John memberitahu yang dia tidak teragak-agak untuk mencabar dirinya mencuba sesuatu yang baharu apabila diberi peluang berkenaan.
Dia yang aktif dalam nyanyian dan kandungan video atas talian beranggapan yang lakonan adalah satu lagi cabang seni yang patut dicuba jika terdapat peluang.
Pendekar Awang: Darah Indera Gajah merupakan sekuel kepada filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang ditayangkan pada 2022.
Diterbitkan juga oleh Studio Kembara, filem yang dibintangi oleh Fattah Amin sebagai teraju utama ini akan ditayangkan di pawagan bermula 11 Januari 2024.